Saturday, April 29, 2017

Contoh lebuhraya tanpa tol di Malaysia

Kita semua pastinya pernah mendengar tentang Lebuhraya Pan-Borneo yang dikatakan bebas tol. Perkara ini menjadi isu hangat dan mula dipersoalkan ramai, apatah lagi apabila lebuhraya yang bakal dibina itu jaraknya jauh lebih panjang - kira-kira lebih 1000 km - daripada pemegang rekod setakat ini, iaitu Lebuhraya Utara Selatan, yang hanya sekitar 800 km. Antara alasan yang kita selalu dengarkan, adalah lebuhraya ini dibina dengan taraf seperti jalan persekutuan. Atau lebih spesifik, dengan standard R5 JKR. Apa yang dimaksudkan dengan itu?

 Di sini, kami hanya mengambil lebuhraya yang menepati beberapa standard tertentu, yang boleh dijadikan gambaran masa hadapan Lebuhraya Pan-Borneo. Lebuhraya yang merupakan jalan biasa dua lorong seperti Lebuhraya Timur-Barat tidak diambil kira. Begitu juga lebuhraya yang mempunyai persimpangan searas seperti Lebuhraya Ipoh-Lumut dan Lebuh AMJ.

1. Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis


Kredit: Flickr


Perlis satu-satunya negeri di Pantai Barat yang tidak dihubungkan dengan Lebuhraya Utara Selatan, sekaligus menyebabkan kelembapan ekonomi di negeri ini.Sebuah lebuhraya dirancang untuk bermula dari Alor Setar dan naik hingga ke Padang Besar. Tapi, akhirnya terhasillah lebuhraya seperti yang dinyatakan, iaitu lebuhraya ini yang menghubungkan UUM dan Kuala Perlis.

Sebaik memasuki lebuhraya ini, anda akan nampak bezanya lebuhraya ini dengan lebuhraya biasa, iaitu papan tandanya berwarna biru. Ini adalah perbezaan jelas bagi Lebuhraya R5 JKR.  Di beberapa tempat, lebuhraya akan merentangi sawah padi, serta beberapa jalan kecil disambungkan ke lebuhraya, yang menjadi petanda kedua. Kebanyakan persimpangan adalah diamond, kecuali hanya dua merupakan separuh diamond. Biarpun lebuhraya ini percuma, namun ianya jugak banyak menyumbang kepada statistik kemalangan di Perlis, memandangkan laluan keluar-masuk tidak dikawal rapi. Lebuhraya ini juga mempunyai lampu isyarat dan pusingan U yang tidak sepatutnya ada pada lebuhraya ekspres.

2. Jalan Pintasan Kuantan (Kuantan Bypass)





Tidak seperti di atas, lebuhraya yang menyambungkan Lapangan Terbang Sultan Ahmad dan pelabuhan Kuantan di Gebeng ini lain pula ceritanya. Jika Lebuhraya Changlun-Kuala Perlis merupakan jalan utama, Kuantan Bypass sekadar bertindak sebagai jalan pintasan (sesuai namanya). Persimpangan di sini berbentuk diamond dan trumpet, dan memiliki sebuah cloverleaf/bunga cengkih.

Di sini juga mempunyai ciri-ciri lebuhraya R5, iaitu lampu isyarat , pusingan U dan sambungan searas ke premis/ kediaman berdekatan.

3. Jalan Bukit Payung-Telemong, Terengganu



Menuju ke Terengganu, mungkin ramai yang tak menyedari kewujudan jalan ini. Juga dikenali sebagai Bukit Payung-Telemong Spur Road, jalan ini menghubungkan Bukit Payung dan persimpangan LPT Kuala Telemong. Namun, jika dilihat melalui Google Earth, anda akan mendapati ianya terputus sekadar di situ. Memandangkan pada papan tanda tertera "Kuala Jeneris" dan "Gua Musang", kebarangkalian jalan ini akan dihubungkan dengan Lebuhraya Timur-Barat Kedua yang terputus sekadar di Kuala Jeneris.

Di sini terdapat dua persimpangan, iaitu jenis parclo untuk Pasir Tinggi dan diamond untuk Kuala Telemong. Pembinaan lebuhraya ini hampir-hampir menyerupai lebuhraya ekspres yang anda biasa lalui, berbeza dengan kedua lebuhraya di atas. Satu-satunya perkara yang "dilanggar" oleh lebuhraya ini adalah simpang empat dan T-junction di kedua-dua penghujung. Menariknya, terdapat persimpangan parclo saiz kecil untuk motorsikal berhampiran jambatan Sungai Terengganu.

4.Jalan Bertingkat Skudai/ Lebuhraya Senai





Kita sangat-sangat berharap Lebuhraya Pan Borneo tidak menjadikan lebuhraya ini sebagai role model mereka. Manakan tidak, lebuhraya ini melalui betul-betul di dalam pekan Senai! Bila kami memaksudkan "melalui", kami tidak bermaksud, ada persimpangan ke pekan Senai, sebaliknya, ianya merupakan jalan utama di Senai. Bayangkan sebuah lebuhraya dengan kenderaan berkelajuan tinggi, diapit oleh dua rumah kedai seni bina kolonial. Pastinya sangat berbahaya untuk mereka yang ingin berhenti di bahu jalan. Satu-satunya lebuhraya yang pernah membuat kesilapan yang sama, adalah Lebuhraya Utara Selatan, dengan memasukkan pekan Changlun dalam laluannya.

