Monday, April 17, 2017

Re-thinking my life (Sesi muhasabah diri)

17/4/17

Nice date, right? Tapi nampaknya angka cantik tu hanya pada zahirnya saja.

Sorang member aku ada plan nak keluar dari universiti aku skrg ni. Dia fikir nak ambik TESL lepas ni. Agak mengejutkan sebab sebelum ni memang dia selalu tak makan brainwash orang lain, sebab dia masih utuh mengatakan OK dngan course yang dia ambik sekarang. Macam biasa, bila seorang nak keluar, aku dan sorang lagi yang memang paling noob sekali dalam kelas, mulalah terfikir-fikir nak pindah.

Nak kata aku termakan brainwash, brainwash yang si F (kawan aku yg "sorg lagi" tu) punya lagi dahsyat. Bayangkanlah, aku waktu tu still ada dinding-dinding delusional yang kononnya aku mampu survive dalam course ni, cuma maybe aku malas dan banyak main2 je kot. Sebab kat matriks dulu pun pernah aku ada depression sebegini. Sekali dia datang, dan memang waktu tu dia depress nak mampus, sampai dia brainwash aku kaw2. Bila aku tanya balik, dia kata aku nampak sangat blur kalau tanya pasal konsep2 dan formula2 fizik, which I need to admit, aku sangat2 noob dan malas nak faham dan hafal. Kahkah, bila teringat balik,rasa macam menyesal pulak kenal mamat tu. Kenapalah aku bongok sangat boleh tersilap tingkat waktu kat Bandar Universiti dulu? Kan dah berkenalan dengan makhluk tu.

Planning aku sekarang ni, lebih kepada habiskan kos bodoh ni sampai habis, kerja (or maybe tanam anggur) pastu ambik second degree. Aku sangat suka kat sejarah, tapi masalahnya bapak aku bantah, kos Sejarah tak laku katanya. Dia bagi hanya kalau aku ambik jadi cikgu Sejarah ja. Konpem la aku tolak. Aku benci mengajar dan aku benci budak-budak.

Berbalik kepada situasi asal, si A (yang nak pindah tu), nampak gaya macam nak ajak aku blah. Dia dah try tanam doktrin yang sama kat si F, tapi lepas tak dapat UPSI (beliau suka mengajaiaqq tudia baqhang) dan dianjing-anjingkan oleh aku, terus dia pasrah dan mula bercinta dgn subjek kejuruteraan kt sini, secara paksarela. Walaupun aku tidaklah termakan hasutan beliau, tapi ada gakla kata2 dia yang buatkan aku berfikir, macam pasal duit dan masa, Aku akui aku cukup takut nak spend masa lebih2 kat sini (extend) which is memang aku xboleh elak. PYP, adalah satu lagi benda yang sgt menakutkan aku.

Kalau ditanya, memang aku nak sangat-sangat pindah. Universiti ni sangat suwey kat aku. Dengan masalah belajar aku yang tak berkesudahan. Dengan hubungan kawan2 lagi. Jujur aku cakap, aku tak rasa ada yang ikhlas berkawan dengan aku, semua sorok belakang2. A kerjanya ngumpat belakang2. Samalh dengan F, suka jaja cerita orang. Aku pun masih tak berbaik dengan si I lagi. Meja direct aku tak boleh pakai. Tahun satu, ada budak cina mereng duk suka ceroboh rumah aku, duk fewit2. Macam privacy harrassment pun ada. Lepas tu, tahun dua, ok sikit, tapi kipas kat ruang tamu problem. Yang babinya, budak local mintak baiki, banyak alasan macam UMNO time pilihanraya, tapi bila foreigner mintak, tudia, pagi mintak, petang siap. Tak celaka ke tu? Tahun tiga? Rasanya yang paling celaka takat ni. Aku ingatkan depa ni ok, sekali kerja duk gelak tiap2 malam, pastu bila belajar, bersepah semua bersidai atas lantai, sampaikan nak lintas pun dah macam nak meredah semak. Tu belum kira meja kerusi aku dia curi buat meja tambahan dia. So, konklusinya di sini, kau bayangkan camna la nak belajar kalau 3 tahun asyik problem dgn tempat belajar je, campur dengan budak2 duk jaja cerita pasal aku. OK, fine, aku pun bukannya malaikat, suci dari dosa, memang ada silap aku di situ. Dan aku pun ada jugak lari ke library in case nak study.

Uni ni tak seindah waktu tahun pertama aku masuk. Manusia dengan topeng2 yg indah, beserta hubungan yang sangat rapat lagi fake. Oh, aku rindukan kepalsuan itu. At least, kepalsuan lah yang melegakan dada makcik2 di dapur menghadapi suaminya yang kasanova melalui drama2 cinta palsu TV3.

Dan kemudian aku terdetik. Betulkah aku nak pindah sebab nak ambik Sejarah? Atau aku dah fed up dengan semua bala malapetaka ni? Entah. Mungkin yang kedua. Sebab aku pun dah mula malas nak bukak buku sejarah. Suasana di universiti ni membuatkan aku mula menjadi realisitk demi membaham formula2 engineering yang aku naif, lalu membunuh semua minat2 yang buatkan aku gembira, sampai kadangkala aku jadi sinis dengan kehidupan.

-Sinis dengan kawan2 aku. Tak seorang pun yang aku letakkan pada mahligai "sahabat" aku. Hanya budak2 matriks dan sekolah menengah aku yang melekat dalam senarai itu.
-Sinis dengan family aku. Aku tau depa sayangkan aku sepertimana tipikal ibubapa di dunia ni. Tapi itulah, sila bayangkan diri anda adalah seorang manusia yg dipaksa menjadi askar utk memuaskan kehendak mereka. Maka kau akan faham apa aku rasa.
-Sinis dengan kehidupan. Well politik, pembangunan, ekonomi, perkauman. Ada je yang tak kena dengan mata aku.
-Ok, ni yang paling aku takut. Aku sangat risau kalau aku menjadi agnostik.Yup, sinis dengan agama. Di sini, aku mudah menjadi sinis, sebab memang sangat jarang aku jumpa manusia yg alim di sini. Alim, tapi menganjing member pergi solat. Alim tapi bawak toyol masuk exam. Alim tapi gatal dengan perempuan. Alim, tapi pakai boxer paras betis. Ya, kalau "alim" sebegitu, memang ramai. Tapi, alim, sepertimana yang aku jumpa di matriks dan sekolah dulu, jujur cakap, aku dah lama ak nampak manusia dengan cahaya keimanan di sini. Atau, aku sudah menjadi ignorant, sampaikan aku malas ambik tau, ade ke takde ke, kesah pulak aku. Hmm.

