Wednesday, December 7, 2016

12 Stesen Keretapi Tercantik di Malaysia

Kalau korang pernah baca artikel 23 stesen keretapi tercantik di dunia yang mana stesen Kuala Lumpur turut dinobatkan dalam The Vocket, mesti akan tertanya-tanya, bagaimana dengan stesen-stesen lain di Malaysia? Adakah hodoh-hodoh belaka atau ada juga yang menarik mata memandang?

Wajah tipikal stesen keretapi yang usang sekitar Semenanjung Malaysia
Jika ditanya kepada majoriti rakyat Malaysia, mereka sepakat mengatakan bahawa Stesen Keretapi Ipoh adalah yang kedua tercantik selepas Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Bagaimanapun, untuk yang ketiga dan seterusnya, kebanyakannya berbeza pendapat, atau mungkin tiada pendapat langsung. Jadi, hari ini kami membawakan kepada anda 12 stesen kereta api yang pada pendapat kami, adalah yang tercantik dan unik dengan reka bentuknya yang tersendiri.

*Kami sedia maklum dengan stesen-stesen baharu terutama di sepanjang Gemas ke Padang Besar, jadi kami tidak akan memasukkannya melainkan ianya mempunyai reka bentuknya yang tersendiri dan tidak sama dengan yang lain.


1. Stesen Keretapi Kuala Lumpur


Tidak sah senarai ini kalau tidak memasukkan stesen keretapi ini. Stesen ini terletak di Jalan Sultan Hishamuddin, dulu dikenali sebagai Victory Avenue, yang pernah merupakan sebahagian daripada Jalan Damansara. Stesen ini terletak berhampiran dengan Bangunan Keretapi Tanah Melayu yang direka cipta dengan seni bina yang mirip, dan juga Masjid Negara dan Kompleks Dayabumi. Ianya dibina dengan senibina Mughal/ Neo-Moor. Peranannya kini digantikan oleh KL Sentral yang lebih moden.

2. Stesen Keretapi Ipoh


Digelar sebagai "stesen keretapi kedua tercantik di Malaysia", Stesen Keretapi Ipoh juga merupakan salah satu tarikan pelancong di Ipoh. Ianya dibina dengan senibina kolonial dan Moor. Digelar sebagai "Taj Mahal of Ipoh" oleh warga Ipoh dan terkenal sebagai kawasan rekreasi di waktu malam. Stesen ini terletak berdekatan Masjid Negeri dan Stesen Bas Medan Kidd.

3. Stesen Keretapi Johor Bahru

Terletak di Johor Bahru, stesen ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Berbeza dengan stesen K.Lumpur dan Ipoh, binaannya tidaklah segah mana dan juga kurang dikenali oleh kebanyakan orang melainkan warga Johor sahaja. Fungsi stesen ini telahpun diambil alih oleh JB Sentral yang terletak berdekatan. Walaubagaimanapun, ia masih dipelihara sebagai salah satu warisan negeri selatan ini.                
 4. Stesen Keretapi Seremban


Stesen Keretapi Seremban ini mempunyai keunikannya yang tersendiri, dengan gerbang yang mempunyai gaya binaan kolonial, beserta menara jam di bumbung yang mempunyai kubah bergaya Mughal. Stesen ini adalah salah satu daripada stesen lama yang masih dikekalkan binaannya dan ianya bertuah sepertimana Stesen Keretapi Ipoh kerana masih berfungsi sehingga ke hari ini.

5. Stesen Keretapi Alor Setar


Jika anda memandu ke arah Stesen Keretapi Alor Setar yang baru, anda akan melihat sebuah bangunan usang yang mempunyai senibina yang agak menarik di kiri anda. Bangunan yang dimaksudkan adalah Stesen Keretapi Alor Setar lama yang sudahpun tidak digunakan lagi dan dipagar. Binaan menara jamnya lebih menonjol berbanding menara jam di Stesen Keretapi Seremban.
Stesen ini juga pernah muncul dalam filem Ombak Rindu.

6. Stesen Keretapi Taiping


Stesen Keretapi Taiping yang baru ini dibina bersebelahan dengan stesen lama yang dijadikan sebagai restoran. Satu kelebihan (atau mungkin keanehan) yang boleh kita lihat adalah pada senibinanya yang agak "lari" daripada senibina tipikal stesen-stesen keretapi baru di sepanjang jajaran Padang Besar-Ipoh yang berciri kotak. Stesen ini dibiarkan bercat putih dan dibina dengan unsur-unsur kolonial, sesuai dengan status Taiping sebagai bandar warisan. Reka bentuknya mirip dengan Pejabat Daerah dan Tanah daerah Larut Matang Selama.

