Wednesday, February 15, 2017

CSR vs LPT3



Central  Spine  Road, di dalam Bahasa  Melayu-nya bermaksud  Lebuhraya Utama Tengah, merupakan sebuah lebuhraya  yang  giat  dibina  di  pedalaman  Kelantan  dan  Pahang, yang  bakal menyambungkan  Kota Bharu  dan  Simpang Pelangai. Pada mulanya, ia hanya menyambungkan Kuala Krai dan Simpang Pelangai, namun disambung bersama Lebuhraya Rakyat atas permintaan kerajaan negeri. Walaupun lebuhraya ini sering dikatakan menyambungkan Kuala Pilah (di dalam gambar seperti turut ke Seremban) ke Kota Bharu, namun ianya hanya menyambungkan Pasir Hor, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang. Lebuhraya ini sudah siap di beberapa seksyen iaitu dari Persimpangan Kubang Rusa, Persimpangan Sungai Yu dan Persimpangan Chegar Perah, kesemuanya di Pahang.

Ianya turut mempunyai viaduct laluan haiwan liar, bebas tol, serta dibahagikan kepada beberapa seksyen kepada syarikat berbeza untuk mengelakkan terbengkalai.

Sementara itu, di sebelah timur, Lebuhraya Pantai Timur 3 masih dirancang dan belum ada ura-ura pembinaan lagi. Kerajaan Terengganu menggesa kerajaan pusat menyegerakan pembinaannya, memandangkan LPT2 mati dengan kadar trafik yang rendah, mengakibatkan sesetengah kawasan hentian kosong, seperti Perasing dan Ajil. Selain daripada ketiadaan stesen minyak, kisah seram menambahkan lagi rencah yang menjadi resepi kejatuhan LPT2. Sikap penduduk tempatan yang lebih gemar melalui jalan pantai juga menyebabkan trafik domestik sangat kurang di sini.

Dengan adanya Lebuhraya Pantai Timur 3, diharap bahawa trafik dari Kelantan akan menghidupkan semula LPT2, memandangkan kadar migrasi yang tinggi dalam kalangan warga Kelantan ke Kuala Lumpur, Kuantan dan Kuala Terengganu untuk mencari kerja, ilmu serta hiburan. Beberapa persimpangan sudah diumumkan seperti Permaisuri, Jertih, Machang, Ketereh, Kota Bharu dan Tumpat, sebelum terus ke sempadan.

Pembinaan dua lebuhraya ini bakal menjadi suatu fenomena, apatah lagi bila pembangunan seakan terarah ke Pantai Timur yang selama ini dipandang sebelah mata oleh sesetengah pihak. Tidak dinafikan, kedua-duanya mempunyai pro dan kontra masing-masing.


PRO  CSR

Memandangkan CSR telah dibina terlebih dahulu, maka pandangan rakyat Kelantan akan lebih terarah kepada lebuhraya ini. Lebih-lebih lagi, ianya akan menjadi laluan singkat terus ke Kuala Lumpur, memandangkan ianya bersambungan dengan LPT antara Karak dan Bentong, yang bermakna rakyat Kelantan tidak perlu pusing terlalu jauh hingga ke Terengganu untuk pergi ke KL. Apatah lagi, ianya bebas tol.

Laluan Gua Musang sememangnya dikenali sebagai laluan maut sebelum ini, ditambah dengan keadaannya yang sunyi. Dengan adanya lebuhraya ini, kadar kemalangan boleh dikurangkan, memandangkan ianya kurang selekoh tajam dan lebih lebar. Bandar-bandar di sepanjang jalan ini juga akan mendapat kemajuan kerana trafik yang bertambah, seperti Gua Musang, Kuala Krai, Kuala Lipis, Padang Tengku, dan Raub, sekaligus menaikkan lagi taraf ekonomi dan sosial pedalaman Kelantan dan Pahang.

KONTRA  CSR

Walaupun terdapat banyak kebaikan yang boleh kita perolehi daripadanya, CSR juga mempunyai beberapa kontra. Antaranya adalah sifatnya yang bebas tol. Dengan menawarkan bebas tol, ianya bermakna beberapa keistimewaan pengguna di lebuhraya lain, tiada di sini. Ini termasuk penyelenggaraan jalan dan juga sistem peronda lebuh raya. Lebuhraya percuma juga biasanya tidak terurus dan selalu dijadikan medan perlumbaan mat rempit, contohnya Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis yang terdapat ramai remaja Perlis merempit di situ setiap hari minggu. Penamatnya di Simpang Pelangai juga tidak berapa kena, memandangkan kawasan tersebut mempunyai trafik yang rendah, kebiasaannya mereka yang dari Negeri Sembilan yang hendak ke Pantai Timur,  yang bakal menyebabkan seksyen Bentong-Simpang Pelangai menjadi sunyi.

KONTRA  LPT3

Sepertimana yang ditulis di atas, LPT3 akan kehilangan banyak pelanggan dari Kelantan yang ingin ke Kuala Lumpur, memandangkan CSR lebih cepat ke sana, serta kos yang efisien. LPT3 juga hanya mencakupi kawasan utara Kelantan yang melibatkan Pasir Putih, Kota Bharu dan Tumpat, yang bermakna mereka yang berada di Selatan Kelantan pula memandu ke utara untuk menggunakan lebuhraya ini. LPT3 juga sebenarnya masih belum dibina memandangkan berlakunya kerisauan andai trafiknya masih rendah, jadi CSR ditubuhkan dahulu untuk melihat potensi trafik Pantai Timur. LPT4 juga masih belum dirancang mungkin atas alasan yang sama.

PRO  LPT3

Walaupun trafik ke Kuala Lumpur akan "dicuri" oleh CSR, mereka yang ingin ke Kuala Terengganu, atau Kuantan masih perlu melalui LPT3, memandangkan jarak yang masih dekat. Meskipun lokasi LPT3 tidak menguntungkan penduduk di selatan negeri, kebanyakan penduduk Kelantan menetap di Kota Bahru yang mempunyai populasi yang tinggi, yang menjadikannya masih berbaloi, memandangkan bandar itu disambung dengan kedua-dua lebuhraya. LPT3 juga bakal mengubah landskap pintu sempadan negara memandangkan ianya akan terus ke Thailand, membentuk jambatan persahabatan yang baru, selain jambatan Bukit Bunga dan Rantau Panjang. Perkhidmatan air ke sempadan mungkin akan dihentikan, sekaligus menjadikan Kelantan negeri yang mempunyai jumlah jambatan sempadan terbanyak di Malaysia, selepas Sarawak-Brunei.



Melalui tulisan ini, pasti ada yang menjangkakan persaingan antara kedua-dua lebuhraya ini. Tidak juga... Kebanyakan rakyat Kelantan kebiasaannya melalui Gua Musang untuk ke KL, dan pulang melalui Kuala Terengganu, jadi bolehlah kita katakan, CSR dan LPT3 akan saling melengkapi apabila kedua-duanya siap dibina nanti.

No comments:

Hai, lama dah terbiar blog ni

Lama betul tak bukak blog ni. Tadi check kalau tak silap kali terakhir update adalah pada tahun 2019. Dah 4 tahun bersawang kiranya. Buat ma...