Wednesday, May 1, 2019

Taburan lapangan terbang di Malaysia

Perkembangan  pengangkutan  udara  biasanya  kurang  dibincangkan  oleh  masyarakat  umum  kerana  rata-rata  lebih  bergantung  kepada  pengangkutan  darat  seperti  perkhidmatan  lebuhraya  dan  laluan  kereta  api. Namun,  ia  masih  menjadi  keutamaan  bagi  mereka  yang  membuat  perjalanan  ke  luar  negara,  ke  Sabah  Sarawak  mahupun  Semenanjung,  atau  adakalanya  sekadar  ke  pulau-pulau  tertentu  ketika  musim  monsun  di  mana  perkhidmatan  bot  dan  feri  adalah  dihadkan. Sekitar  2017, perjalanan antarabangsa  tertinggi  Malaysia  adalah  ke  Singapura  pada  kedudukan  26  di  dunia  dengan  4,108,824  penumpang, diikuti  penerbangan  Jakarta-Kuala  Lumpur  pada  kedudukan  ke-60  dengan  2,812,479  penumpang.  Bagi  penerbangan  domestik tertinggi di  Malaysia  pula  adalah:
1. Kota Kinabalu-Kuala Lumpur (2,609,151 penumpang) (69th world)
2. Kuala Lumpur-Penang (2,379,127 penumpang) (95th world)
3. Kuching-Kuala Lumpur (2,341,291 penumpang) (100th world)

Simbol  kapal  terbang  menandakan  lapangan  terbang  awam  yang  masih  beroperasi,  simbol  tanda  soal   merujuk  kepada  lapangan  terbang  yang  samada  ditinggalkan, tiada  lagi  penerbangan  berjadual  mahupun  dituruntaraf  sebagai  padang  latihan  penerbangan. Sepertimana  laluan  keretapi  yang  telah  ditinggalkan  diabadikan  sebagai  nama  jalan  seperti  Jalan  Landasan,Jalan  Stesen  dan  Jalan  Keretapi  Lama, kebiasaannya  jalan  berhampiran  lapangan  terbang  yang  ditinggalkan  dinamakan  sebagai  Jalan  Padang  Terbang  atau  Jalan  Lapangan  Terbang. Simbol  hijau  pula  menandakan  cadangan  lapangan  terbang  baharu  untuk  dibina.  Lambang  "dilarang  masuk"  pula  merujuk  kepada  lapangan  terbang  peribadi.  Hanya  lapangan  terbang  awam  yang  ditunjukkan  di  dalam  entri  ini  dan  tidak  melibatkan  sebarang  lapangan  terbang  ketenteraan.


Berdasarkan  peta  di  atas,  kebanyakan  lapangan  terbang  yang  masih  beroperasi  kebanyakannya  terletak  di  sekitar  Malaysia  Timur  dan  lapangan  terbang  yang  ditinggalkan  kebanyakannya  tertumpu  di  Semenanjung  Malaysia. Situasi  ini  boleh  dijelaskan  dengan  melihat  kepada  perkembangan  sistem  perhubungan  lain, keadaan  geografi  muka  bumi  dan  perkembangan  sejarah.



Terdapat  3  lapangan  terbang  yang  masih  beroperasi  di  kawasan  utara,  iaitu  Lapangan  Terbang  Antarabangsa  Pulau  Pinang, Lapangan  Terbang  Sultan  Abdul  Halim, Alor  Setar;  dan  Lapangan  Terbang  Antarabangsa  Langkawi. Terdapat  dua  buah  lapangan  terbang  atau  padang  terbang  (airstrip)  yang  tidak  lagi  digunakan,  iaitu  Lapangan  Terbang  Sungai  Batu  Pahat, Perlis  dan  Lapangan  Terbang  Sungai  Petani.  

Di  kawasan  utara,  terdapat  cadangan  untuk  membina  dua  lapangan  terbang  baharu  iaitu  Lapangan  Terbang  Kulim  dan  Lapangan  Terbang  Chuping,Perlis.  Lapangan  Terbang  Chuping  pernah  menjadi  isu  utama  pada  tahun  2015, namun  disebabkan  lokasinya  yang  agak  hampir  dengan  Lapangan  Terbang  Alor  Setar  dengan  Lapangan  Terbang  Antarabangsa  Hatyai, Thailand  menjadi  penghalang  bagi  lapangan  terbang  ini  dibina.  Perkembangan  sistem  Komuter  dan  ETS  di  Perlis  juga  menjadikan  lapangan  terbang  ini  tidak  lagi  efisien. Selain  itu, cadangan  yang  agak  kontroversi  pada  2019  iaitu  Lapangan  Terbang  Kulim  mencetuskan  debat  di  peringkat  nasional  atas  alasan  yang  sama,  iaitu  terlalu  hampir  dengan  Lapangan  Terbang  Antarabangsa  Pulau  Pinang  dan  boleh  menggugatnya  meskipun  tujuannya  hanyalah  mengendalikan  kargo. Lapangan  terbang  baharu  iaitu  LCCT (terminal  tambang  murah)  Pulau  Pinang  juga  dirancang  untuk  dibina  sekitar  Bayan  Lepas.  




