Wednesday, February 15, 2017

CSR vs LPT3



Central  Spine  Road, di dalam Bahasa  Melayu-nya bermaksud  Lebuhraya Utama Tengah, merupakan sebuah lebuhraya  yang  giat  dibina  di  pedalaman  Kelantan  dan  Pahang, yang  bakal menyambungkan  Kota Bharu  dan  Simpang Pelangai. Pada mulanya, ia hanya menyambungkan Kuala Krai dan Simpang Pelangai, namun disambung bersama Lebuhraya Rakyat atas permintaan kerajaan negeri. Walaupun lebuhraya ini sering dikatakan menyambungkan Kuala Pilah (di dalam gambar seperti turut ke Seremban) ke Kota Bharu, namun ianya hanya menyambungkan Pasir Hor, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang. Lebuhraya ini sudah siap di beberapa seksyen iaitu dari Persimpangan Kubang Rusa, Persimpangan Sungai Yu dan Persimpangan Chegar Perah, kesemuanya di Pahang.

Ianya turut mempunyai viaduct laluan haiwan liar, bebas tol, serta dibahagikan kepada beberapa seksyen kepada syarikat berbeza untuk mengelakkan terbengkalai.

Sementara itu, di sebelah timur, Lebuhraya Pantai Timur 3 masih dirancang dan belum ada ura-ura pembinaan lagi. Kerajaan Terengganu menggesa kerajaan pusat menyegerakan pembinaannya, memandangkan LPT2 mati dengan kadar trafik yang rendah, mengakibatkan sesetengah kawasan hentian kosong, seperti Perasing dan Ajil. Selain daripada ketiadaan stesen minyak, kisah seram menambahkan lagi rencah yang menjadi resepi kejatuhan LPT2. Sikap penduduk tempatan yang lebih gemar melalui jalan pantai juga menyebabkan trafik domestik sangat kurang di sini.

Dengan adanya Lebuhraya Pantai Timur 3, diharap bahawa trafik dari Kelantan akan menghidupkan semula LPT2, memandangkan kadar migrasi yang tinggi dalam kalangan warga Kelantan ke Kuala Lumpur, Kuantan dan Kuala Terengganu untuk mencari kerja, ilmu serta hiburan. Beberapa persimpangan sudah diumumkan seperti Permaisuri, Jertih, Machang, Ketereh, Kota Bharu dan Tumpat, sebelum terus ke sempadan.

Pembinaan dua lebuhraya ini bakal menjadi suatu fenomena, apatah lagi bila pembangunan seakan terarah ke Pantai Timur yang selama ini dipandang sebelah mata oleh sesetengah pihak. Tidak dinafikan, kedua-duanya mempunyai pro dan kontra masing-masing.


PRO  CSR

Memandangkan CSR telah dibina terlebih dahulu, maka pandangan rakyat Kelantan akan lebih terarah kepada lebuhraya ini. Lebih-lebih lagi, ianya akan menjadi laluan singkat terus ke Kuala Lumpur, memandangkan ianya bersambungan dengan LPT antara Karak dan Bentong, yang bermakna rakyat Kelantan tidak perlu pusing terlalu jauh hingga ke Terengganu untuk pergi ke KL. Apatah lagi, ianya bebas tol.

Laluan Gua Musang sememangnya dikenali sebagai laluan maut sebelum ini, ditambah dengan keadaannya yang sunyi. Dengan adanya lebuhraya ini, kadar kemalangan boleh dikurangkan, memandangkan ianya kurang selekoh tajam dan lebih lebar. Bandar-bandar di sepanjang jalan ini juga akan mendapat kemajuan kerana trafik yang bertambah, seperti Gua Musang, Kuala Krai, Kuala Lipis, Padang Tengku, dan Raub, sekaligus menaikkan lagi taraf ekonomi dan sosial pedalaman Kelantan dan Pahang.