5. Lebuhraya Pasir Gudang








Bermula dengan tol di Perling (jangan salah sangka, tol ini bagi mereka yang ingin ke Lebuhraya Linkedua), lebuhraya ini menyambungkan Tampoi dan Pasir Gudang. Selain diamond, ianya juga mempunyai persimpangan stacked dan persimpangan cloverleaf. Dapatlah dibayangkan, struktur seakan lebuhraya ini mungkin akan digunakan di bandar-bandar semi-urban, seperti Miri dan Sandakan.

6.Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu

Kredit:penang-traveltips.com



Antara kesemua lebuhraya di atas, ini satu-satunya lebuhraya percuma yang melalui kesesakan bandaraya. Bolehlah digambarkan struktur seperti ini digunakan di Kuching atau Kota Kinabalu kelak. Adat bagi mana-mana lebuhraya di kawasan berkependudukan tinggi, lebuhraya ini mempunyai banyak hubungan searas (yang sangat ditegah bagi sesebuah lebuhraya) yang menghubungkan kepada premis2 kediaman.

Diabadikan sempena Menteri Besar Pulau Pinang yang kedua, lebuhraya ini pada asalnya merupakan dua lebuhraya yang digabungkan, iaitu Lebuhraya Jelutong dan Lebuhraya Bayan Lepas. Lebuhraya ini mempunyai persimpangan yang tidak ditemukan di lebuhraya2 di atas, iaitu persimpangan Y, untuk Sungai Nibong dan Bayan Mutiara.

7. Central Spine Road




Kita sedia maklum tentang lebuhraya-lebuhraya yang melalui kawasan urban dan semi-urban, namun bagaimana pula dengan lebuhraya yang melalui kawasan luar bandar. Satu-satunya lebuhraya tanpa tol yang menepati ciri itu adalah Central Spine Road/Lebuhraya Utama Tengah. Menariknya, ketika mana pembinaan Lebuhraya Pan-Borneo dan Lebuhraya Pantai Barat diheboh-hebohkan, Lebuhraya CSR jarang-jarang diketengahkan.

Lebih menarik, lebuhraya ini akan disambungkan sekali dengan Lebuhraya Rakyat, Kelantan yang bakal dibina, sekaligus menghubungkan Kota Bahru ke Simpang Pelangai. Buat masa ini, lebuhraya ini hanya mencakupi Kampung Kubang Rusa, Kuala Lipis hinggalah ke Gua Musang. Persimpangan di sini menggunakan jenis parclo.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Jadi, dari senarai di atas, kita bolehlah tahu sedikit sebanyak contoh lebuhraya bebas tol di Malaysia dan gambaran Lebuhraya Pan Borneo pada masa akan datang. Dan, sejujurnya aku faham mengapa lebuhraya sebegini yang dipilih berbanding lebuhraya biasa. Lebuhraya ekspress cenderung untuk memintas bandar-bandar dan pekan-pekan. Antara bandar-bandar dan pekan-pekan yang "mati" (mati tidaklah bermaksud mati terus, cuma tidak lagi jadi laluan persinggahan) akibat Lebuhraya Utara-Selatan adalah Teluk Intan, Muar, Segamat dan Kangar. Lebuhraya ekspres ni seakan Terusan Suez, yang memintas Tanjung Harapan. Dan sebagaimana ia mematikan bandar-bandar yang dipintasnya, bandar-bandar yang dilaluinya hidup atas jasanya.

Lebuhraya R5 tidak sebegini. Ia hanyalah seperti lebuhraya persekutuan, cuma ada pembahagi di tengah. Sebab tulah, ianya banyak melanggar "hukum2 lebuhraya", sepertimana lampu isyarat dan premis yang dibina berdekatan lebuhraya, kerana ianya berfungsi sebagai penghubung, bukan pemintas. Tapi ini hanya boleh diaplikasi dalam konteks kawasan yang kecil. Bagi skop yang besar seperti Pan Borneo, sewajarnya beberapa perkara diambil peduli, seperti tidak meletakkan pusingan U, serta had laju yang berpatutan.

Maksud di sebalik bendera bagi setiap daerah di Johor


Kebanyakan rakyat Malaysia mengetahui Johor mempunyai bendera bagi daerah-daerah mereka. Daripada kesemua bendera ini, hanya Muar, Segamat dan Batu Pahat yang pada asalnya memiliki bendera sendiri, manakala daerah-daerah lain kebanyakannya masih baru lagi.

Maksud di sebalik setiap bendera ni agak kabur. Ada juga yang mempunyai sumber yang jelas, seperti bendera Muar. First time aku nampak bendera ni, memang agak blur jugak. Tanya member aku yang budak Muar pun, dia sendiri tak kenal bendera ni asalnya. Sejarah bendera ini, dikatakan pada masa dahulu, setiap pembesar daerah mempunyai bendera masing-masing. Bendera Kerajaan Daerah Muar diperkenalkan pada 1880, ketika pemerintahan Sir Maharaja Sultan Abu Bakar. Maksud warna putih adalah Raja yang memerintah. Merah bermaksud bakal raja. Kuning bagi kerabat diraja manakala hitam mewakili negeri/rakyat, 

Untuk bendera Batu Pahat, tak ada pulak maklumat. Begitu juga dengan Segamat. Uniknya, kedua-dua bendera ini rekaannya agak mirip. Bagi bendera-bendera yang lain, rekaannya agak baru.