Terkadang takdir dan kifarah (bukan karma ye anak2) seakan2 mempermain2kan aku. Apa yang aku buat, laju dicaci. Benda yang sama dibuat orang lain, semua menyepi. Kalau aku yang marah, sakit hati, laju dijaja ke pelusuk tempat. Kalau orang lain yang marah, kita pulak dipaksa meminta maaf. Seriusly, kebabian apakah ini?

Mungkin aku dah perlu start berdoa, "Lindungi aku dari apa yang diucap mulut sendiri". Si bisu tu, aku masih ingat, setiap tuduhan dan gelakan yang aku berikan, seakan2 berbalik pada aku. Setiap benda yang aku persoalkan, sekarang ni aku pula yang mengajuk tanpa sedar.

Well, thats my depressed diary today. Kadang2 orang pernah berkata men never cry. Benda tu buatkan aku jeles dengan perempuan. Sebab itulah lebih ramai lelaki menghidap depresi, sebab depa susah untuk luahkan.

BTW, kepada A, goodluck for your further studies.

Tuesday, April 4, 2017

Masjid terbesar di Malaysia untuk setiap negeri

1. Selangor




Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam. Boleh memuat 24,000 jemaah. Masjid ni adalah masjid terbesar di Malaysia.

2. Kuala Lumpur



Masjid Negara. Boleh memuatkan15,000 jemaah pada satu masa. Keluasannya adalah 53,000m2. Aku sebenarnya rasa Masjid Wilayah pun besar jugak. Tapi takde pulak dalam list masjid-masjid terbesar di dunia.

3. Putrajaya



Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, atau lebih famous dengan gelaran Masjid Besi, boleh memuatkan 24,000 orang. Berkeluasan 73,795m2 (lagi besar dari Masjid Negara kalau ukuran ni betul)

4. Sabah



Masjid Al-Kauthar, Tawau, Sabah. Boleh memuatkan 17,000 jemaah. Agak mengejutkan masjid ni lebih besar dari Masjid Negeri Sabah.

5. Sarawak




Masjid Jamek Negeri Sarawak

6. Labuan


Masjid Jamek An'Nur

7. Terengganu

Masjid Taman Ilmu Tembila, Besut (5th Malaysia). Memandangkan masjid ni claim dia ke-lima terbesar di Malaysia, jadi aku assume dia belakang Masjid Shah Alam, Masjid Negara, Masjid Wilayah dan Masjid Besi. Mula-mula aku sangkakan Masjid Kristal paling besar kat T'ganu.

8. Johor




Masjid Negeri Sultan Abu Bakar

9. Pahang
Masjid Sultan Ahmad Shah

10. Pulau Pinang
Masjid Negeri Pulau Pinang

11. Perak

Masjid Sultan Idris Shah II

12. Kelantan
Masjid Sultan Ismail Petra

13. Perlis

Masjid Alwi

14. Kedah

15. Negeri Sembilan


Masjid Negeri Negeri Sembilan

16. Melaka


Masjid Al-Azim

10 Bandar Kosong di Malaysia (10 Ghost Towns In Malaysia)



Bila disebut tentang Chernobyl, atau Fukushima, pastinya kita terbayangkan sebuah bandar yang kosong tanpa seorang pun penghuni akibat kekacauan, ataupun bencana alam. Biasanya, bandar-bandar kosong ini terletak di negara-negara maju atau negara yang mempunyai sebuah sejarah yang panjang. Jadi, mungkin ada antara kita yang tertanya-tanya, adakah Malaysia juga mempunyai bandar tinggal atau "ghost town" sendiri. Bagaimana kalau kami menyatakan, ADA?


1. Kampung Kepayang, Perak

Sumber: wasnita.com


Kampung Kepayang bolehlah dikatakan sebagai "ghost town" atau bandar terbiar yang terkenal di Malaysia. Manakan tidak, isu tentang pekan kecil yang mempunyai dua blok sejajar dengan jalan raya ini mendapat liputan media yang meluas beberapa tahun lalu. Walau bagaimanapun, kampung-kampung yang terletak sekitar pekan ini masih dihuni ramai orang lagi, begitu juga masjid utama di situ, masih lagi digunakan. Terdapat 2,3 buah rumah kedai yang masih digunakan. Punca terbiarnya pekan ini mungkin kerana kesibukan jalan raya persekutuan yang diluaskan sehingga menyukarkan kenderaan memarkir di bahu jalan. Untuk yang mahu ke sana, pekan ini terletak di antara Persimpangan Simpang Pulai dan Persimpangan Gopeng. Disebabkan infrastruktur kedai yang makin rapuh, pekan ini mungkin akan lesap daripada peta Perak tidak lama lagi.

2. Papan, Perak

Sumber: indahrasajmalim.blogspot.com
Sebuah lagi pekan terbiar di negeri Perak. Pekan Papan terletak pada kedudukan yang terasing daripada pekan-pekan kecil lain sekitar Ipoh. Pekan ini terbentuk kerana kegemilangan industri bijih timah di Perak suatu ketika dahulu, dan kejatuhannya kini juga dikaitkan dengan kejatuhan industri itu. Selain daripada itu, faktor jaraknya yang terpencil daripada laluan utama juga adalah salah satu faktornya. Mungkin jika berlaku penerokaan hartanah secara besar-besaran seperti mana yang mengubah muka bumi Cheras dan Jelapang, mungkin Papan akan kembali bernafas.

3. Bukit Besi, Terengganu

Sumber:visit-terengganu.net

Bukit Besi dahulunya adalah sebuah lombong besi yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara ketika itu. Perlombongan di sini telah diusahakan oleh sebuah syarikat Jepun iaitu Nippon Mining Company (NMC) sebelum diambil alih oleh British selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua. British menyerahkan Bukit Besi kepada Eastern Mining and Metal Company (EMMCO). Pengeluaran biji besi di sini pernah melebihi 2 juta tan setahun sekitar 1960-1964. Walaubagaimanapun, tiba-tiba Lembaga Pengarah EMMCO membuat keputusan untuk menutup kawasan ini pada tahun 1 Oktober 1970. Keputusan itu mempengaruhi ekonomi penduduk setempat dan Dungun menyebabkan mereka berpindah ke tempat lain.