KONTRA  CSR

Walaupun terdapat banyak kebaikan yang boleh kita perolehi daripadanya, CSR juga mempunyai beberapa kontra. Antaranya adalah sifatnya yang bebas tol. Dengan menawarkan bebas tol, ianya bermakna beberapa keistimewaan pengguna di lebuhraya lain, tiada di sini. Ini termasuk penyelenggaraan jalan dan juga sistem peronda lebuh raya. Lebuhraya percuma juga biasanya tidak terurus dan selalu dijadikan medan perlumbaan mat rempit, contohnya Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis yang terdapat ramai remaja Perlis merempit di situ setiap hari minggu. Penamatnya di Simpang Pelangai juga tidak berapa kena, memandangkan kawasan tersebut mempunyai trafik yang rendah, kebiasaannya mereka yang dari Negeri Sembilan yang hendak ke Pantai Timur,  yang bakal menyebabkan seksyen Bentong-Simpang Pelangai menjadi sunyi.

KONTRA  LPT3

Sepertimana yang ditulis di atas, LPT3 akan kehilangan banyak pelanggan dari Kelantan yang ingin ke Kuala Lumpur, memandangkan CSR lebih cepat ke sana, serta kos yang efisien. LPT3 juga hanya mencakupi kawasan utara Kelantan yang melibatkan Pasir Putih, Kota Bharu dan Tumpat, yang bermakna mereka yang berada di Selatan Kelantan pula memandu ke utara untuk menggunakan lebuhraya ini. LPT3 juga sebenarnya masih belum dibina memandangkan berlakunya kerisauan andai trafiknya masih rendah, jadi CSR ditubuhkan dahulu untuk melihat potensi trafik Pantai Timur. LPT4 juga masih belum dirancang mungkin atas alasan yang sama.

PRO  LPT3

Walaupun trafik ke Kuala Lumpur akan "dicuri" oleh CSR, mereka yang ingin ke Kuala Terengganu, atau Kuantan masih perlu melalui LPT3, memandangkan jarak yang masih dekat. Meskipun lokasi LPT3 tidak menguntungkan penduduk di selatan negeri, kebanyakan penduduk Kelantan menetap di Kota Bahru yang mempunyai populasi yang tinggi, yang menjadikannya masih berbaloi, memandangkan bandar itu disambung dengan kedua-dua lebuhraya. LPT3 juga bakal mengubah landskap pintu sempadan negara memandangkan ianya akan terus ke Thailand, membentuk jambatan persahabatan yang baru, selain jambatan Bukit Bunga dan Rantau Panjang. Perkhidmatan air ke sempadan mungkin akan dihentikan, sekaligus menjadikan Kelantan negeri yang mempunyai jumlah jambatan sempadan terbanyak di Malaysia, selepas Sarawak-Brunei.



Melalui tulisan ini, pasti ada yang menjangkakan persaingan antara kedua-dua lebuhraya ini. Tidak juga... Kebanyakan rakyat Kelantan kebiasaannya melalui Gua Musang untuk ke KL, dan pulang melalui Kuala Terengganu, jadi bolehlah kita katakan, CSR dan LPT3 akan saling melengkapi apabila kedua-duanya siap dibina nanti.

Wednesday, February 8, 2017

Di mana agaknya LPT4 bakal dibina?

Lebuhraya Pantai Timur 2 (atau juga LPT2) adalah rangkaian lebuhraya terkini di Pantai Timur yang dirancang dalam beberapa fasa. Ianya bermula daripada Persimpangan Jabor hingga ke Persimpangan Kuala Nerus. Walau bagaimanaun, dalam masa beberapa tahun beroperasi, ianya mula dihujani pelbagai isu. Antara isu yang utama adalah kekurangan trafik. Meskipun negeri Terengganu terkenal dengan pantai yang cantik dan budaya yang unik, ianya masih gagal untuk menaikkan trafik di lebuhraya itu. Kebanyakan pemandu tempatan lebih gemar memandu di jalan pantai, memandangkan ianya lebih dekat dengan bandar serta mempunyai pemandangan yang lebih menarik. Keadaan diburukkan lagi dengan cerita-cerita seram, seperti di kawasan rehat Perasing, Paka dan Ajil.

Keadaan ini memaksa kerajaan Terengganu mendesak kerajaan pusat untuk menyiapkan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) yang menuju ke Kelantan secepatnya. Ini adalah kerana kadar emigrasi yang agak tinggi dalam kalangan rakyat Kelantan yang keluar ke Terengganu, Kuantan dan Kuala Lumpur untuk bekerja, menyambung pelajaran dan mencari hiburan seperti wayang. Beberapa draf telah dikeluarkan mengenainya beserta cadangan persimpangan.