Contohnya bendera Ledang, daerah terbaru di Johor. Biru membentuk segi tiga melambangkan Gunung Ledang, manakala merah melambangkan kepahlawanan. 

Bagi bendera Kluang, bulan sabit melambangkan agama Islam dan kedaulatan kesultanan Johor. Kedudukannya d tengah menggambarkan lokasinya di tengah Johor. Segi tiga biru di kiri dan kanan pula mewakili pembangunan yang terancang dan mampan. 

Bendera Kota Tinggi mula dikibar sejak 1 Mac 2015. Bulan bintang mewakili agama Islam dan putih adalah simbol Raja berdaulat. Merah melambangkan keberanian hulubalang dan rakyat Johor manakala biru merupakan warna diraja dan kerajaan Johor. Garisan putih melintang dianggap sebagai Sungai Johor yang merupakan permulaan Kesultanan Johor. 

Bagi bendera Kulaijaya, Mersing, JB dan Pontian, tiada maklumat yang dapat dicari tentang maksud bendera-bendera ini.







Tuesday, April 18, 2017

10 Bandar Terbesar di Johor

*Beberapa bandar seperti Tebrau, Bukit Indah dan Ulu Tiram tidak diletakkan sebab aku rasa bandar-bandar ni bawah JB.

1. Johor Bahru




Melihat pada saiznya yang sangat besar di selatan Semenanjung Malaysia, tidak dapat kita nafikan yang bandar ni merupakan bandar kedua terbesar di Malaysia di belakang Kuala Lumpur serta kawasan konurbasi ketiga terbesar di Malaysia iaitu Metropolitan Iskandar Malaysia selepas Metropolitan Lembah Klang dan Metropolitan Pulau Pinang-Kedah Selatan. Dikatakan, kepadatannya mencecah 876,000 orang di kawasan pusat bandaraya sahaja tanpa mengambilkira di bawah Majlis Bandaraya Johor Baru Tengah. Di sini terletaknya salah satu research university di Malaysia, iaitu Universiti Teknologi Malaysia.

2. Batu Pahat


Batu Pahat, juga dikenali sebagai Bandar Penggaram, terletak di bahagian pantai barat Johor. Tidak ramai yang tahu bahawa bandar ini sebenarnya adalah bandar kedua terbesar di Johor, memandangkan kurang berita tentangnya. Namun, Batu Pahat tidak boleh dipandang enteng kerana ianya juga merupakan bandar ke-16 terbesar di Malaysia. Dikatakan bandar ini mendapat namanya daripada satu kisah kononnya batu granit untuk membuat Kota A Famosa dipahat dari sini.  Bandar Batu Pahat menempatkan salah satu universiti awam iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia.

3. Muar



Muar, mendengar namanya sahaja kita sudah terbayangkan Mee Bandung Muar yang cukup terkenal itu. Tidak kurang pula yang mengenalnya kerana legenda ular gergasi yang pernah menggemparkan satu negara, kononnya menghuni Sungai Muar yang mengaliri di tengah-tengah bandar itu. Muar dikatakan mendapat namanya daripada "Muara". Menyelusuri bandar ini, korang akan dapat melihat beberapa tarikan menarik, antaranya Jambatan Muar, Jambatan Muar Kedua, Menara Jam Muar, Bangunan Sultan Abu Bakar, Taman Tanjung Emas dan Masjid Jamek Sultan Ibrahim yang berekabentuk British, satu kelainan yang hanya boleh dilihat di Johor.

4. Kluang




Sepertimana Gerik dan Baling, kita tidak seharusnya memandang rendah kepada bandar-bandar yang terletak di kawasan pedalaman. Kluang, terletak di bahagian tengah Johor, merupakan bandar ketiga terbesar di negeri Johor. Mendapatnya namanya daripada Keluang, sejenis kelawar buah yang boleh didapati dengan banyaknya di sini, tetapi tiada lagi kerana aktiviti pemburuan dan pemusnahan habitatnya. Haiwan ini juga diabadikan dalam logo Majlis Perbandaran Kluang.

5. Pasir Gudang

Pasir Gudang ialah sebuah bandar perindustrian terbesar di Johor. Walaupun terdapat info yang mengatakan Pasir Gudang juga di bawah Johor Bahru,namun Pasir Gudang mempunyai Majlis Perbandarannya yang tersendiri. Di sini juga terdapat sebuah pelabuhan kontena yang terletak di selatan bandar.

6. Kulai



Sebut tentang Kulai, rata-ratanya akan teringat Lapangan Terbang Senai yang terletak di dalam daerah ini. Kulai merupakan sebuah ibu daerah dan pusat pentadbiran untuk daerah Kulai. Dahulunya dipanggil Kulaijaya sebelum ditukar kepada Kulai semula.

