Saturday, April 29, 2017

Contoh lebuhraya tanpa tol di Malaysia

Kita semua pastinya pernah mendengar tentang Lebuhraya Pan-Borneo yang dikatakan bebas tol. Perkara ini menjadi isu hangat dan mula dipersoalkan ramai, apatah lagi apabila lebuhraya yang bakal dibina itu jaraknya jauh lebih panjang - kira-kira lebih 1000 km - daripada pemegang rekod setakat ini, iaitu Lebuhraya Utara Selatan, yang hanya sekitar 800 km. Antara alasan yang kita selalu dengarkan, adalah lebuhraya ini dibina dengan taraf seperti jalan persekutuan. Atau lebih spesifik, dengan standard R5 JKR. Apa yang dimaksudkan dengan itu?

 Di sini, kami hanya mengambil lebuhraya yang menepati beberapa standard tertentu, yang boleh dijadikan gambaran masa hadapan Lebuhraya Pan-Borneo. Lebuhraya yang merupakan jalan biasa dua lorong seperti Lebuhraya Timur-Barat tidak diambil kira. Begitu juga lebuhraya yang mempunyai persimpangan searas seperti Lebuhraya Ipoh-Lumut dan Lebuh AMJ.

1. Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis


Kredit: Flickr


Perlis satu-satunya negeri di Pantai Barat yang tidak dihubungkan dengan Lebuhraya Utara Selatan, sekaligus menyebabkan kelembapan ekonomi di negeri ini.Sebuah lebuhraya dirancang untuk bermula dari Alor Setar dan naik hingga ke Padang Besar. Tapi, akhirnya terhasillah lebuhraya seperti yang dinyatakan, iaitu lebuhraya ini yang menghubungkan UUM dan Kuala Perlis.

Sebaik memasuki lebuhraya ini, anda akan nampak bezanya lebuhraya ini dengan lebuhraya biasa, iaitu papan tandanya berwarna biru. Ini adalah perbezaan jelas bagi Lebuhraya R5 JKR.  Di beberapa tempat, lebuhraya akan merentangi sawah padi, serta beberapa jalan kecil disambungkan ke lebuhraya, yang menjadi petanda kedua. Kebanyakan persimpangan adalah diamond, kecuali hanya dua merupakan separuh diamond. Biarpun lebuhraya ini percuma, namun ianya jugak banyak menyumbang kepada statistik kemalangan di Perlis, memandangkan laluan keluar-masuk tidak dikawal rapi. Lebuhraya ini juga mempunyai lampu isyarat dan pusingan U yang tidak sepatutnya ada pada lebuhraya ekspres.

2. Jalan Pintasan Kuantan (Kuantan Bypass)





Tidak seperti di atas, lebuhraya yang menyambungkan Lapangan Terbang Sultan Ahmad dan pelabuhan Kuantan di Gebeng ini lain pula ceritanya. Jika Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis merupakan jalan utama, Kuantan Bypass sekadar bertindak sebagai jalan pintasan (sesuai namanya). Persimpangan di sini berbentuk diamond dan trumpet, dan memiliki sebuah cloverleaf/bunga cengkih.

Di sini juga mempunyai ciri-ciri lebuhraya R5, iaitu lampu isyarat , pusingan U dan sambungan searas ke premis/ kediaman berdekatan.

3. Jalan Bukit Payung-Telemong, Terengganu



Menuju ke Terengganu, mungkin ramai yang tak menyedari kewujudan jalan ini. Juga dikenali sebagai Bukit Payung-Telemong Spur Road, jalan ini menghubungkan Bukit Payung dan persimpangan LPT Kuala Telemong. Namun, jika dilihat melalui Google Earth, anda akan mendapati ianya terputus sekadar di situ. Memandangkan pada papan tanda tertera "Kuala Jeneris" dan "Gua Musang", kebarangkalian jalan ini akan dihubungkan dengan Lebuhraya Timur-Barat Kedua yang terputus sekadar di Kuala Jeneris.

Di sini terdapat dua persimpangan, iaitu jenis parclo untuk Pasir Tinggi dan diamond untuk Kuala Telemong. Pembinaan lebuhraya ini hampir-hampir menyerupai lebuhraya ekspres yang anda biasa lalui, berbeza dengan kedua lebuhraya di atas. Satu-satunya perkara yang "dilanggar" oleh lebuhraya ini adalah simpang empat dan T-junction di kedua-dua penghujung. Menariknya, terdapat persimpangan parclo saiz kecil untuk motorsikal berhampiran jambatan Sungai Terengganu.