4. Sungai Lembing, Pahang

sumber: tripadvisor.com.ph

Sungai Lembing suatu ketika dahulu adalah bandar yang menjadi pengeluar bijih timah terbesar di Pahang, malah dikatakan kawasan galian kedua terbesar di dunia, sehingga digelar El Dorado of Asia. Pada ketika itu, dikatakan pekerja lombong berpeluang membeli baju-baju import dan disediakn sebuah panggung wayang, yang kini menjadi balai orang ramai. Digambarkan bahawa ketika itu, ia lebih hebat daripada Kuantan sendiri, malah seakan-akan mempunyai kerajaan tempatan sendiri. Lombong ini ditutup pada tahun 1968 kerana kos operasi yang tinggi dan kejatuhan harga bijih timah. Kejatuhan itu mengejutkan penduduk Sungai Lembing yang kebanyakannya pelombong kerana mereka tidak menyangka industri bijih timah akan mati. Kini, ia didiami golongan tua yang merupakan bekas pelombong.

Walaupun begitu, Sungai Lembing mendapat status yang istimewa iaitu sebagai "bandar mati yang hidup semula." Ianya dihidupkan semula dengan sektor pelancongan alam semula jadi dan pelancongan sejarah. Kejayaan Sungai Lembing bangun daripada kejatuhannya wajar dijadikan contoh untuk menghidupkan semula bandar-bandar mati lain.

5. Lembah Beringin, Selangor

Sumber: coltoras1959.blogspot.com


Tidak seperti bandar/pekan di atas, Lembah Beringin adalah sebuah projek perumahan yang terbengkalai kerana kegagalan untuk mendapatkan pembeli. Ini adalah kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika itu dikatakan akan dibina di utara Selangor untuk mengatasi kesesakan di Lapangan Terbang Subang, mengakibatkan pihak pemaju berlumba-lumba membina perumahan di situ. Apabila KLIA dibina di kawasan Sepang, harga hartanah di Lembah Beringin merudum. Kehadiran padang golf dan Kolej Yayasan UEM, malah akses terus ke Lebuhraya Utara Selatan juga masih tidak meyakinkan pembeli untuk menetap di situ. Tidak seperti Bukit Beruntung yang perlahan-lahan membangun dengan adanya Tesco Bukit Beruntung, walaupun pada asalnya menerima nasib yang sama, Lembah Beringin kini seakan sebuah kota terbiar yang kelihatan seperti baru diserang wabak penyakit atau zombi. Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa orang yang menetap di bandar ini, memandangkan pembeli asal sanggup melepaskannya dengan harga murah.

*Selain Lembah Beringin, Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Sungai Buaya dan Rasa juga turut merasakan kesan terbengkalai, namun tidak seteruk Lembah Beringin.

6. Pulau Bidong, Terengganu



Pulau Bidong pada asalnya adalah sebuah pulau tidak berpenghuni, sebelum ianya dipenuhi oleh pelarian Vietnam yang lari daripada pemerintahan di sana selepas Askar Vietnam Utara memenangi Perang Vietnam menandakan permulaan pemerintahan komunis di sana. Menjelang 1979, pulau ini dipenuhi kira-kira 40,000 pelarian Vietnam dan beberapa pelarian Kemboja yang lari daripada pemerintahan Khmer Rouge. Pada 1991, kem ini ditutup dan pelarian kem diterima ke Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Perancis. Sebahagian daripada mereka juga dihantar semula ke Vietnam. Kini, Pulau Bidong kembali kosong sepertimana keadaanya yang asal.

7. Kota Baharu, Perak

Sumber: indahrasajmalim.blogspot.com

Bertenang orang Kelantan, Kota Baharu yang dimaksudkan bukanlah bandar ibu negeri korang, sebaliknya sebuah pekan kecil di daerah Kampar, Perak. Punca Kota Baharu menjadi pekan mati lebih unik, kerana ianya bukanlah kerana masalah ekonomi pekan tersebut, sebaliknya kerana projek landasan berkembar KTM jajaran Ipoh-Rawang. Jambatan yang merentangi landasan berkembar menyebabkan pekan ini terasing di sisi bawah jambatan, sekaligus menyebabkan pemandu yang melalui jalan ini terus melepasi pekan ini tanpa berhenti, menjadikannya mati. Bolehlah dikatakan, Kota Baharu antara pekan terbaru yang menjadi pekan mati memandangkan projek tersebut berlangsung tidak sampai beberapa tahun lepas. Masalah ini turut dikongsi beberapa pekan sekitar Perak yang terbelah dua seperti mana Malim Nawar dan Tanjung Malim. Namun, nasib dua pekan ini masih lagi baik kerana saiz dan kekuatan ekonominya. Mercu tanda bagi pekan ini adalah Balai Polis Kota Baharu beserta flat kediaman anggotanya dan stesen kecil KTM Kota Baharu yang berfungsi sebagai stesen keretapi barangan sahaja.

8. Siputeh, Perak



Sekali lagi, mohon orang Seputeh, Kuala Lumpur bawak bertenang. Pekan Siputeh yang dimaksudkan adalah di Perak, secara tepatnya lagi di daerah Batu Gajah, dan sangat hampir dengan bandar penting di Perak seperti Batu Gajah, Ipoh dan Sri Iskandar. Malah, ianya terletak di laluan Lebuhraya Ipoh-Lumut. Kini, Siputeh lebih kepada lot perumahan yang berdiri di tepi lebuhraya ini. Pekan papannya yang tersorok di tepi persimpangan bagaikan menanti hari matinya.

9. Kampung Bung Jagoi, Sarawak



Duduk di kampung adakalanya boleh jadi agak menakutkan lebih-lebih lagi jika ianya jauh di pedalaman. Tapi macam mana pulak kalau kat kampung tu just ada satu keluarga, atau worse case, kau sorang je duduk situ? Haa, situasi kat atas ni wujud tau, tapi tak ramai yang tahu memandangkan kebanyakan media sosial yang menulis tentang Kampung Bung Jagoi berbahasa Inggeris. Berdirinya di atas Gunung Jagoi (atau Bung Jagoi mengikut bahasa Bidayuh), di Bau, Sarawak adalah kampung tradisi kaum Bidayuh, iaitu Kampung Bung Jagoi. Terdapat hanya seorang penduduk di sini, iaitu Jema ak Nopis. Tidak seperti penduduk kampungnya yang lain, Jema tidak berpindah ke kaki bukit untuk membina rumah di sana sebaliknya kekal menetap di situ. Sesetengah penduduk akan kembali sebentar ke kampung ini untuk mengutip buah di dusun mereka. Penduduk Bidayuh di kampung ini yang berpindah ke kaki bukit telah membentuk lapan kampung iaitu Bogag, Duyoh, Plaman Bu'ow, Serasot, Serikin, Sibobog, Skibang dan Stass di Sarawak, Malaysia dan lima lagi di Kalimantan iaitu Babang, Kindau, Sejaro, Belida' dan Take' kerana keperluan tanah pertanian yang terhad di atas gunung.

