Tuesday, December 20, 2016

10 Bandar Terbesar di Kedah

1. Sungai Petani (456,605 orang)


Terletak bersempadan dengan negeri Pulau Pinang, Sungai Petani adalah merupakan bandar terbesar di negeri Kedah. Ianya juga dikenali sebagai bandar perindustrian dan merupakan salah satu bandar yang unik di Malaysia kerana jumlah populasinya memintas populasi ibu negeri. Salah satu punca pertambahan populasi yang mendadak adalah kerana banyaknya kilang yang dibuka serta harga rumah yang lebih murah jika hendak dibandingkan dengan Pulau Pinang. Jam Sungai Petani adalah ikon bandar ini.

2. Alor Setar (366,787 orang)



Alor Setar merupakan ibu negeri dan juga kota pentadbiran bagi negeri Kedah, selain merupakan bandar terbesar di utara Kedah. Ianya merupakan satu-satunya bandaraya di Kedah buat masa ini, yang diisytiharkan sejak 2003. Bandaraya ini menempatkan Menara Alor Setar, Masjid Zahir, Balai Nobat, Aman Central, stadium negeri dan banyak lagi.

3. Kulim (287,694 orang)



Kulim, sepertimana Sungai Petani adalah bandar perindustrian. Ianya merupakan bandar ketiga terbesar di Kedah dan boleh dihubungi melalui Lebuhraya Butterworth-Kulim. Ianya dikatakan dibuka oleh Melayu Patani dan mula menjadi tumpuan apabila bijih timah ditemui di sini.

4. Jitra (220,740 orang)

Jitra merupakan sebuah bandar yang kian membangun. Lokasinya yang terletak di utara Kedah, yang berjiran dengan Bandaraya Alor Setar. Bandar ini juga terletak berdekatan Changlun dan Sintok, menjadikannya dikunjungi oleh pelajar-pelajar dari Universiti Utara Malaysia. Harga makanan yang murah serta kecantikan Tasik Darulaman juga menjadi tarikan ke sini. Ianya mempunyai sebuah pawagam di Aneka Jitra.

5. Baling (135,646 orang)



Terletak nun di hujung Kedah tidak menjadikannya terpinggir, malah bandar ini memiliki populasi ke-5 terbesar di Kedah. Kebanyakan penduduknya bertutur dalam loghat Patani. Di bandar kecil yang tenang ini pernah berlakunya dua peristiwa besar, iaitu Rundingan Baling melibatkan Tunku Abdul Rahman dan Chin Peng, serta Tragedi Memali.

6. Kuah/ Langkawi (94,777 orang)



Terletak di Pulau Langkawi, kebanyakan orang akan merasa kagum dengan bandar pulau ini. Bukan sahaja penuh dengan tempat pelancongan seperti kereta kabel dan Tugu Helang, malah lengkap dengan pusat membeli-belah. Di sini juga terletaknya lapangan terbang kedua di Kedah.

7. Pendang (94,962 orang)



Pendang dikatakan mendapat namanya daripada "pendiat" iaitu lubang atau parit untuk menangkap gajah.

8. Sik (67,378 orang)


Sik dikatakan mendapat namanya daripada "Syeikh" mengikut loghat Patani. Daerah ini masih terpelihara dengan flora dan faunanya dan terkenal dengan hutan lipur, Lata Batu Hampar dan ladang anggur Tasik Beris.

9. Kuala Nerang (62,896 orang)


Kuala Nerang terletak di daerah Padang Terap yang menempatkan pintu sempadan kedua Kedah di Durian Burung. Pekan ini adalah pekan terakhir yang akan dilalui sebelum tiba ke sempadan. Kuala merujuk kepada pertembungan Sungai Pedu dan Sungai Ahning, manakala Nerang bermaksud kawasan yang teduh dan merimbun.

10. Pokok Sena  (50,000 orang)


Pokok Sena merupakan daerah pertanian dan dalam perancangan untuk menjadi sebuah bandar satelit bagi Alor Setar. Dahulunya ia berada di dalam daerah Kota Setar namun dipisahkan menjadi daerah ke-12 Kedah. Bagi mereka yang hendak ke Thailand melalui Durian Burung, mereka akan melalui pekan Pokok Sena dahulu daripada arah Alor Setar.

No comments:

Hai, lama dah terbiar blog ni

Lama betul tak bukak blog ni. Tadi check kalau tak silap kali terakhir update adalah pada tahun 2019. Dah 4 tahun bersawang kiranya. Buat ma...