Bila disebut tentang Chernobyl, atau Fukushima, pastinya kita terbayangkan sebuah bandar yang kosong tanpa seorang pun penghuni akibat kekacauan, ataupun bencana alam. Biasanya, bandar-bandar kosong ini terletak di negara-negara maju atau negara yang mempunyai sebuah sejarah yang panjang. Jadi, mungkin ada antara kita yang tertanya-tanya, adakah Malaysia juga mempunyai bandar tinggal atau "ghost town" sendiri. Bagaimana kalau kami menyatakan, ADA?
1. Kampung Kepayang, Perak
Sumber: wasnita.com |
Kampung Kepayang bolehlah dikatakan sebagai "ghost town" atau bandar terbiar yang terkenal di Malaysia. Manakan tidak, isu tentang pekan kecil yang mempunyai dua blok sejajar dengan jalan raya ini mendapat liputan media yang meluas beberapa tahun lalu. Walau bagaimanapun, kampung-kampung yang terletak sekitar pekan ini masih dihuni ramai orang lagi, begitu juga masjid utama di situ, masih lagi digunakan. Terdapat 2,3 buah rumah kedai yang masih digunakan. Punca terbiarnya pekan ini mungkin kerana kesibukan jalan raya persekutuan yang diluaskan sehingga menyukarkan kenderaan memarkir di bahu jalan. Untuk yang mahu ke sana, pekan ini terletak di antara Persimpangan Simpang Pulai dan Persimpangan Gopeng. Disebabkan infrastruktur kedai yang makin rapuh, pekan ini mungkin akan lesap daripada peta Perak tidak lama lagi.
2. Papan, Perak
Sumber: indahrasajmalim.blogspot.com |
3. Bukit Besi, Terengganu
Sumber:visit-terengganu.net |
Bukit Besi dahulunya adalah sebuah lombong besi yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara ketika itu. Perlombongan di sini telah diusahakan oleh sebuah syarikat Jepun iaitu Nippon Mining Company (NMC) sebelum diambil alih oleh British selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua. British menyerahkan Bukit Besi kepada Eastern Mining and Metal Company (EMMCO). Pengeluaran biji besi di sini pernah melebihi 2 juta tan setahun sekitar 1960-1964. Walaubagaimanapun, tiba-tiba Lembaga Pengarah EMMCO membuat keputusan untuk menutup kawasan ini pada tahun 1 Oktober 1970. Keputusan itu mempengaruhi ekonomi penduduk setempat dan Dungun menyebabkan mereka berpindah ke tempat lain.
4. Sungai Lembing, Pahang
sumber: tripadvisor.com.ph |
Sungai Lembing suatu ketika dahulu adalah bandar yang menjadi pengeluar bijih timah terbesar di Pahang, malah dikatakan kawasan galian kedua terbesar di dunia, sehingga digelar El Dorado of Asia. Pada ketika itu, dikatakan pekerja lombong berpeluang membeli baju-baju import dan disediakn sebuah panggung wayang, yang kini menjadi balai orang ramai. Digambarkan bahawa ketika itu, ia lebih hebat daripada Kuantan sendiri, malah seakan-akan mempunyai kerajaan tempatan sendiri. Lombong ini ditutup pada tahun 1968 kerana kos operasi yang tinggi dan kejatuhan harga bijih timah. Kejatuhan itu mengejutkan penduduk Sungai Lembing yang kebanyakannya pelombong kerana mereka tidak menyangka industri bijih timah akan mati. Kini, ia didiami golongan tua yang merupakan bekas pelombong.
Walaupun begitu, Sungai Lembing mendapat status yang istimewa iaitu sebagai "bandar mati yang hidup semula." Ianya dihidupkan semula dengan sektor pelancongan alam semula jadi dan pelancongan sejarah. Kejayaan Sungai Lembing bangun daripada kejatuhannya wajar dijadikan contoh untuk menghidupkan semula bandar-bandar mati lain.