10. Temoh Stesen, Perak



Kita kembali ke semenanjung atau lebih tepat lagi ke negeri Perak, untuk pekan mati yang terakhir. Sepertimana pekan-pekan di Perak lain yang mempunyai perkataan stesen di hujung namanya, seperti Behrang Stesen dan Bidor Stesen, Temoh Stesen dahulunya dikatakan mempunyai stesen keretapi suatu ketika dahulu. Beberapa bangunan di pekan ini dibiarkan kerana kejadian kebakaran. Terdapat 1,2 kedai yang masih beroperasi di sini. Di sini hanya terdapat sekolah dan pejabat penghulu sahaja. Untuk urusan kerajaan, polis atau hospital, penduduk di sini terpaksa ke Temoh atau Tapah.

11. Kem  Gereja, Gunung Murud, Sarawak


Image result for kem gereja bakelalan

Tidak  dinafikan  sesetengah  tempat  yang  dinyatakan  di  dalam senarai  ini  tidaklah  kosong  sepenuhnya. Bandar-bandar mati di Perak, atau  Bukit  Besi  dan  Sungai  Lembing  masih  mempunyai  kampung-kampung  yang  berpenghuni  di  sekitarnya.  Hanya  Pulau  Bidong  yang  boleh  dikatakan  betul-betul  tidak  berpenghuni.  Namun  lain  pula  bagi  kes  Kem  Gereja  ini.  Terletak dalam  perjalanan  ke Gunung  Murud,  kawasan  ini  dipenuhi  rumah  kosong  dan  sebuah  gereja  yang  bernama  Gereja  Sidang  Injil  Borneo. Dikatakan, rumah-rumah itu dimiliki oleh  penduduk Bakelalan.  Kawasan  itu  akan  dikunjungi  oleh  orang  Kristian  Lun  Bawang  untuk  upacara  keagamaan  setahun  sekali  pada  bulan  Julai.

12. Kampung Kuala Balah Lama, Kelantan


Kampung Kuala Balah Lama dalam kenangan
Kredit: https://www.karangkraf.com/berita/kampung-kuala-balah-lama-dalam-kenangan-1.717933
Kampung  ini  telah  pun  ditinggalkan  sejak  tahun  1967  kerana ditenggelami  banjir.  Penduduk  kampung  telahpun  berpindah  ke  kampung  baru  atas  jasa  Tuanku Abdul Rahman  dan  tidak  lagi  kembali  ke  kampung  asal  mereka.  Tanah  di kampung  lama  hanya  digunakan  untuk  tujuan  pertanian  dan  tiada  rumah  baru  dibina  oleh  penduduk  kampung.  Bekas  tinggalan  dapat  dilihat  melalui  Pejabat Pertubuhan Peladang  Kuala Balah (gambar), sekolah, dan masjid lama yang terbiar dan usang.
                                     


*Bagi mereka yang tertanya kenapa Pulau Jerejak, Penang atau Pulau Besar, Melaka tak tersenarai, ingin aku nyatakan yang aku pada asalnya nak tumpukan pada kategori pekan/bandar yang terpinggir sahaja. Memandangkan Pulau Jerejak dan Pulau Besar mempunyai ramai pengunjung, aku terpaksa abaikan. Pulau Bidong dan Sungai Lembing adalah special case dalam keadaan ni. Untuk orang Perak pulak, aku sebenarnya kalau boleh nak includekan lebih banyak daripada negeri lain supaya seimbang, tapi paham-pahamlah, Malaysia, sumbernya sangat terhad apatah lagi dalam BM. Contohnya pasal Kampung Kuala Balah, Kelantan yang dikatakan terbiar akibat banjir 2014 tapi sumbernya sangat terhad.

Monday, April 3, 2017

10 Bandar Dengan Populasi Terkecil di Malaysia (10 Smallest Population Town in Malaysia)

Apakah bandar terbesar di Malaysia? Sudah tentu ramai yang menjawab Kuala Lumpur, kerana ianya satu kebiasaan untuk sebuah ibu negara menjadi bandar terbesar negara. Sesetengah mungkin menjawab, Subang Jaya, berdasarkan bancian yang diambil pada tahun 2010. Tetapi bagaimana pula dengan bandar terkecil di Malaysia? Mungkin hanya sedikit yang mampu menjawab. Di sini kami sertakan 10 bandar terkecil di Malaysia mengikut pemahaman dan kajian Pakcik Google dan Wikipedia.

Senarai bandar yang dimasukkan hanyalah bandar yang di bawah Majlis Perbandaran sendiri. Bandar yang berada dalam pentadbiran Majlis Daerah seperti Gerik, Jerantut dan Tangkak tidak dikira. Putrajaya dan Labuan berada di bawah pentadbiran Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan.


10. Kuala Dungun, Terengganu: 190,300 orang



Kuala Dungun merupakan ibu daerah Dungun di Terengganu. Ianya terletak di selatan Terengganu, berhampiran Kemaman dan Kuantan. Mendapat namanya daripada pokok Dungun yang tumbuh di sekitar kawasan itu pada masa dahulu. Dahulunya, bandar ini pernah pesat membangun kerana kegiatan bijih besi di Bukit Besi. Sebuah landasan pernah menghubungkan antara Bukit Besi ke Kuala Dungun sebagai sebuah pelabuhan pada ketika itu. Kini bandar pesisir pantai itu lebih kepada sebagai pusat perikanan dan pusat budaya tradisi.

9. Alor Gajah, Melaka: 138,396 orang


Alor Gajah, Melaka merupakan ibu daerah kepada daerah Alor Gajah. Merupakan sebuah bandar tradisi yang lengkap dengan pelbagai infrastruktur. Namanya mungkin membawa maksud kawasan laluan gajah.

8. Jasin, Melaka: 135,317 orang



Jasin pula merupakan ibu daerah kepada daerah Jasin, yang merupakan daerah terbesar di Melaka. Ianya mendapat nama daripada Mat Yasin, iaitu pendatang Bugis yang membangunkan pekan itu selepas berlakunya kebakaran di pekan kecil itu. Di sini terletaknya MRSM Tun Ghafar Baba dan UITM Jasin. 