Namun, ada sebuah lagi jajaran yang masih mengundang persoalan ramai pihak, iaitu Lebuhraya Pantai Timur 4 (LPT4), yang akan menghubungkan Kota Bharu dan Johor Bahru. Tiada sebarang maklumat dikeluarkan mengenainya lagi, malah ura-ura untuk membinanya juga tidak kedengaran, tidak seperti Lebuhraya Utama Tengah (CSR) dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang bukan saja hangat diperkatakan, malah giat dibina sekarang. Satu-satunya maklumat yang kita ada hanyalah sebuah persimpangan yang menuju ke LPT4 akan dibina di antara Persimpangan Gambang dan Persimpangan Kuantan (LPT Future Section) dan dibina melalui / selari Jalan Persekutuan 3.

Jika ianya melalui kawasan tersebut, ia akan melalui beberapa bandar seperti Pekan, Kuala Rompin, Endau, Mersing, Tanjung Sedili dan Kota Tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat suatu "jarak" atau gap yang sangat jauh antara Pekan dan Kuala Rompin, dan tiada sebarang penempatan besar atau pekan di sini, selain Nenasi. Perkara ini agak berisiko memandangkan keadaan trafik yang rendah boleh mematikan lebuhraya ini, seperti di LPT2, meskipun ianya melalui hampir kesemua bandar-bandar besar di Terengganu.

Kami berpendapat ada baiknya sekiranya laluan itu turut condong ke arah Lebuhraya Tun Razak (turut dikenali sebagai Lebuhraya Segamat-Kuantan) yang melalui Chini, Muadzam Shah, Bandar Tun Razak, Felda Keratong dan berakhir di Segamat. Malah, LPT3 juga boleh memanfaatkan persimpangan berlian sedia ada di Muadzam Shah. Jalan Bahau - Keratong juga boleh diserap sepertimana jajaran Cahaya Baru di Lebuhraya Senai-Desaru. Namun, idea ini tidak seberapa bagus, kerana penyerapan Lebuhraya Tun Razak sekaligus akan mengabaikan Kuala Rompin dan Mersing yang agak berpotensi.

Memandangkan Pekan, Muadzam Shah, Kuala Rompin, Segamat dan Mersing adalah bandar berpotensi yang mampu menghidupkan jajaran ini (yang mana agak sukar untuk menyambungkan kesemuanya sekali), Kami mula terfikirkan satu idea gila yang pernah dicuba di persimpangan Jalan Duta iaitu persimpangan Halaan-T (Directional- T interchange). Persimpangan ini boleh dibuat sebelum atau selepas Persimpangan Muadzam Shah. Melalui idea ini, Jajaran Segamat akan melalui
Keratong, Segamat dan boleh disambung lagi melalui Labis, Chaah, Kluang, dan Renggam. Untuk pengakhirannya, ada baiknya samada bersambung semula dengan Lebuhraya Utara-Selatan  untuk mereka yang dari utara Johor terus ke Pantai Timur, atau berakhir di Kota Tinggi, atau bersambungan dengan E22 Lebuhraya Senai-Desaru.

Untuk Jajaran Mersing pula, kami mencadangkan ianya melalui Endau-Tanjong Gemuk, Mersing, Jemaluang, Tanjong Leman (bagi mereka yang ingin ke Pulau Sibu, memandangkan ianya hanya kawasan kecil, jadi ini hanyalah cadangan), Tanjung Sedili, dan berakhir di Kota Tinggi.

Walau bagaimana pun, sebelum kedua-dua jajaran ini dibina, bandar-bandar ini perlu dikukuhkan dahulu supaya tidak menerima nasib sepertimana LPT2.



Tuesday, February 7, 2017

10 Bandar di Malaysia yang layak menjadi bandaraya

Apakah bandar yang pertama dan terakhir menerima status bandaraya di Malaysia setakat ni? Haa... camna, boleh jawab ke? Jawapannya adalah Georgetown, Pulau Pinang yang mendapat status bandaraya ini pada 1 Januari 1957 dan 1 Januari 2015. Status bandaraya yang dimiliki oleh Georgetown yang mana ianya telah dianugerahkan oleh Permaisuri Elizabeth II diragui dan diletakkan di dalam Majlis Perbandaran sebelum menjadi Majlis Bandaraya pada tahun 2015.