Di  Kelantan  dan  Terengganu  pula,  terdapat  empat  buah  lapangan  terbang  yang  masih  beroperasi,  iaitu  Lapangan  Terbang  Sultan  Ismail  Petra,Kota  Bharu;  Lapangan  Terbang  Sultan  Mahmud, Kuala  Terengganu; Lapangan  Terbang  Pulau  Redang  dan  Lapangan  Terbang  Kerteh.  Tidak  dapat  dipastikan  samada  Lapangan  Terbang  Kerteh  terbuka  kepada  awam  ataupun  hanya  kepada  kakitangan  syarikat  minyak.  

Terdapat  tiga  lapangan  terbang  yang  telahpun  ditinggalkan  iaitu  Lapangan  Terbang  Machang,  Lapangan  Terbang  Dungun, Lapangan  Terbang  Penarik  (berdekatan SK Pasir  Putih,Machang)  dan  Lapangan  Terbang  Kemaman. Lapangan  Terbang  Machang  tidak  dapat  dijumpai  di  peta,  Lapangan  Terbang  Kemaman  kini  dikelilingi  kawasan  perumahan,  Lapangan  Terbang  Penarik  masih  boleh  dilihat  dengan  jelas  di  peta  dan  terletak  di  tepi  jalan  manakala  Lapangan  Terbang  Dungun  menjadi  Kelab  Golf  Desa  Dungun.



Sebagai  sebuah  negeri  yang  penuh  dengan  bangunan  kolonial  British,  tidaklah  menghairankan  apabila  taburan  padang  terbang  lama  agak  banyak  di  negeri  ini.  Dengan  2  buah  lapangan  terbang  yang  masih  beroperasi  di  negeri  ini,  iaitu  Lapangan  Terbang  Sultan  Azlan  Shah, Ipoh  dan  Lapangan  Terbang  Pulau  Pangkor,  Perak  mempunyai  kira-kira  6  padang  terbang  lama,  iaitu  di  Tekah,Taiping; Pantai  Remis, Sitiawan, Kampung  Gajah, Bidor  dan  Gerik.

Lapangan  Terbang  Taiping,Gerik  dan  Sitiawan  dikelilingi  kawasan  perumahan  dan  masih  boleh  dilihat  dengan  jelas  dari  peta  Google  Street  kerana  dipelihara  sebagai  kawasan  bersejarah. Lapangan  Terbang  Pantai  Remis  terletak  jauh  di  dalam  ladang  sawit  antara  Pantai  Remis, Changkat  Keruing  dan  Beruas. Lapangan  Terbang  Bidor  dijadikan  sebagai  Kelab  Golf  Batang  Padang  dan  dikesan  berdasarkan  nama  kampung  berdekatan, Kampung Lapangan  Terbang. Lapangan  Terbang  Kampung Gajah  lebih  unik  apabila  dijadikan  sebahagian  daripada  Litar  Dato  Sagor.

Terdapatnya  sebuah  lapangan  terbang  yang  dipercayai  milik  Jenderata  Estate  di  Teluk  Intan.  Tidak dapat  dipastikan  adakah  lapangan  ini  masih  digunakan  atau  tidak.  Untuk  lapangan  terbang  baharu  pula  di  Perak,  perancangan  awal  adalah  untuk  membinanya  sekitar  Sri  Iskandar  atau  Changkat  Melintang.  Namun,  perubahan  tampuk  politik,  menjadikan  lokasinya  berubah  ke  selatan  Perak  samada  Tapah, Bidor, Behrang  atau  Tanjung  Malim.