7. Bentong, Pahang: 104,000 orang



Terletak di barat Pahang dan berhampiran dengan sempadan Selangor, Bentong merupakan sebuah ibu daerah kepada daerah Bentong. Dahulunya, ianya merupakan mukim kepada daerah Raub sebelum dipisahkan kerana kawasan pentadbiran Raub terlalu besar. Keluasan bandar Bentong dikatakan sama dengan bandar Raub.

6. Langkawi, Kedah:  94,777 orang



Sebenarnya aku nak letak Kuah, Langkawi, tapi memandangkan tak ada langsung maklumat tepat pasal jumlah penduduk Kuah, so aku includekan je satu pulau Langkawi. Walaupun pada entri yang lepas, aku senaraikan Langkawi pada kedudukan bandar dengan populasi ke-6 tertinggi di Kedah, rata-rata orang Kedah sendiri akui Langkawi adakalanya lebih hidup daripada Sungai Petani, Jitra malah Alor Setar itu sendiri. Selain daripada terkenal dengan mat salleh dan minah salleh yang bersidai di pulau ibarat Bali/Phuket ini, pulau ini juga lengkap dengan segala lapangan terbang dan pusat membeli-belah, sampaikan korang tak terasa macam duduk kat pulau. No wonder orang Kedah cukup marah bila Menteri WP nak jadikan Langkawi wilayah persekutuan.

5. Labuan: 86,908 orang



Kita beralih pula ke Timur Malaysia. Bandar Labuan, yang juga dikenali sebagai Victoria pun agak sukar nak cari maklumat tepat tentang jumlah populasinya. Ianya merupakan pelabuhan bebas cukai dan pusat ekonomi luar pantai. Mendapat namanya daripada "Labuhan", yang sinonim dengan statusnya sebagai pelabuhan penting, Labuan juga terkenal sebagai lokasi terbaik untuk penyelam serta merupakan bandar pendidikan berikutan terletaknya kampus Universiti Malaysia Sabah dan Kolej Matrikulasi Labuan di sini.

4. Kulai, Johor: 80,153 orang



Pernah digelar sebagai Kulaijaya, sebelum ditukar kembali kepada Kulai oleh Sultan Johor. Sepertimana bandar-bandar yang disenaraikan di atas, Kulai juga merupakan sebuah ibu daerah, iaitu pusat pentadbiran untuk daerah Kulai. Kebanyakan penduduknya terlibat dalam sektor agrikultur, terutamanya sawit dan getah. Kulai juga mempunyai penempatan Felda pertama, iaitu Gugusan Felda Taib Andak.

3. Putrajaya: 72,413 orang



Putrajaya merupakan sebuah bandar terancang yang memegang status sebagai pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan Malaysia, menggantikan Kuala Lumpur pada 1999. Daripada sebuah tempat terpencil yang bernama Prang Besar, kawasan ini melonjak naik dengan nama Putrajaya pada 12 Oktober 1994.  "Putra" bererti anak lelaki, sementara "jaya" bermaksud kemenangan. Bandar ini dinamakan sempena Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.


2. Kangar, Perlis 60,712



Terletak di negeri paling utara dan terkecil di Malaysia, bandar ini merupakan pusat utama bagi kegiatan seharian rakyat Perlis memandangkan pusat membeli-belah, bank-bank utama, mahkamah, hospital dan stesen bas antara negeri terletak di sini. Dengan populasi sekitar 60,000 penduduk, dianggarkan kira-kira 1 daripada 6 orang Perlis menetap di sini. Kangar bolehlah dikatakan sebagai bandar ibu negeri paling kecil di Malaysia. (Smallest state capital in Malaysia).

1.  Nilai, Negeri Sembilan  38,612


Nilai merupakan sebuah bandar baru di Negeri Sembilan yang terletak di dalam daerah Seremban. Tidak seperti bandar-bandar di atas, Nilai bukanlah sebuah ibu daerah. Projek Lapangan Terbang Kuala Lumpur, Putrajaya serta hubungan dengan KTM Komuter menjadikan bandar ini semakin membangun. Bandar Nilai juga terkenal sebagai pusat pendidikan memandangkan Kolej Universiti Antarabangsa INTI, Kolej Universiti Antarabangsa Nilai, Universiti Sains Islam Malaysia dan Kolej Universiti Islam Malaysia terletak di sini, menjadikannya hub pendidikan sepertimana Johor Bahru dan Sri Iskandar.

Wednesday, February 15, 2017

CSR vs LPT3



Central  Spine  Road, di dalam Bahasa  Melayu-nya bermaksud  Lebuhraya Utama Tengah, merupakan sebuah lebuhraya  yang  giat  dibina  di  pedalaman  Kelantan  dan  Pahang, yang  bakal menyambungkan  Kota Bharu  dan  Simpang Pelangai. Pada mulanya, ia hanya menyambungkan Kuala Krai dan Simpang Pelangai, namun disambung bersama Lebuhraya Rakyat atas permintaan kerajaan negeri. Walaupun lebuhraya ini sering dikatakan menyambungkan Kuala Pilah (di dalam gambar seperti turut ke Seremban) ke Kota Bharu, namun ianya hanya menyambungkan Pasir Hor, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang. Lebuhraya ini sudah siap di beberapa seksyen iaitu dari Persimpangan Kubang Rusa, Persimpangan Sungai Yu dan Persimpangan Chegar Perah, kesemuanya di Pahang.

Ianya turut mempunyai viaduct laluan haiwan liar, bebas tol, serta dibahagikan kepada beberapa seksyen kepada syarikat berbeza untuk mengelakkan terbengkalai.

Sementara itu, di sebelah timur, Lebuhraya Pantai Timur 3 masih dirancang dan belum ada ura-ura pembinaan lagi. Kerajaan Terengganu menggesa kerajaan pusat menyegerakan pembinaannya, memandangkan LPT2 mati dengan kadar trafik yang rendah, mengakibatkan sesetengah kawasan hentian kosong, seperti Perasing dan Ajil. Selain daripada ketiadaan stesen minyak, kisah seram menambahkan lagi rencah yang menjadi resepi kejatuhan LPT2. Sikap penduduk tempatan yang lebih gemar melalui jalan pantai juga menyebabkan trafik domestik sangat kurang di sini.