7. Segamat



Terletak di bahagian utara dan pedalaman negeri Johor, terletaknya bandar Segamat yang merupakan pusat utama bagi daerah Segamat, selain bandar Labis. Dipercayai namanya berasal daripada perkataan "Segar Amat". Bandar ini mempunyai laluan penghubung terus ke Kuantan dengan nama Lebuhraya Segamat-Kuantan/Lebuhraya Tun Abdul Razak. Segamat terkenal dengan buah-buahan seperti durian, sehingga memperkenal slogan "Selamat Datang ke Segamat-Tanah Raja Buah-Buahan".

8. Kota Tinggi





Kota Tinggi terletak laluan Sungai Johor. Ianya meupakan ibu daerah dan pusat pentadbiran bagi daerah Kota Tinggi. Bandar ini bergantung kepada sektor perladangan, perikanan dan pelancongan. Tempat menarik berhampiran bandar ini adalah Gunung Panti, Desaru dan Air Terjun Kota Tinggi.

9. Tangkak

Kalau sebut mengenai Tangkak, pasti tak sah kalau tak menyebut tentang Gunung Ledang/Mount Ophir, gunung yang paling tinggi di negeri Johor. Selain daripada itu, pekan ini turut terkenal sebagai "bandar kain" kerana penuh dengan deretan kedai kain yang bakal menarik mana-mana hati pelancong wanita yang tiba di pekan itu. Sebelum mempunyai daerah sendiri, Tangkak berada di dalam pentadbiran Muar, sebelum membentuk daerah baru.

10. Pontian

Terletak tidak jauh daripada Johor Bahru, Pontian merupakan sebuah bandar yang masih bergantung pada sektor perikanan. Di sini, terletaknya Tanjung Piai, iaitu titik paling selatan bagi benua Asia. Pontian mendapat namanya daripada "perhentian".

Artikel-artikel sebelum ni yang berkaitan adalah  Bandar dan pekan di seluruh Perlis , atau mungkin jugak korang berminat dengan post 10 Bandaq Terbesaq di Kedah, atau ate mungkin mengkome lebih gemor dengan 10 Bandor Terbesor di Perak, yop oi. Thanks for supporting us.

Monday, April 17, 2017

Re-thinking my life (Sesi muhasabah diri)

17/4/17

Nice date, right? Tapi nampaknya angka cantik tu hanya pada zahirnya saja.

Sorang member aku ada plan nak keluar dari universiti aku skrg ni. Dia fikir nak ambik TESL lepas ni. Agak mengejutkan sebab sebelum ni memang dia selalu tak makan brainwash orang lain, sebab dia masih utuh mengatakan OK dngan course yang dia ambik sekarang. Macam biasa, bila seorang nak keluar, aku dan sorang lagi yang memang paling noob sekali dalam kelas, mulalah terfikir-fikir nak pindah.

Nak kata aku termakan brainwash, brainwash yang si F (kawan aku yg "sorg lagi" tu) punya lagi dahsyat. Bayangkanlah, aku waktu tu still ada dinding-dinding delusional yang kononnya aku mampu survive dalam course ni, cuma maybe aku malas dan banyak main2 je kot. Sebab kat matriks dulu pun pernah aku ada depression sebegini. Sekali dia datang, dan memang waktu tu dia depress nak mampus, sampai dia brainwash aku kaw2. Bila aku tanya balik, dia kata aku nampak sangat blur kalau tanya pasal konsep2 dan formula2 fizik, which I need to admit, aku sangat2 noob dan malas nak faham dan hafal. Kahkah, bila teringat balik,rasa macam menyesal pulak kenal mamat tu. Kenapalah aku bongok sangat boleh tersilap tingkat waktu kat Bandar Universiti dulu? Kan dah berkenalan dengan makhluk tu.

Planning aku sekarang ni, lebih kepada habiskan kos bodoh ni sampai habis, kerja (or maybe tanam anggur) pastu ambik second degree. Aku sangat suka kat sejarah, tapi masalahnya bapak aku bantah, kos Sejarah tak laku katanya. Dia bagi hanya kalau aku ambik jadi cikgu Sejarah ja. Konpem la aku tolak. Aku benci mengajar dan aku benci budak-budak.

Berbalik kepada situasi asal, si A (yang nak pindah tu), nampak gaya macam nak ajak aku blah. Dia dah try tanam doktrin yang sama kat si F, tapi lepas tak dapat UPSI (beliau suka mengajaiaqq tudia baqhang) dan dianjing-anjingkan oleh aku, terus dia pasrah dan mula bercinta dgn subjek kejuruteraan kt sini, secara paksarela. Walaupun aku tidaklah termakan hasutan beliau, tapi ada gakla kata2 dia yang buatkan aku berfikir, macam pasal duit dan masa, Aku akui aku cukup takut nak spend masa lebih2 kat sini (extend) which is memang aku xboleh elak. PYP, adalah satu lagi benda yang sgt menakutkan aku.