7. Stesen Keretapi Anak Bukit


Satu kelainan yang cuba diwujudkan KTM untuk stesen-stesen keretapi yang baru adalah rekabentuk yang unik dan tersendiri untuk stesen bandar diraja. Stesen Anak Bukit, misalnya, jelas sekali dipengaruhi binaan kubah Masjid Zahir, diserikan dengan variasi warna hijau dan kuning yang mungkin mewakili negeri Kedah itu sendiri.

FAKTA: Untuk makluman anda, hanya Anak Bukit, Kuala Kangsar, Arau, dan Klang sahaja bandar diraja yang diberi akses keretapi. Seri Menanti dihubungkan oleh Stesen Seremban (32km), stesen terdekat dengan Muar adalah Segamat (80km), Kota Bharu oleh Stesen Wakaf Bharu (11km), stesen paling hampir dengan Pekan adalah Mentakab (162km). 

 8. Stesen Keretapi Kuala Kangsar


Beralih ke Perak, stesen keretapi ini mempunyai ukiran yang agak padat beserta seni binanya yang yang menggabungkan unsur tradisional. Senibinanya diseimbangkan dengan pengaruh Melayu pada jalur tingkapnya (anyaman kayu) serta pada bahagian atasnya yang menyerupai ukiran kayu.

 9. Stesen Keretapi Arau


Berlainan dengan dua stesen di atas, stesen Arau mengaplikasikan konsep yang lebih ringkas dan tidak terlalu padat dengan ukiran. Stesen ini diukir di bahagian tiangnya, dan dicat putih serta mempunyai rekabentuk bumbung yang berbentuk petak (tidak dapat dipastikan adakah pengaruh senibina tempatan atau idea kreatif arkitek). Warna putih yang diaplikasikan mungkin mengmbil pengaruh senibina Masjid Alwi di Kangar.

8. Stesen Keretapi Kuala Krai

Buat anda yang tidak tahu, Kelantan adalah satu-satunya negeri yang mengaplikasikan rekabentuk yang serupa untuk semua stesen di negeri itu. Senibina Melayu dapat dilihat mempengaruhi reka bentuk stesen ini. Kami pada mulanya agak ragu-ragu untuk menetengahkan stesen yang mana satu, dan akhirnya bersetuju stesen Kuala Krai adalah yang tercantik sekali (mungkin kerana rekaan pagarnya?)

9. Stesen Keretapi Bukit Mertajam


Stesen lama ini sudahpun tidak digunakan dan kami tidak pasti adakah ianya dibiarkan tersadai sepertimana stesen Alor Setar atau masih kukuh sepertimana stesen Seremban. Tapi apa yang menarik perhatian kami adalah rekabentuknya yang agak unik, terutama pada jambatannya. Terdapat khabar bahawa jambatan itu telahpun dicabut dan dipamerkan berhampiran Galeria Taiping.

10. Stesen Keretapi Tenom


Beralih pula kita ke seberang laut, iaitu ke negeri Sabah. Sabah adalah satu-satunya negeri yang mengendalikan keretapinya sendiri, di bawah JKNS (Jabatan Keretapi Negeri Sabah) dan tidak tertakluk di bawah KTM. Daripada Tanjung Aru ke Tenom, ternyata hentian paling hujung bagai aliran ini mempunyai rekabentuknya tersendiri, yang berjaya lari daripada senibina tipikal stesen di sana.

11. Stesen Keretapi Bahau

Satu perkara yang terlintas dalam fikiran kami tentang negeri Sembilan adalah lengkok bumbungnya yang unik. Memandangkan Seremban tidak menggunakan senibina tersebut, kami cuba mencari di setiap stesen lain di negeri ini melalui jajaran Senawang- Gemas tetapi masih tidak berjumpa. Di jajaran ke Pantai Timur barulah kami terjumpa dengan stesen yang mempunyai rekabentuk Minangkabau ini yang dibina dengan konsep moden dan berwarna kelabu. 

12. Stesen Keretapi Beaufort



Tidak, ini bukanlah pejabat pos di belakang rumah anda, sebaliknya adalah stesen keretapi Beaufort yang terletak di negeri Sabah. Stesen ini juga berjaya me"lari"kan diri daripada rekebentuk tipikal. Kami tidak berjaya mendapatkan banyak maklumat tentang stesen ini, tapi kami tertanya-tanya dengan tugu yang menarik di hadapan stesen ini.





Kredit

Stesen Keretapi Tanjung Pagar

No comments:

Hai, lama dah terbiar blog ni

Lama betul tak bukak blog ni. Tadi check kalau tak silap kali terakhir update adalah pada tahun 2019. Dah 4 tahun bersawang kiranya. Buat ma...