Dengan adanya Lebuhraya Pantai Timur 3, diharap bahawa trafik dari Kelantan akan menghidupkan semula LPT2, memandangkan kadar migrasi yang tinggi dalam kalangan warga Kelantan ke Kuala Lumpur, Kuantan dan Kuala Terengganu untuk mencari kerja, ilmu serta hiburan. Beberapa persimpangan sudah diumumkan seperti Permaisuri, Jertih, Machang, Ketereh, Kota Bharu dan Tumpat, sebelum terus ke sempadan.

Pembinaan dua lebuhraya ini bakal menjadi suatu fenomena, apatah lagi bila pembangunan seakan terarah ke Pantai Timur yang selama ini dipandang sebelah mata oleh sesetengah pihak. Tidak dinafikan, kedua-duanya mempunyai pro dan kontra masing-masing.


PRO  CSR

Memandangkan CSR telah dibina terlebih dahulu, maka pandangan rakyat Kelantan akan lebih terarah kepada lebuhraya ini. Lebih-lebih lagi, ianya akan menjadi laluan singkat terus ke Kuala Lumpur, memandangkan ianya bersambungan dengan LPT antara Karak dan Bentong, yang bermakna rakyat Kelantan tidak perlu pusing terlalu jauh hingga ke Terengganu untuk pergi ke KL. Apatah lagi, ianya bebas tol.

Laluan Gua Musang sememangnya dikenali sebagai laluan maut sebelum ini, ditambah dengan keadaannya yang sunyi. Dengan adanya lebuhraya ini, kadar kemalangan boleh dikurangkan, memandangkan ianya kurang selekoh tajam dan lebih lebar. Bandar-bandar di sepanjang jalan ini juga akan mendapat kemajuan kerana trafik yang bertambah, seperti Gua Musang, Kuala Krai, Kuala Lipis, Padang Tengku, dan Raub, sekaligus menaikkan lagi taraf ekonomi dan sosial pedalaman Kelantan dan Pahang.

KONTRA  CSR

Walaupun terdapat banyak kebaikan yang boleh kita perolehi daripadanya, CSR juga mempunyai beberapa kontra. Antaranya adalah sifatnya yang bebas tol. Dengan menawarkan bebas tol, ianya bermakna beberapa keistimewaan pengguna di lebuhraya lain, tiada di sini. Ini termasuk penyelenggaraan jalan dan juga sistem peronda lebuh raya. Lebuhraya percuma juga biasanya tidak terurus dan selalu dijadikan medan perlumbaan mat rempit, contohnya Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis yang terdapat ramai remaja Perlis merempit di situ setiap hari minggu. Penamatnya di Simpang Pelangai juga tidak berapa kena, memandangkan kawasan tersebut mempunyai trafik yang rendah, kebiasaannya mereka yang dari Negeri Sembilan yang hendak ke Pantai Timur,  yang bakal menyebabkan seksyen Bentong-Simpang Pelangai menjadi sunyi.

KONTRA  LPT3

Sepertimana yang ditulis di atas, LPT3 akan kehilangan banyak pelanggan dari Kelantan yang ingin ke Kuala Lumpur, memandangkan CSR lebih cepat ke sana, serta kos yang efisien. LPT3 juga hanya mencakupi kawasan utara Kelantan yang melibatkan Pasir Putih, Kota Bharu dan Tumpat, yang bermakna mereka yang berada di Selatan Kelantan pula memandu ke utara untuk menggunakan lebuhraya ini. LPT3 juga sebenarnya masih belum dibina memandangkan berlakunya kerisauan andai trafiknya masih rendah, jadi CSR ditubuhkan dahulu untuk melihat potensi trafik Pantai Timur. LPT4 juga masih belum dirancang mungkin atas alasan yang sama.

PRO  LPT3

Walaupun trafik ke Kuala Lumpur akan "dicuri" oleh CSR, mereka yang ingin ke Kuala Terengganu, atau Kuantan masih perlu melalui LPT3, memandangkan jarak yang masih dekat. Meskipun lokasi LPT3 tidak menguntungkan penduduk di selatan negeri, kebanyakan penduduk Kelantan menetap di Kota Bahru yang mempunyai populasi yang tinggi, yang menjadikannya masih berbaloi, memandangkan bandar itu disambung dengan kedua-dua lebuhraya. LPT3 juga bakal mengubah landskap pintu sempadan negara memandangkan ianya akan terus ke Thailand, membentuk jambatan persahabatan yang baru, selain jambatan Bukit Bunga dan Rantau Panjang. Perkhidmatan air ke sempadan mungkin akan dihentikan, sekaligus menjadikan Kelantan negeri yang mempunyai jumlah jambatan sempadan terbanyak di Malaysia, selepas Sarawak-Brunei.



Melalui tulisan ini, pasti ada yang menjangkakan persaingan antara kedua-dua lebuhraya ini. Tidak juga... Kebanyakan rakyat Kelantan kebiasaannya melalui Gua Musang untuk ke KL, dan pulang melalui Kuala Terengganu, jadi bolehlah kita katakan, CSR dan LPT3 akan saling melengkapi apabila kedua-duanya siap dibina nanti.

Wednesday, February 8, 2017

Di mana agaknya LPT4 bakal dibina?

Lebuhraya Pantai Timur 2 (atau juga LPT2) adalah rangkaian lebuhraya terkini di Pantai Timur yang dirancang dalam beberapa fasa. Ianya bermula daripada Persimpangan Jabor hingga ke Persimpangan Kuala Nerus. Walau bagaimanaun, dalam masa beberapa tahun beroperasi, ianya mula dihujani pelbagai isu. Antara isu yang utama adalah kekurangan trafik. Meskipun negeri Terengganu terkenal dengan pantai yang cantik dan budaya yang unik, ianya masih gagal untuk menaikkan trafik di lebuhraya itu. Kebanyakan pemandu tempatan lebih gemar memandu di jalan pantai, memandangkan ianya lebih dekat dengan bandar serta mempunyai pemandangan yang lebih menarik. Keadaan diburukkan lagi dengan cerita-cerita seram, seperti di kawasan rehat Perasing, Paka dan Ajil.

Keadaan ini memaksa kerajaan Terengganu mendesak kerajaan pusat untuk menyiapkan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang menuju ke Kelantan secepatnya. Ini adalah kerana kadar emigrasi yang agak tinggi dalam kalangan rakyat Kelantan yang keluar ke Terengganu, Kuantan dan Kuala Lumpur untuk bekerja, menyambung pelajaran dan mencari hiburan seperti wayang. Beberapa draf telah dikeluarkan mengenainya beserta cadangan persimpangan.