Semestinya,  untuk  Selangor  dan  W.P  Kuala  Lumpur,  dua  lapangan  terbang  yang  masih  beroperasi  adalah  Lapangan  Terbang  Antarabangsa  Kuala  Lumpur  dan  Lapangan  Terbang  Antarabangsa  Subang.  Walaupun  Selangor  juga  menjadi  tumpuan  kolonial,  namun  tidak  banyak  padang  terbang  bersejarah  ditemui  di  sini. Terdapat  2  padang  terbang  yang  tidak  lagi  aktif  iaitu  Padang  Terbang  Jugra  dan  Padang  Terbang  Batu  Arang.  Padang  Terbang  Batu  Arang  tidak  dapat  ditemui  di  peta  kerana  kekurangan  maklumat  tentangnya.  Manakala  kesan  Padang  Terbang  Jugra  boleh  dilihat  sekitar  Bukit  Jugra. Terdapat  juga  lapangan  terbang  peribadi  di  Sungai  Bernam. Terdapat  cadangan  untuk  membina  KLIA3  sebelum  ditukar  kepada  pembesaran  Terminal  Utama  KLIA.

Bagi  Negeri  Sembilan,  tiada  lapangan  terbang  beroperasi  memandangkan  lokasinya  yang  agak  hampir  dengan  KLIA. Terdapat  cadangan  untuk  membina  KLIA  East  di  Labu  sebagai  terminal  tambang  murah  Air  Asia  sebelum  diganti  dengan  KLIA2. Selain  itu, dikatakan  pekan  Juasseh  pernah  mempunyai  sebuah  lapangan  terbang  yang  dibina  melalui  buruh  paksa  pada  zaman  Jepun.  Dikatakan  ianya  tidak  pernah  siap  dan  bermula  daripada  Klinik  Kesihatan  Juasseh  ke  Desa  Bukit  Gelugor.  Selain  itu,  dikatakan  terdapatnya  sebuah  lapangan  terbang  di  Paroi  yang  menjadi  kegunaan  helikopter  dan  jet  pejuang  British  suatu  ketika  dahulu.

Di  Melaka  pula,  terdapat  sebuah  lapangan  terbang  beroperasi  iaitu  Lapangan  Terbang  Melaka/Batu  Berendam.  Terdapat  juga  padang  terbang  yang  tidak  lagi  digunakan  di  Tanjung  Bidara.



Di  Johor  pula,  lapangan  terbang  beroperasi  adalah  Lapangan  Terbang  Antarabangsa  Senai.  Padang  terbang  yang  tidak  lagi  beroperasi  adalah  Lapangan  Terbang  Batu  Pahat, Lapangan  Terbang  Kluang,  Lapangan  Terbang  Segamat  dan  Lapangan  Terbang  Mersing. Lapangan  Terbang  Batu  Pahat  terletak  sekitar  Kampung  Lapangan  Terbang, Lapangan  Terbang  Mersing  terletak  berhampiran  pantai  dan  Lapangan  Terbang  Segamat  dikelilingi  kawasan  perumahan.

Terdapat  cadangan  untuk  membina  lapangan  terbang  baru  di  Mersing  memandangkan  usaha  untuk  membina  lapangan  terbang  baru  di  Pulau  Tioman  mendapat  bantahan  penduduk  setempat. 


Terdapat  dua  buah  lapangan  terbang  beroperasi  di  Pahang  iaitu  Lapangan  Terbang  Sultan  Haji  Ahmad  Shah  dan  Lapangan  Terbang  Tioman.  Pahang  juga  mempunyai  padang  terbang  lama  yang  unik. Antaranya  adalah  di  Temerloh, Bentong, Benta, Genting, Cameron Highlands (Habu), Sg.Tiang (Taman Negara)  dan  Kuala  Rompin  (Lanjut).  Lapangan  Terbang  Genting  tidak  dijumpai  di  dalam  peta,  Lapangan  Terbang  Bentong  dijadikan  padang  golf  dan Lapangan  Terbang  Benta  menjadi Pusat  AADK  Benta. Lapangan  Terbang  Sg.Tiang, Cameron  dan  Rompin  masih  dalam  keadaan  asal.

Terdapat  cadangan  untuk  menghidupkan  semula  Lapangan  Terbang  Rompin  untuk  ke  Pulau  Tioman.  Selain  itu,  terdapat  juga  cadangan  untuk  membuat  tambakan  dan  membina  lapangan  terbang  baru  di  Tioman  dan  menerima  bantahan  daripada  penduduk  pulau  kerana  akan  merosakkan  terumbu  karang.