Terdapat juga bandar-bandar lain di Malaysia yang berusaha untuk mencapai taraf bandaraya seperti Seremban, Sungai Petani dan Batu Pahat. Setakat ini, ibu negeri di Malaysia yang masih belum bergelar bandaraya adalah Seremban, Kota Bharu, Kuantan dan Kangar. Tapi macamana bandar-bandar ni boleh capai status bandaraya? Boleh suka-suka hati declare ke? Nope. Ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk menjadi sebuah bandaraya. Dan hanya ada 12 sahaja bandaraya di Malaysia setakat ini iaitu Georgetown, Kuala Lumpur, Ipoh, Melaka, Kuching, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Shah Alam, Alor Setar, Kuala Terengganu, Miri dan Petaling Jaya.

Syarat yang perlu dipenuhi adalah:
1) Pusat pentadbiran negeri ( Miri dan Petaling Jaya tidak mengambilkira kriteria pertama )
2) Populasi tak kurang 300,000 orang
3) Hasil pendapatan tak kurang 80 juta

Walau bagaimanapun, perkara ini mencetuskan kontroversi apabila dua bandar yang tidak layak (pandai-pandailah teka) menjadi bandaraya meskipun memenuhi semua kriteria. Untuk mengelakkan perkara sama berulang, had populasi dinaikkan sehingga 500,000 orang dan hasil pendapatan setahun mesti 100 juta ke atas.

Di bawah adalah senarai bandar-bandar di Malaysia yang layak /  hampir layak untuk mencapai status bandaraya. Kami hanya menilai melalui populasi memandangkan tiada statistik pendapatan untuk bandar-bandar di Malaysia.

1. SEREMBAN, Negeri Sembilan


      Terletak tidak jauh daripada Lembah Klang, Seremban adalah salah satu bandar yang menerima limpahan kemajuan daripada negeri jirannya serta turut disambungkan laluan komuter walaupun berada di luar lingkungan Lembah Klang. Bandar ini hampir menjadi bandaraya pada 9 September 2009 sebelum peraturan bandaraya ditukar.
     Walau bagaimanapun, pada 2012, Menteri Besar telahpun mencadangkan supaya Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Perbandaran Seremban yang kedua-duanya dalam daerah Seremban digabungkan dan kini dalam fasa akhir peningkatan infrastruktur untuk memastikan bandar itu memang betul-betul layak untuk menjadi bandaraya. Populasi bandar ini kini mencecah 555,935 orang, menjadikan calon mudah untuk menjadi bandaraya selain daripada statusnya sebagai ibu negeri.


2.  KUANTAN, Pahang


Terletak di Pantai Timur, bandar ini mempunyai kelebihan yang agak ketara di kawasan ini memandangkan hanya ia yang mempunyai pelabuhan utama. Tidak dapat dipastikan mengapa bandar ini masih belum memohon status bandaraya dan mengapa Kuala Terengganu memperolehnya dahulu. Bandar ini juga dihubungkan melalui Lebuhraya Pantai Timur dari Kuala Lumpur dan menjadi tumpuan ramai apabila terdapat perancangan untuk membina landasan keretapi ke sini untuk menjadi pelabuhan penting yang membawa kargo terus ke Pelabuhan Klang. Populasi Kuantan dianggarkan mencapai 607,778 orang.


3. KLANG, Selangor


Klang merupakan pelabuhan utama di negara ini dan terletak di bahagian barat Selangor. Ianya merupakan bandar diraja bagi negeri Selangor dan merupakan antara bandar terbesar di negeri ini selain Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya. Kawasan ini dikenali ramai sebagai kawasan yang mempunyai populasi India yang signifikan terutama di sekitar Little India atau Jalan Dato' Kelana. Bandar ini sering menjadi buah mulut masyarakat tempatan berkenaan kadar jenayah yang tinggi dan jumlah imigran yang terlalu ramai. Populasi bandar ini mencecah 744 062 orang.


4. SUBANG  JAYA, Selangor



Subang Jaya pernah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia apabila populasinya dikatakan lebih tinggi daripada populasi penduduk Kuala Lumpur apabila bancian 2010 dijalankan. Di sinilah terletaknya Lapangan Terbang Subang yang merupakan nadi pengangkutan bagi penduduk ibu kota yang ingin ke luar negara sebelum diambil alih oleh KLIA di Sepang. Bandar yang pesat membangun ini mempunyai populasi yang amat besar, kira-kira 1,553,589 orang.