Namun, ada sebuah lagi jajaran yang masih mengundang persoalan ramai pihak, iaitu Lebuhraya Pantai Timur 4 (LPT4), yang akan menghubungkan Kota Bharu dan Johor Bahru. Tiada sebarang maklumat dikeluarkan mengenainya lagi, malah ura-ura untuk membinanya juga tidak kedengaran, tidak seperti Lebuhraya Utama Tengah (CSR) dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang bukan saja hangat diperkatakan, malah giat dibina sekarang. Satu-satunya maklumat yang kita ada hanyalah sebuah persimpangan yang menuju ke LPT4 akan dibina di antara Persimpangan Gambang dan Persimpangan Kuantan (LPT Future Section) dan dibina melalui / selari Jalan Persekutuan 3.

Jika ianya melalui kawasan tersebut, ia akan melalui beberapa bandar seperti Pekan, Kuala Rompin, Endau, Mersing, Tanjung Sedili dan Kota Tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat suatu "jarak" atau gap yang sangat jauh antara Pekan dan Kuala Rompin, dan tiada sebarang penempatan besar atau pekan di sini, selain Nenasi. Perkara ini agak berisiko memandangkan keadaan trafik yang rendah boleh mematikan lebuhraya ini, seperti di LPT2, meskipun ianya melalui hampir kesemua bandar-bandar besar di Terengganu.

Kami berpendapat ada baiknya sekiranya laluan itu turut condong ke arah Lebuhraya Tun Razak (turut dikenali sebagai Lebuhraya Segamat-Kuantan) yang melalui Chini, Muadzam Shah, Bandar Tun Razak, Felda Keratong dan berakhir di Segamat. Malah, LPT3 juga boleh memanfaatkan persimpangan berlian sedia ada di Muadzam Shah. Jalan Bahau - Keratong juga boleh diserap sepertimana jajaran Cahaya Baru di Lebuhraya Senai-Desaru. Namun, idea ini tidak seberapa bagus, kerana penyerapan Lebuhraya Tun Razak sekaligus akan mengabaikan Kuala Rompin dan Mersing yang agak berpotensi.

Memandangkan Pekan, Muadzam Shah, Kuala Rompin, Segamat dan Mersing adalah bandar berpotensi yang mampu menghidupkan jajaran ini (yang mana agak sukar untuk menyambungkan kesemuanya sekali), Kami mula terfikirkan satu idea gila yang pernah dicuba di persimpangan Jalan Duta iaitu persimpangan Halaan-T (Directional- T interchange). Persimpangan ini boleh dibuat sebelum atau selepas Persimpangan Muadzam Shah. Melalui idea ini, Jajaran Segamat akan melalui
Keratong, Segamat dan boleh disambung lagi melalui Labis, Chaah, Kluang, dan Renggam. Untuk pengakhirannya, ada baiknya samada bersambung semula dengan Lebuhraya Utara-Selatan  untuk mereka yang dari utara Johor terus ke Pantai Timur, atau berakhir di Kota Tinggi, atau bersambungan dengan E22 Lebuhraya Senai-Desaru.

Untuk Jajaran Mersing pula, kami mencadangkan ianya melalui Endau-Tanjong Gemuk, Mersing, Jemaluang, Tanjong Leman (bagi mereka yang ingin ke Pulau Sibu, memandangkan ianya hanya kawasan kecil, jadi ini hanyalah cadangan), Tanjung Sedili, dan berakhir di Kota Tinggi.

Walau bagaimana pun, sebelum kedua-dua jajaran ini dibina, bandar-bandar ini perlu dikukuhkan dahulu supaya tidak menerima nasib sepertimana LPT2.



Tuesday, February 7, 2017

10 Bandar di Malaysia yang layak menjadi bandaraya

Apakah bandar yang pertama dan terakhir menerima status bandaraya di Malaysia setakat ni? Haa... camna, boleh jawab ke? Jawapannya adalah Georgetown, Pulau Pinang yang mendapat status bandaraya ini pada 1 Januari 1957 dan 1 Januari 2015. Status bandaraya yang dimiliki oleh Georgetown yang mana ianya telah dianugerahkan oleh Permaisuri Elizabeth II diragui dan diletakkan di dalam Majlis Perbandaran sebelum menjadi Majlis Bandaraya pada tahun 2015.

Terdapat juga bandar-bandar lain di Malaysia yang berusaha untuk mencapai taraf bandaraya seperti Seremban, Sungai Petani dan Batu Pahat. Setakat ini, ibu negeri di Malaysia yang masih belum bergelar bandaraya adalah Seremban, Kota Bharu, Kuantan dan Kangar. Tapi macamana bandar-bandar ni boleh capai status bandaraya? Boleh suka-suka hati declare ke? Nope. Ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi sebuah bandaraya. Dan hanya ada 12 sahaja bandaraya di Malaysia setakat ini iaitu Georgetown, Kuala Lumpur, Ipoh, Melaka, Kuching, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Shah Alam, Alor Setar, Kuala Terengganu, Miri dan Petaling Jaya.

Syarat yang perlu dipenuhi adalah:
1) Pusat pentadbiran negeri ( Miri dan Petaling Jaya tidak mengambilkira kriteria pertama )
2) Populasi tak kurang 300,000 orang
3) Hasil pendapatan tak kurang 80 juta

Walau bagaimanapun, perkara ini mencetuskan kontroversi apabila dua bandar yang tidak layak (pandai-pandailah teka) menjadi bandaraya meskipun memenuhi semua kriteria. Untuk mengelakkan perkara sama berulang, had populasi dinaikkan sehingga 500,000 orang dan hasil pendapatan setahun mesti 100 juta ke atas.

Di bawah adalah senarai bandar-bandar di Malaysia yang layak /  hampir layak untuk mencapai status bandaraya. Kami hanya menilai melalui populasi memandangkan tiada statistik pendapatan untuk bandar-bandar di Malaysia.

1. SEREMBAN, Negeri Sembilan


      Terletak tidak jauh daripada Lembah Klang, Seremban adalah salah satu bandar yang menerima limpahan kemajuan daripada negeri jirannya serta turut disambungkan laluan komuter walaupun berada di luar lingkungan Lembah Klang. Bandar ini hampir menjadi bandaraya pada 9 September 2009 sebelum peraturan bandaraya ditukar.
     Walau bagaimanapun, pada 2012, Menteri Besar telahpun mencadangkan supaya Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Perbandaran Seremban yang kedua-duanya dalam daerah Seremban digabungkan dan kini dalam fasa akhir peningkatan infrastruktur untuk memastikan bandar itu memang betul-betul layak untuk menjadi bandaraya. Populasi bandar ini kini mencecah 555,935 orang, menjadikan calon mudah untuk menjadi bandaraya selain daripada statusnya sebagai ibu negeri.