5. Lembah Beringin, Selangor
Sumber: coltoras1959.blogspot.com |
Tidak seperti bandar/pekan di atas, Lembah Beringin adalah sebuah projek perumahan yang terbengkalai kerana kegagalan untuk mendapatkan pembeli. Ini adalah kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika itu dikatakan akan dibina di utara Selangor untuk mengatasi kesesakan di Lapangan Terbang Subang, mengakibatkan pihak pemaju berlumba-lumba membina perumahan di situ. Apabila KLIA dibina di kawasan Sepang, harga hartanah di Lembah Beringin merudum. Kehadiran padang golf dan Kolej Yayasan UEM, malah akses terus ke Lebuhraya Utara Selatan juga masih tidak meyakinkan pembeli untuk menetap di situ. Tidak seperti Bukit Beruntung yang perlahan-lahan membangun dengan adanya Tesco Bukit Beruntung, walaupun pada asalnya menerima nasib yang sama, Lembah Beringin kini seakan sebuah kota terbiar yang kelihatan seperti baru diserang wabak penyakit atau zombi. Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa orang yang menetap di bandar ini, memandangkan pembeli asal sanggup melepaskannya dengan harga murah.
*Selain Lembah Beringin, Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Sungai Buaya dan Rasa juga turut merasakan kesan terbengkalai, namun tidak seteruk Lembah Beringin.
6. Pulau Bidong, Terengganu
Pulau Bidong pada asalnya adalah sebuah pulau tidak berpenghuni, sebelum ianya dipenuhi oleh pelarian Vietnam yang lari daripada pemerintahan di sana selepas Askar Vietnam Utara memenangi Perang Vietnam menandakan permulaan pemerintahan komunis di sana. Menjelang 1979, pulau ini dipenuhi kira-kira 40,000 pelarian Vietnam dan beberapa pelarian Kemboja yang lari daripada pemerintahan Khmer Rouge. Pada 1991, kem ini ditutup dan pelarian kem diterima ke Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Perancis. Sebahagian daripada mereka juga dihantar semula ke Vietnam. Kini, Pulau Bidong kembali kosong sepertimana keadaanya yang asal.
7. Kota Baharu, Perak
Sumber: indahrasajmalim.blogspot.com |
Bertenang orang Kelantan, Kota Baharu yang dimaksudkan bukanlah bandar ibu negeri korang, sebaliknya sebuah pekan kecil di daerah Kampar, Perak. Punca Kota Baharu menjadi pekan mati lebih unik, kerana ianya bukanlah kerana masalah ekonomi pekan tersebut, sebaliknya kerana projek landasan berkembar KTM jajaran Ipoh-Rawang. Jambatan yang merentangi landasan berkembar menyebabkan pekan ini terasing di sisi bawah jambatan, sekaligus menyebabkan pemandu yang melalui jalan ini terus melepasi pekan ini tanpa berhenti, menjadikannya mati. Bolehlah dikatakan, Kota Baharu antara pekan terbaru yang menjadi pekan mati memandangkan projek tersebut berlangsung tidak sampai beberapa tahun lepas. Masalah ini turut dikongsi beberapa pekan sekitar Perak yang terbelah dua seperti mana Malim Nawar dan Tanjung Malim. Namun, nasib dua pekan ini masih lagi baik kerana saiz dan kekuatan ekonominya. Mercu tanda bagi pekan ini adalah Balai Polis Kota Baharu beserta flat kediaman anggotanya dan stesen kecil KTM Kota Baharu yang berfungsi sebagai stesen keretapi barangan sahaja.