Kalau ditanya, memang aku nak sangat-sangat pindah. Universiti ni sangat suwey kat aku. Dengan masalah belajar aku yang tak berkesudahan. Dengan hubungan kawan2 lagi. Jujur aku cakap, aku tak rasa ada yang ikhlas berkawan dengan aku, semua sorok belakang2. A kerjanya ngumpat belakang2. Samalh dengan F, suka jaja cerita orang. Aku pun masih tak berbaik dengan si I lagi. Meja direct aku tak boleh pakai. Tahun satu, ada budak cina mereng duk suka ceroboh rumah aku, duk fewit2. Macam privacy harrassment pun ada. Lepas tu, tahun dua, ok sikit, tapi kipas kat ruang tamu problem. Yang babinya, budak local mintak baiki, banyak alasan macam UMNO time pilihanraya, tapi bila foreigner mintak, tudia, pagi mintak, petang siap. Tak celaka ke tu? Tahun tiga? Rasanya yang paling celaka takat ni. Aku ingatkan depa ni ok, sekali kerja duk gelak tiap2 malam, pastu bila belajar, bersepah semua bersidai atas lantai, sampaikan nak lintas pun dah macam nak meredah semak. Tu belum kira meja kerusi aku dia curi buat meja tambahan dia. So, konklusinya di sini, kau bayangkan camna la nak belajar kalau 3 tahun asyik problem dgn tempat belajar je, campur dengan budak2 duk jaja cerita pasal aku. OK, fine, aku pun bukannya malaikat, suci dari dosa, memang ada silap aku di situ. Dan aku pun ada jugak lari ke library in case nak study.

Uni ni tak seindah waktu tahun pertama aku masuk. Manusia dengan topeng2 yg indah, beserta hubungan yang sangat rapat lagi fake. Oh, aku rindukan kepalsuan itu. At least, kepalsuan lah yang melegakan dada makcik2 di dapur menghadapi suaminya yang kasanova melalui drama2 cinta palsu TV3.

Dan kemudian aku terdetik. Betulkah aku nak pindah sebab nak ambik Sejarah? Atau aku dah fed up dengan semua bala malapetaka ni? Entah. Mungkin yang kedua. Sebab aku pun dah mula malas nak bukak buku sejarah. Suasana di universiti ni membuatkan aku mula menjadi realisitk demi membaham formula2 engineering yang aku naif, lalu membunuh semua minat2 yang buatkan aku gembira, sampai kadangkala aku jadi sinis dengan kehidupan.

-Sinis dengan kawan2 aku. Tak seorang pun yang aku letakkan pada mahligai "sahabat" aku. Hanya budak2 matriks dan sekolah menengah aku yang melekat dalam senarai itu.
-Sinis dengan family aku. Aku tau depa sayangkan aku sepertimana tipikal ibubapa di dunia ni. Tapi itulah, sila bayangkan diri anda adalah seorang manusia yg dipaksa menjadi askar utk memuaskan kehendak mereka. Maka kau akan faham apa aku rasa.
-Sinis dengan kehidupan. Well politik, pembangunan, ekonomi, perkauman. Ada je yang tak kena dengan mata aku.
-Ok, ni yang paling aku takut. Aku sangat risau kalau aku menjadi agnostik.Yup, sinis dengan agama. Di sini, aku mudah menjadi sinis, sebab memang sangat jarang aku jumpa manusia yg alim di sini. Alim, tapi menganjing member pergi solat. Alim tapi bawak toyol masuk exam. Alim tapi gatal dengan perempuan. Alim, tapi pakai boxer paras betis. Ya, kalau "alim" sebegitu, memang ramai. Tapi, alim, sepertimana yang aku jumpa di matriks dan sekolah dulu, jujur cakap, aku dah lama ak nampak manusia dengan cahaya keimanan di sini. Atau, aku sudah menjadi ignorant, sampaikan aku malas ambik tau, ade ke takde ke, kesah pulak aku. Hmm.

Terkadang takdir dan kifarah (bukan karma ye anak2) seakan2 mempermain2kan aku. Apa yang aku buat, laju dicaci. Benda yang sama dibuat orang lain, semua menyepi. Kalau aku yang marah, sakit hati, laju dijaja ke pelusuk tempat. Kalau orang lain yang marah, kita pulak dipaksa meminta maaf. Seriusly, kebabian apakah ini?

Mungkin aku dah perlu start berdoa, "Lindungi aku dari apa yang diucap mulut sendiri". Si bisu tu, aku masih ingat, setiap tuduhan dan gelakan yang aku berikan, seakan2 berbalik pada aku. Setiap benda yang aku persoalkan, sekarang ni aku pula yang mengajuk tanpa sedar.

Well, thats my depressed diary today. Kadang2 orang pernah berkata men never cry. Benda tu buatkan aku jeles dengan perempuan. Sebab itulah lebih ramai lelaki menghidap depresi, sebab depa susah untuk luahkan.

BTW, kepada A, goodluck for your further studies.

Tuesday, April 4, 2017

Masjid terbesar di Malaysia untuk setiap negeri

1. Selangor




Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Shah Alam. Boleh memuat 24,000 jemaah. Masjid ni adalah masjid terbesar di Malaysia.

2. Kuala Lumpur



Masjid Negara. Boleh memuatkan15,000 jemaah pada satu masa. Keluasannya adalah 53,000m2. Aku sebenarnya rasa Masjid Wilayah pun besar jugak. Tapi takde pulak dalam list masjid-masjid terbesar di dunia.