4.Jalan Bertingkat Skudai/ Lebuhraya Senai





Kita sangat-sangat berharap Lebuhraya Pan Borneo tidak menjadikan lebuhraya ini sebagai role model mereka. Manakan tidak, lebuhraya ini melalui betul-betul di dalam pekan Senai! Bila kami memaksudkan "melalui", kami tidak bermaksud, ada persimpangan ke pekan Senai, sebaliknya, ianya merupakan jalan utama di Senai. Bayangkan sebuah lebuhraya dengan kenderaan berkelajuan tinggi, diapit oleh dua rumah kedai seni bina kolonial. Pastinya sangat berbahaya untuk mereka yang ingin berhenti di bahu jalan. Satu-satunya lebuhraya yang pernah membuat kesilapan yang sama, adalah Lebuhraya Utara Selatan, dengan memasukkan pekan Changlun dalam laluannya.

5. Lebuhraya Pasir Gudang








Bermula dengan tol di Perling (jangan salah sangka, tol ini bagi mereka yang ingin ke Lebuhraya Linkedua), lebuhraya ini menyambungkan Tampoi dan Pasir Gudang. Selain diamond, ianya juga mempunyai persimpangan stacked dan persimpangan cloverleaf. Dapatlah dibayangkan, struktur seakan lebuhraya ini mungkin akan digunakan di bandar-bandar semi-urban, seperti Miri dan Sandakan.

6.Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu

Kredit:penang-traveltips.com



Antara kesemua lebuhraya di atas, ini satu-satunya lebuhraya percuma yang melalui kesesakan bandaraya. Bolehlah digambarkan struktur seperti ini digunakan di Kuching atau Kota Kinabalu kelak. Adat bagi mana-mana lebuhraya di kawasan berkependudukan tinggi, lebuhraya ini mempunyai banyak hubungan searas (yang sangat ditegah bagi sesebuah lebuhraya) yang menghubungkan kepada premis2 kediaman.

Diabadikan sempena Menteri Besar Pulau Pinang yang kedua, lebuhraya ini pada asalnya merupakan dua lebuhraya yang digabungkan, iaitu Lebuhraya Jelutong dan Lebuhraya Bayan Lepas. Lebuhraya ini mempunyai persimpangan yang tidak ditemukan di lebuhraya2 di atas, iaitu persimpangan Y, untuk Sungai Nibong dan Bayan Mutiara.

7. Central Spine Road




Kita sedia maklum tentang lebuhraya-lebuhraya yang melalui kawasan urban dan semi-urban, namun bagaimana pula dengan lebuhraya yang melalui kawasan luar bandar. Satu-satunya lebuhraya tanpa tol yang menepati ciri itu adalah Central Spine Road/Lebuhraya Utama Tengah. Menariknya, ketika mana pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo dan Lebuhraya Pantai Barat diheboh-hebohkan, Lebuhraya CSR jarang-jarang diketengahkan.

Lebih menarik, lebuhraya ini akan disambungkan sekali dengan Lebuhraya Rakyat, Kelantan yang bakal dibina, sekaligus menghubungkan Kota Bahru ke Simpang Pelangai. Buat masa ini, lebuhraya ini hanya mencakupi Kampung Kubang Rusa, Kuala Lipis hinggalah ke Gua Musang. Persimpangan di sini menggunakan jenis parclo.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jadi, dari senarai di atas, kita bolehlah tahu sedikit sebanyak contoh lebuhraya bebas tol di Malaysia dan gambaran Lebuhraya Pan Borneo pada masa akan datang. Dan, sejujurnya aku faham mengapa lebuhraya sebegini yang dipilih berbanding lebuhraya biasa. Lebuhraya ekspress cenderung untuk memintas bandar-bandar dan pekan-pekan. Antara bandar-bandar dan pekan-pekan yang "mati" (mati tidaklah bermaksud mati terus, cuma tidak lagi jadi laluan persinggahan) akibat Lebuhraya Utara-Selatan adalah Teluk Intan, Muar, Segamat dan Kangar. Lebuhraya ekspres ni seakan Terusan Suez, yang memintas Tanjung Harapan. Dan sebagaimana ia mematikan bandar-bandar yang dipintasnya, bandar-bandar yang dilaluinya hidup atas jasanya.

Lebuhraya R5 tidak sebegini. Ia hanyalah seperti lebuhraya persekutuan, cuma ada pembahagi di tengah. Sebab tulah, ianya banyak melanggar "hukum2 lebuhraya", sepertimana lampu isyarat dan premis yang dibina berdekatan lebuhraya, kerana ianya berfungsi sebagai penghubung, bukan pemintas. Tapi ini hanya boleh diaplikasi dalam konteks kawasan yang kecil. Bagi skop yang besar seperti Pan Borneo, sewajarnya beberapa perkara diambil peduli, seperti tidak meletakkan pusingan U, serta had laju yang berpatutan.

No comments:

Hai, lama dah terbiar blog ni

Lama betul tak bukak blog ni. Tadi check kalau tak silap kali terakhir update adalah pada tahun 2019. Dah 4 tahun bersawang kiranya. Buat ma...