Sarawak  bolehlah  dikatakan  sebagai  negeri  dengan  jumlah  lapangan  terbang  beroperasi  terbanyak  di  Malaysia  iaitu  Lapangan  Terbang  Antarabangsa  Kuching,  Lapangan  Terbang  Tanjung  Manis,  Lapangan  Terbang  Sibu, Lapangan  Terbang  Mukah, Lapangan  Terbang  Bintulu, Lapangan  Terbang  Miri,  Lapangan  Terbang  Limbang, Lapangan  Terbang  Lawas, Lapangan  Terbang  Marudi, Lapangan  Terbang  Mulu,  Lapangan  Terbang  Long  Seridan,  Lapangan  Terbang  Bakelalan,  Lapangan  Terbang  Bario,  Lapangan  Terbang  Long  Akah, Lapangan  Terbang  Long  Lellang  dan  Lapangan  Terbang  Long  Banga,  sebanyak  16  buah  semuanya.  

Namun,  terdapat  juga  lapangan  terbang  yang  tidak  lagi  digunakan  atau  tiada  penerbangan  berjadual,  iaitu  Lapangan  Terbang  Sematan, Lapangan  Terbang  Simanggang (Sri  Aman), Lapangan  Terbang  Lutong, Lapangan  Terbang  Lama  Bintulu,  Lapangan  Terbang  Long  Sukang  dan  Lapangan  Terbang  Long  Semado. Lapangan  Terbang  Simanggang  terletak  berhampiran  kompleks  sukan  Sri  Aman manakala  Lapangan  Terbang  Lutong  berhampiran  SMK  Lutong. Lapangan  Terbang  Lama  Bintulu  pula  terletak  betul-betul  di  tengah  bandar  Bintulu.  Ketiga-tiga  landasan  ini  boleh  dilihat  dengan  jelas  dari  peta.

Terdapat  juga  beberapa  cadangan  lapangan  terbang  baru  seperti  di  Betong, Kapit  dan  Mukah.  Selain  itu  LCCT  juga  dirancang  untuk  dibina  di  Lapangan  Terbang  Antarabangsa  Kuching.



Di  Sabah  dan  W.P Labuan,  terdapat  6  buah  lapangan  terbang  yang  masih  beroperasi,  iaitu  Lapangan  Terbang  Antarabangsa  Kota  Kinabalu,  Lapangan  Terbang  Labuan, Lapangan  Terbang  Sandakan, Lapangan  Terbang  Kudat,  Lapangan  Terbang  Lahad  Datu  dan  Lapangan  Terbang  Tawau.

Terdapat  beberapa  lapangan  terbang  yang  tidak  lagi  aktif  atau  mempunyai  penerbangan  berjadual,  contohnya  adalah  Lapangan  Terbang  Long  Pasia,  Lapangan  Terbang  Sapulut,  Lapangan  Terbang  Keningau,  Lapangan  Terbang  Semporna,  Lapangan  Terbang  Sahabat,  Lapangan  Terbang  Hutan  Bakau  Pamol,  Lapangan  Terbang  Telupid, Lapangan  Terbang  Ranau  dan  Lapangan  Terbang  Kota  Belud.

Beberapa  cadangan  lapangan  terbang  di  Sabah  telah  diusulkan,  seperti  Lapangan  Terbang  Baru  Lahad  Datu  dan  Terminal  LCCT  Kota  Kinabalu.




Sumber:
1)http://www.astroawani.com/berita-malaysia/pulau-pinang-cadang-bina-lapangan-terbang-antarabangsa-koridor-utara-191313
2)https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2018/12/400256/airport-baharu-bakal-dibina-di-selatan-perak
3)http://www.astroawani.com/berita-malaysia/lapangan-terbang-antarabangsa-kulim-bakal-jadi-realiti-198432
4)https://www.malaysiakini.com/news/308967
5)https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/11/354848/lapangan-terbang-baharu-di-perak-tengah
6)http://malaysiansmustknowthetruth.blogspot.com/2011/11/hulu-bernam-airport-grounded.html
7)https://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=385170
8)https://www.malaysianreview.com/139840/lapangan-terbang-perlis-akan-dibina-di-chuping-kata-menteri-besar/
9)https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2019/03/21/lapangan-terbang-kulim-boleh-singkir-pia-dari-peta-kata-penganalisis/
10)https://soscili.my/kenapa-penduduk-pulau-tioman-protes-lapangan-terbang-yang-bakal-dibina-vincent-tan/

No comments:

Hai, lama dah terbiar blog ni

Lama betul tak bukak blog ni. Tadi check kalau tak silap kali terakhir update adalah pada tahun 2019. Dah 4 tahun bersawang kiranya. Buat ma...