3. Putrajaya



Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, atau lebih famous dengan gelaran Masjid Besi, boleh memuatkan 24,000 orang. Berkeluasan 73,795m2 (lagi besar dari Masjid Negara kalau ukuran ni betul)

4. Sabah



Masjid Al-Kauthar, Tawau, Sabah. Boleh memuatkan 17,000 jemaah. Agak mengejutkan masjid ni lebih besar dari Masjid Negeri Sabah.

5. Sarawak




Masjid Jamek Negeri Sarawak

6. Labuan


Masjid Jamek An'Nur

7. Terengganu

Masjid Taman Ilmu Tembila, Besut (5th Malaysia). Memandangkan masjid ni claim dia ke-lima terbesar di Malaysia, jadi aku assume dia belakang Masjid Shah Alam, Masjid Negara, Masjid Wilayah dan Masjid Besi. Mula-mula aku sangkakan Masjid Kristal paling besar kat T'ganu.

8. Johor




Masjid Negeri Sultan Abu Bakar

9. Pahang
Masjid Sultan Ahmad Shah

10. Pulau Pinang
Masjid Negeri Pulau Pinang

11. Perak

Masjid Sultan Idris Shah II

12. Kelantan
Masjid Sultan Ismail Petra

13. Perlis

Masjid Alwi

14. Kedah

15. Negeri Sembilan


Masjid Negeri Negeri Sembilan

16. Melaka


Masjid Al-Azim

10 Bandar Kosong di Malaysia (10 Ghost Towns In Malaysia)



Bila disebut tentang Chernobyl, atau Fukushima, pastinya kita terbayangkan sebuah bandar yang kosong tanpa seorang pun penghuni akibat kekacauan, ataupun bencana alam. Biasanya, bandar-bandar kosong ini terletak di negara-negara maju atau negara yang mempunyai sebuah sejarah yang panjang. Jadi, mungkin ada antara kita yang tertanya-tanya, adakah Malaysia juga mempunyai bandar tinggal atau "ghost town" sendiri. Bagaimana kalau kami menyatakan, ADA?


1. Kampung Kepayang, Perak

Sumber: wasnita.com


Kampung Kepayang bolehlah dikatakan sebagai "ghost town" atau bandar terbiar yang terkenal di Malaysia. Manakan tidak, isu tentang pekan kecil yang mempunyai dua blok sejajar dengan jalan raya ini mendapat liputan media yang meluas beberapa tahun lalu. Walau bagaimanapun, kampung-kampung yang terletak sekitar pekan ini masih dihuni ramai orang lagi, begitu juga masjid utama di situ, masih lagi digunakan. Terdapat 2,3 buah rumah kedai yang masih digunakan. Punca terbiarnya pekan ini mungkin kerana kesibukan jalan raya persekutuan yang diluaskan sehingga menyukarkan kenderaan memarkir di bahu jalan. Untuk yang mahu ke sana, pekan ini terletak di antara Persimpangan Simpang Pulai dan Persimpangan Gopeng. Disebabkan infrastruktur kedai yang makin rapuh, pekan ini mungkin akan lesap daripada peta Perak tidak lama lagi.

2. Papan, Perak

Sumber: indahrasajmalim.blogspot.com
Sebuah lagi pekan terbiar di negeri Perak. Pekan Papan terletak pada kedudukan yang terasing daripada pekan-pekan kecil lain sekitar Ipoh. Pekan ini terbentuk kerana kegemilangan industri bijih timah di Perak suatu ketika dahulu, dan kejatuhannya kini juga dikaitkan dengan kejatuhan industri itu. Selain daripada itu, faktor jaraknya yang terpencil daripada laluan utama juga adalah salah satu faktornya. Mungkin jika berlaku penerokaan hartanah secara besar-besaran seperti mana yang mengubah muka bumi Cheras dan Jelapang, mungkin Papan akan kembali bernafas.

3. Bukit Besi, Terengganu

Sumber:visit-terengganu.net

Bukit Besi dahulunya adalah sebuah lombong besi yang dikatakan terbesar di Asia Tenggara ketika itu. Perlombongan di sini telah diusahakan oleh sebuah syarikat Jepun iaitu Nippon Mining Company (NMC) sebelum diambil alih oleh British selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua. British menyerahkan Bukit Besi kepada Eastern Mining and Metal Company (EMMCO). Pengeluaran biji besi di sini pernah melebihi 2 juta tan setahun sekitar 1960-1964. Walaubagaimanapun, tiba-tiba Lembaga Pengarah EMMCO membuat keputusan untuk menutup kawasan ini pada tahun 1 Oktober 1970. Keputusan itu mempengaruhi ekonomi penduduk setempat dan Dungun menyebabkan mereka berpindah ke tempat lain.

4. Sungai Lembing, Pahang

sumber: tripadvisor.com.ph

Sungai Lembing suatu ketika dahulu adalah bandar yang menjadi pengeluar bijih timah terbesar di Pahang, malah dikatakan kawasan galian kedua terbesar di dunia, sehingga digelar El Dorado of Asia. Pada ketika itu, dikatakan pekerja lombong berpeluang membeli baju-baju import dan disediakn sebuah panggung wayang, yang kini menjadi balai orang ramai. Digambarkan bahawa ketika itu, ia lebih hebat daripada Kuantan sendiri, malah seakan-akan mempunyai kerajaan tempatan sendiri. Lombong ini ditutup pada tahun 1968 kerana kos operasi yang tinggi dan kejatuhan harga bijih timah. Kejatuhan itu mengejutkan penduduk Sungai Lembing yang kebanyakannya pelombong kerana mereka tidak menyangka industri bijih timah akan mati. Kini, ia didiami golongan tua yang merupakan bekas pelombong.