2.  KUANTAN, Pahang


Terletak di Pantai Timur, bandar ini mempunyai kelebihan yang agak ketara di kawasan ini memandangkan hanya ia yang mempunyai pelabuhan utama. Tidak dapat dipastikan mengapa bandar ini masih belum memohon status bandaraya dan mengapa Kuala Terengganu memperolehnya dahulu. Bandar ini juga dihubungkan melalui Lebuhraya Pantai Timur dari Kuala Lumpur dan menjadi tumpuan ramai apabila terdapat perancangan untuk membina landasan keretapi ke sini untuk menjadi pelabuhan penting yang membawa kargo terus ke Pelabuhan Klang. Populasi Kuantan dianggarkan mencapai 607,778 orang.


3. KLANG, Selangor


Klang merupakan pelabuhan utama di negara ini dan terletak di bahagian barat Selangor. Ianya merupakan bandar diraja bagi negeri Selangor dan merupakan antara bandar terbesar di negeri ini selain Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya. Kawasan ini dikenali ramai sebagai kawasan yang mempunyai populasi India yang signifikan terutama di sekitar Little India atau Jalan Dato' Kelana. Bandar ini sering menjadi buah mulut masyarakat tempatan berkenaan kadar jenayah yang tinggi dan jumlah imigran yang terlalu ramai. Populasi bandar ini mencecah 744 062 orang.


4. SUBANG  JAYA, Selangor



Subang Jaya pernah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia apabila populasinya dikatakan lebih tinggi daripada populasi penduduk Kuala Lumpur apabila bancian 2010 dijalankan. Di sinilah terletaknya Lapangan Terbang Subang yang merupakan nadi pengangkutan bagi penduduk ibu kota yang ingin ke luar negara sebelum diambil alih oleh KLIA di Sepang. Bandar yang pesat membangun ini mempunyai populasi yang amat besar, kira-kira 1,553,589 orang.


5. BATU  PAHAT, Johor



Dengan populasi 417, 458 orang, Batu Pahat dilihat seperti masih jauh sebelum berjaya membida status bandaraya. Walau bagaimanapun, bandar kedua terbesar di negeri Johor ini sangat menonjol dari segi kepesatan membangunnya. Malah, ianya juga merupakan bandar ke-12 paling tinggi kepadatan penduduk di Malaysia. Bandar ini sedang dalam proses untuk mencapai bandaraya bersama-sama beberapa bandar lain. Di sini juga terletaknya salah sebuah universiti awam yang bernama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).


6. KOTA  BHARU, Kelantan



Kembali semula ke Pantai Timur, kita akan bertemu sebuah lagi ibu negeri yang masih belum diberikan status bandaraya iaitu Kota Bharu. Meskipun ianya mempunyai gelaran sebagai Bandaraya Islam, walaubagaimanapun ianya hanyalah gelaran oleh kerajaan negeri. Namun, ibu negeri Kelantan ini tidak seharusnya dipandang enteng. Kadar migrasi domestik yang tinggi di Kelantan menjadikan bandar yang berada di laluan ke Kota Bharu sentiasa hidup, seperti Grik dan Gua Musang. Pembinaan Lebuhraya Utama Tengah dan Lebuhraya Pantai Timur Ketiga mungkin akan merancakkan lagi pembangunan di bandar ini. Ibu negeri Kelantan ini mempunyai populasi setinggi 491, 237 orang.


7. SUNGAI  PETANI, Kedah


       Selepas Alor Setar dan Georgetown, mungkin agak sukar untuk mencari bandar lain yang sesuai untuk menjadi bandaraya memandangkan bandar-bandar di sini mempunyai populasi yang kecil seperti Kangar, Jitra dan Kulim. Walau bagaimanapun, Sungai Petani mempunyai harapan yang bersinar untuk menjadi bandaraya ketiga di kawasan utara memandangkan lokasinya yang hampir dengan Pulau Pinang dan populasinya lebih tinggi daripada Alor Setar, iaitu berjumlah 456, 605 orang.
    Sungai Petani menjadi tumpuan kerana harga rumah di sini lebih murah berbanding di Pulau Pinang, Pemilikan hartanah juga lebih mudah kerana ia tidak dikerumuni sawah padi seperti Alor Setar dan Kangar. Bandar ini kini sedang membida status bandaraya dan dalam proses untuk mendapatkannya.

8. SANDAKAN, Sabah



Buat masa ini, Sarawak telahpun mempunyai dua bandaraya iaitu Kuching dan Miri, manakala Sabah hanya memiliki satu sahaja, iaitu Kota Kinabalu. Namun, Sabah mungkin bakal mendapatkan bandarayanya yang kedua. Bandar kedua terbesar di Sabah ini juga menduduki bandar ke-8 terbesar di Borneo, bersaing rapat dengan Tawau dan Miri. Bandar ini yang juga digelar Elopura mempunyai kadar jumlah penduduk seramai 479, 121 orang.


9. KAJANG, Selangor


Kalau sebut tentang Kajang, pasti teringat akan Sate Kajang Haji Samuri yang sangat terkenal. Bandar ini juga turut dikenali dengan Stadium Kajang dan juga Universiti Tenaga Nasional (UniTEN). Ianya merupakan salah satu bandar yang membentuk Lembah Klang dan boleh dihubungkan melalui Lebuhraya Silk. Bandar ini mempunyai penduduk seramai 561, 593 orang. Ianya dijangka akan semakin membangun dengan terlaksananya Stesen MRT yang berakhir di bandar ini.

10. AMPANG, Selangor



Sepertimana Cheras, Ampang juga adalah kawasan yang terbelah kepada dua bahagian, iaitu Kuala Lumpur dan Selangor. Ampang berasal daripada perkataan "empangan". Bandar ini terkenal dengan kekayaan bijih timah suatu ketika dahulu. Populasi bandar ini adalah sekitar 756, 309 orang.

Hai, lama dah terbiar blog ni

Lama betul tak bukak blog ni. Tadi check kalau tak silap kali terakhir update adalah pada tahun 2019. Dah 4 tahun bersawang kiranya. Buat ma...