8. Siputeh, Perak
Sekali lagi, mohon orang Seputeh, Kuala Lumpur bawak bertenang. Pekan Siputeh yang dimaksudkan adalah di Perak, secara tepatnya lagi di daerah Batu Gajah, dan sangat hampir dengan bandar penting di Perak seperti Batu Gajah, Ipoh dan Sri Iskandar. Malah, ianya terletak di laluan Lebuhraya Ipoh-Lumut. Kini, Siputeh lebih kepada lot perumahan yang berdiri di tepi lebuhraya ini. Pekan papannya yang tersorok di tepi persimpangan bagaikan menanti hari matinya.
9. Kampung Bung Jagoi, Sarawak
Duduk di kampung adakalanya boleh jadi agak menakutkan lebih-lebih lagi jika ianya jauh di pedalaman. Tapi macam mana pulak kalau kat kampung tu just ada satu keluarga, atau worse case, kau sorang je duduk situ? Haa, situasi kat atas ni wujud tau, tapi tak ramai yang tahu memandangkan kebanyakan media sosial yang menulis tentang Kampung Bung Jagoi berbahasa Inggeris. Berdirinya di atas Gunung Jagoi (atau Bung Jagoi mengikut bahasa Bidayuh), di Bau, Sarawak adalah kampung tradisi kaum Bidayuh, iaitu Kampung Bung Jagoi. Terdapat hanya seorang penduduk di sini, iaitu Jema ak Nopis. Tidak seperti penduduk kampungnya yang lain, Jema tidak berpindah ke kaki bukit untuk membina rumah di sana sebaliknya kekal menetap di situ. Sesetengah penduduk akan kembali sebentar ke kampung ini untuk mengutip buah di dusun mereka. Penduduk Bidayuh di kampung ini yang berpindah ke kaki bukit telah membentuk lapan kampung iaitu Bogag, Duyoh, Plaman Bu'ow, Serasot, Serikin, Sibobog, Skibang dan Stass di Sarawak, Malaysia dan lima lagi di Kalimantan iaitu Babang, Kindau, Sejaro, Belida' dan Take' kerana keperluan tanah pertanian yang terhad di atas gunung.
10. Temoh Stesen, Perak
Kita kembali ke semenanjung atau lebih tepat lagi ke negeri Perak, untuk pekan mati yang terakhir. Sepertimana pekan-pekan di Perak lain yang mempunyai perkataan stesen di hujung namanya, seperti Behrang Stesen dan Bidor Stesen, Temoh Stesen dahulunya dikatakan mempunyai stesen keretapi suatu ketika dahulu. Beberapa bangunan di pekan ini dibiarkan kerana kejadian kebakaran. Terdapat 1,2 kedai yang masih beroperasi di sini. Di sini hanya terdapat sekolah dan pejabat penghulu sahaja. Untuk urusan kerajaan, polis atau hospital, penduduk di sini terpaksa ke Temoh atau Tapah.
11. Kem Gereja, Gunung Murud, Sarawak
Kredit:https://deskgram.net/explore/tags/MtMurud mffm19
12. Kampung Kuala Balah Lama, Kelantan
Kredit: https://www.karangkraf.com/berita/kampung-kuala-balah-lama-dalam-kenangan-1.717933 |
*Bagi mereka yang tertanya kenapa Pulau Jerejak, Penang atau Pulau Besar, Melaka tak tersenarai, ingin aku nyatakan yang aku pada asalnya nak tumpukan pada kategori pekan/bandar yang terpinggir sahaja. Memandangkan Pulau Jerejak dan Pulau Besar mempunyai ramai pengunjung, aku terpaksa abaikan. Pulau Bidong dan Sungai Lembing adalah special case dalam keadaan ni. Untuk orang Perak pulak, aku sebenarnya kalau boleh nak includekan lebih banyak daripada negeri lain supaya seimbang, tapi paham-pahamlah, Malaysia, sumbernya sangat terhad apatah lagi dalam BM. Contohnya pasal Kampung Kuala Balah, Kelantan yang dikatakan terbiar akibat banjir 2014 tapi sumbernya sangat terhad.
No comments:
Post a Comment