Walaupun begitu, Sungai Lembing mendapat status yang istimewa iaitu sebagai "bandar mati yang hidup semula." Ianya dihidupkan semula dengan sektor pelancongan alam semula jadi dan pelancongan sejarah. Kejayaan Sungai Lembing bangun daripada kejatuhannya wajar dijadikan contoh untuk menghidupkan semula bandar-bandar mati lain.

5. Lembah Beringin, Selangor

Sumber: coltoras1959.blogspot.com


Tidak seperti bandar/pekan di atas, Lembah Beringin adalah sebuah projek perumahan yang terbengkalai kerana kegagalan untuk mendapatkan pembeli. Ini adalah kerana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ketika itu dikatakan akan dibina di utara Selangor untuk mengatasi kesesakan di Lapangan Terbang Subang, mengakibatkan pihak pemaju berlumba-lumba membina perumahan di situ. Apabila KLIA dibina di kawasan Sepang, harga hartanah di Lembah Beringin merudum. Kehadiran padang golf dan Kolej Yayasan UEM, malah akses terus ke Lebuhraya Utara Selatan juga masih tidak meyakinkan pembeli untuk menetap di situ. Tidak seperti Bukit Beruntung yang perlahan-lahan membangun dengan adanya Tesco Bukit Beruntung, walaupun pada asalnya menerima nasib yang sama, Lembah Beringin kini seakan sebuah kota terbiar yang kelihatan seperti baru diserang wabak penyakit atau zombi. Walaubagaimanapun, masih terdapat beberapa orang yang menetap di bandar ini, memandangkan pembeli asal sanggup melepaskannya dengan harga murah.

*Selain Lembah Beringin, Bukit Beruntung, Bukit Sentosa, Sungai Buaya dan Rasa juga turut merasakan kesan terbengkalai, namun tidak seteruk Lembah Beringin.

6. Pulau Bidong, Terengganu



Pulau Bidong pada asalnya adalah sebuah pulau tidak berpenghuni, sebelum ianya dipenuhi oleh pelarian Vietnam yang lari daripada pemerintahan di sana selepas Askar Vietnam Utara memenangi Perang Vietnam menandakan permulaan pemerintahan komunis di sana. Menjelang 1979, pulau ini dipenuhi kira-kira 40,000 pelarian Vietnam dan beberapa pelarian Kemboja yang lari daripada pemerintahan Khmer Rouge. Pada 1991, kem ini ditutup dan pelarian kem diterima ke Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Perancis. Sebahagian daripada mereka juga dihantar semula ke Vietnam. Kini, Pulau Bidong kembali kosong sepertimana keadaanya yang asal.

7. Kota Baharu, Perak

Sumber: indahrasajmalim.blogspot.com

Bertenang orang Kelantan, Kota Baharu yang dimaksudkan bukanlah bandar ibu negeri korang, sebaliknya sebuah pekan kecil di daerah Kampar, Perak. Punca Kota Baharu menjadi pekan mati lebih unik, kerana ianya bukanlah kerana masalah ekonomi pekan tersebut, sebaliknya kerana projek landasan berkembar KTM jajaran Ipoh-Rawang. Jambatan yang merentangi landasan berkembar menyebabkan pekan ini terasing di sisi bawah jambatan, sekaligus menyebabkan pemandu yang melalui jalan ini terus melepasi pekan ini tanpa berhenti, menjadikannya mati. Bolehlah dikatakan, Kota Baharu antara pekan terbaru yang menjadi pekan mati memandangkan projek tersebut berlangsung tidak sampai beberapa tahun lepas. Masalah ini turut dikongsi beberapa pekan sekitar Perak yang terbelah dua seperti mana Malim Nawar dan Tanjung Malim. Namun, nasib dua pekan ini masih lagi baik kerana saiz dan kekuatan ekonominya. Mercu tanda bagi pekan ini adalah Balai Polis Kota Baharu beserta flat kediaman anggotanya dan stesen kecil KTM Kota Baharu yang berfungsi sebagai stesen keretapi barangan sahaja.

8. Siputeh, Perak



Sekali lagi, mohon orang Seputeh, Kuala Lumpur bawak bertenang. Pekan Siputeh yang dimaksudkan adalah di Perak, secara tepatnya lagi di daerah Batu Gajah, dan sangat hampir dengan bandar penting di Perak seperti Batu Gajah, Ipoh dan Sri Iskandar. Malah, ianya terletak di laluan Lebuhraya Ipoh-Lumut. Kini, Siputeh lebih kepada lot perumahan yang berdiri di tepi lebuhraya ini. Pekan papannya yang tersorok di tepi persimpangan bagaikan menanti hari matinya.