5. BATU  PAHAT, Johor



Dengan populasi 417, 458 orang, Batu Pahat dilihat seperti masih jauh sebelum berjaya membida status bandaraya. Walau bagaimanapun, bandar kedua terbesar di negeri Johor ini sangat menonjol dari segi kepesatan membangunnya. Malah, ianya juga merupakan bandar ke-12 paling tinggi kepadatan penduduk di Malaysia. Bandar ini sedang dalam proses untuk mencapai bandaraya bersama-sama beberapa bandar lain. Di sini juga terletaknya salah sebuah universiti awam yang bernama Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).


6. KOTA  BHARU, Kelantan



Kembali semula ke Pantai Timur, kita akan bertemu sebuah lagi ibu negeri yang masih belum diberikan status bandaraya iaitu Kota Bharu. Meskipun ianya mempunyai gelaran sebagai Bandaraya Islam, walaubagaimanapun ianya hanyalah gelaran oleh kerajaan negeri. Namun, ibu negeri Kelantan ini tidak seharusnya dipandang enteng. Kadar migrasi domestik yang tinggi di Kelantan menjadikan bandar yang berada di laluan ke Kota Bharu sentiasa hidup, seperti Grik dan Gua Musang. Pembinaan Lebuhraya Utama Tengah dan Lebuhraya Pantai Timur Ketiga mungkin akan merancakkan lagi pembangunan di bandar ini. Ibu negeri Kelantan ini mempunyai populasi setinggi 491, 237 orang.


7. SUNGAI  PETANI, Kedah


       Selepas Alor Setar dan Georgetown, mungkin agak sukar untuk mencari bandar lain yang sesuai untuk menjadi bandaraya memandangkan bandar-bandar di sini mempunyai populasi yang kecil seperti Kangar, Jitra dan Kulim. Walau bagaimanapun, Sungai Petani mempunyai harapan yang bersinar untuk menjadi bandaraya ketiga di kawasan utara memandangkan lokasinya yang hampir dengan Pulau Pinang dan populasinya lebih tinggi daripada Alor Setar, iaitu berjumlah 456, 605 orang.
    Sungai Petani menjadi tumpuan kerana harga rumah di sini lebih murah berbanding di Pulau Pinang, Pemilikan hartanah juga lebih mudah kerana ia tidak dikerumuni sawah padi seperti Alor Setar dan Kangar. Bandar ini kini sedang membida status bandaraya dan dalam proses untuk mendapatkannya.

8. SANDAKAN, Sabah



Buat masa ini, Sarawak telahpun mempunyai dua bandaraya iaitu Kuching dan Miri, manakala Sabah hanya memiliki satu sahaja, iaitu Kota Kinabalu. Namun, Sabah mungkin bakal mendapatkan bandarayanya yang kedua. Bandar kedua terbesar di Sabah ini juga menduduki bandar ke-8 terbesar di Borneo, bersaing rapat dengan Tawau dan Miri. Bandar ini yang juga digelar Elopura mempunyai kadar jumlah penduduk seramai 479, 121 orang.


9. KAJANG, Selangor


Kalau sebut tentang Kajang, pasti teringat akan Sate Kajang Haji Samuri yang sangat terkenal. Bandar ini juga turut dikenali dengan Stadium Kajang dan juga Universiti Tenaga Nasional (UniTEN). Ianya merupakan salah satu bandar yang membentuk Lembah Klang dan boleh dihubungkan melalui Lebuhraya Silk. Bandar ini mempunyai penduduk seramai 561, 593 orang. Ianya dijangka akan semakin membangun dengan terlaksananya Stesen MRT yang berakhir di bandar ini.

10. AMPANG, Selangor



Sepertimana Cheras, Ampang juga adalah kawasan yang terbelah kepada dua bahagian, iaitu Kuala Lumpur dan Selangor. Ampang berasal daripada perkataan "empangan". Bandar ini terkenal dengan kekayaan bijih timah suatu ketika dahulu. Populasi bandar ini adalah sekitar 756, 309 orang.

Hai, lama dah terbiar blog ni

Lama betul tak bukak blog ni. Tadi check kalau tak silap kali terakhir update adalah pada tahun 2019. Dah 4 tahun bersawang kiranya. Buat ma...