9. Kampung Bung Jagoi, Sarawak



Duduk di kampung adakalanya boleh jadi agak menakutkan lebih-lebih lagi jika ianya jauh di pedalaman. Tapi macam mana pulak kalau kat kampung tu just ada satu keluarga, atau worse case, kau sorang je duduk situ? Haa, situasi kat atas ni wujud tau, tapi tak ramai yang tahu memandangkan kebanyakan media sosial yang menulis tentang Kampung Bung Jagoi berbahasa Inggeris. Berdirinya di atas Gunung Jagoi (atau Bung Jagoi mengikut bahasa Bidayuh), di Bau, Sarawak adalah kampung tradisi kaum Bidayuh, iaitu Kampung Bung Jagoi. Terdapat hanya seorang penduduk di sini, iaitu Jema ak Nopis. Tidak seperti penduduk kampungnya yang lain, Jema tidak berpindah ke kaki bukit untuk membina rumah di sana sebaliknya kekal menetap di situ. Sesetengah penduduk akan kembali sebentar ke kampung ini untuk mengutip buah di dusun mereka. Penduduk Bidayuh di kampung ini yang berpindah ke kaki bukit telah membentuk lapan kampung iaitu Bogag, Duyoh, Plaman Bu'ow, Serasot, Serikin, Sibobog, Skibang dan Stass di Sarawak, Malaysia dan lima lagi di Kalimantan iaitu Babang, Kindau, Sejaro, Belida' dan Take' kerana keperluan tanah pertanian yang terhad di atas gunung.

10. Temoh Stesen, Perak



Kita kembali ke semenanjung atau lebih tepat lagi ke negeri Perak, untuk pekan mati yang terakhir. Sepertimana pekan-pekan di Perak lain yang mempunyai perkataan stesen di hujung namanya, seperti Behrang Stesen dan Bidor Stesen, Temoh Stesen dahulunya dikatakan mempunyai stesen keretapi suatu ketika dahulu. Beberapa bangunan di pekan ini dibiarkan kerana kejadian kebakaran. Terdapat 1,2 kedai yang masih beroperasi di sini. Di sini hanya terdapat sekolah dan pejabat penghulu sahaja. Untuk urusan kerajaan, polis atau hospital, penduduk di sini terpaksa ke Temoh atau Tapah.

11. Kem  Gereja, Gunung Murud, Sarawak


Image result for kem gereja bakelalan

Tidak  dinafikan  sesetengah  tempat  yang  dinyatakan  di  dalam senarai  ini  tidaklah  kosong  sepenuhnya. Bandar-bandar mati di Perak, atau  Bukit  Besi  dan  Sungai  Lembing  masih  mempunyai  kampung-kampung  yang  berpenghuni  di  sekitarnya.  Hanya  Pulau  Bidong  yang  boleh  dikatakan  betul-betul  tidak  berpenghuni.  Namun  lain  pula  bagi  kes  Kem  Gereja  ini.  Terletak dalam  perjalanan  ke Gunung  Murud,  kawasan  ini  dipenuhi  rumah  kosong  dan  sebuah  gereja  yang  bernama  Gereja  Sidang  Injil  Borneo. Dikatakan, rumah-rumah itu dimiliki oleh  penduduk Bakelalan.  Kawasan  itu  akan  dikunjungi  oleh  orang  Kristian  Lun  Bawang  untuk  upacara  keagamaan  setahun  sekali  pada  bulan  Julai.

12. Kampung Kuala Balah Lama, Kelantan


Kampung Kuala Balah Lama dalam kenangan
Kredit: https://www.karangkraf.com/berita/kampung-kuala-balah-lama-dalam-kenangan-1.717933
Kampung  ini  telah  pun  ditinggalkan  sejak  tahun  1967  kerana ditenggelami  banjir.  Penduduk  kampung  telahpun  berpindah  ke  kampung  baru  atas  jasa  Tuanku Abdul Rahman  dan  tidak  lagi  kembali  ke  kampung  asal  mereka.  Tanah  di kampung  lama  hanya  digunakan  untuk  tujuan  pertanian  dan  tiada  rumah  baru  dibina  oleh  penduduk  kampung.  Bekas  tinggalan  dapat  dilihat  melalui  Pejabat Pertubuhan Peladang  Kuala Balah (gambar), sekolah, dan masjid lama yang terbiar dan usang.
                                     


*Bagi mereka yang tertanya kenapa Pulau Jerejak, Penang atau Pulau Besar, Melaka tak tersenarai, ingin aku nyatakan yang aku pada asalnya nak tumpukan pada kategori pekan/bandar yang terpinggir sahaja. Memandangkan Pulau Jerejak dan Pulau Besar mempunyai ramai pengunjung, aku terpaksa abaikan. Pulau Bidong dan Sungai Lembing adalah special case dalam keadaan ni. Untuk orang Perak pulak, aku sebenarnya kalau boleh nak includekan lebih banyak daripada negeri lain supaya seimbang, tapi paham-pahamlah, Malaysia, sumbernya sangat terhad apatah lagi dalam BM. Contohnya pasal Kampung Kuala Balah, Kelantan yang dikatakan terbiar akibat banjir 2014 tapi sumbernya sangat terhad.

Hai, lama dah terbiar blog ni

Lama betul tak bukak blog ni. Tadi check kalau tak silap kali terakhir update adalah pada tahun 2019. Dah 4 tahun bersawang kiranya. Buat ma...