Wednesday, August 31, 2016

10 Bandar Terbesar di Negeri Perak

1. Ipoh

Melihatkan saiznya di atas peta, tiada siapa yang dapat menyangkal betapa besarnya saiz ibu negeri Perak Darul Ridzuan ini. Dengan berlatarbelakangkan adunan antara bangunan moden dan bangunan era kolonial, Ipoh adalah antara bandar yang berjaya hidup nun jauh di lembah gunung dan jauh dari persisiran pantai  atas faktor kekayaan bijih timahnya. Bandaraya ini juga menempatkan Bangunan Stesen Keretapi yang terkenal dengan seni kolonialnya.


Bandaraya ini juga suatu ketika pernah merangkumi bandar Batu Gajah dan juga Kampar yang berada dalam senarai ini. Dengan jangkauan daripada Jelapang hinggalah ke Gopeng, inilah bandar paling besar di negeri Perak Darul Ridzuan serta yang keempat di Malaysia.


2. Taiping

Taiping, yang memang tidak asing lagi sebagai lubuk pelancongan bagi kaki jalan di Malaysia, memang tidak dapat dinafikan sebagai sebuah bandar kedua terbesar di Perak, malah yang terbesar di utara Perak. Memiliki kelainan berbanding bandar-bandar lain apabila penduduknya kebanyakan berdialek utara, Taiping juga terkenal dengan gelaran Rain Town kerana komposisi hujan yang tinggi di sini. Bandar warisan ini merangkumi Taiping, Kamunting, Simpang, Kuala Sepetang, dan Changkat Jering, namun ada yang turut menambah bahawa ianya juga turut merangkumi sehingga sejauh pekan Trong dan Batu Kurau.


3. Manjung-Lumut-Sitiawan

Pada masa dahulu, Seri Manjung bukanlah sebuah bandar yang pesat seperti sekarang, malah ianya lebih kecil daripada Teluk Intan suatu ketika dahulu. Kebanyakan kawasannya dahulu adalah belukar dan hutan paya bakau. Apabila pusat membeli-belah ternama menjejakkan kaki ke bumi Manjung, kemajuan di sini naik mendadak-dadak, sehinggakan berjaya menandingi pekan Setiawan yang berjiran dengannya.

Dahulunya, kebanyakan penduduk di sini terpaksa ke Sitiawan untuk membeli barang, namun selepas lambakan pasaraya seperti AEON, Giant, Tesco dan Billion di sini, ia sudah mampu berdiri sendiri. Kemajuannya ini menyebabkan ia mula bercantum dengan pekan-pekan sekitar seperti Sitiawan dan Lumut, seterusnya membentuk sebuah konurbasi. Terdapat perancangan jangka panjang untuk meluaskan lagi konurbasi ke Ayer Tawar. Buat masa ini, inilah bandar terbesar di barat Perak.

4. Teluk Intan

Siapalah yang tidak kenal dengan Teluk Intan? Sebut sahaja namanya, pasti terus tergambar di fikiran tentang sebuah menara condong yang menjadikan bandar ini dipenuhi pelancong pada hujung minggu dan musim cuti sekolah. Kedudukan bandar ini cukup unik di satu lengkungan Sungai Perak yang seakan-akan tanjung. Ianya adalah bandar terbesar di daerah Hilir Perak malah di selatan negeri Perak sendiri. Disebabkan hakisan tanah di Sungai Perak, terdapat spekulasi bahawa fenomena "ladam kuda" boleh berlaku di Teluk Intan sekaligus mampu menyebabkan banjir besar, risiko menjadi bandar pulau atau lebih teruk lagi, tenggelamnya bandar ini di sini.

5. Kampar

Kampar adalah salah satu daripada daerah terbaru di Perak, selain Mualim dan Bagan Datoh, yang diasaskan pada tahun 2009. Terdahulu bandar Kampar diletakkan di bawah Majlis Daerah Kinta Selatan bersama Malim Nawar, Gopeng, dan pekan-pekan kecil lain. Setelah diangkat menjadi daerah penuh, Kampar kian membangun dan setanding dengan bandar-bandar lain yang bertaburan di seluruh Perak. Di sini terkenal dengan Universiti Tunku Abdul Rahman yang penuh dengan motif kecinaan yang boleh dilihat dari senibinanya. Kebetulan pula, majoriti pelajar di situ berbangsa Cina. Kampar mendapat namanya daripada pedagang-pedagang dari Kampar, Sumatera yang menetap dan membuka penempatan di sini.

6. Seri Iskandar

Seri Iskandar adalah sebuah bandar baru di negeri Perak. Ianya dibina dengan tujuan untuk menjadi hub pendidikan di negeri ini. Di sinilah terletaknya Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Teknologi MARA Sri Iskandar. Sebelum wujudnya bandar ini, kawasan ini dipenuhi dengan belukar dan lebih dikenali sebagai Tronoh (pekan yang terletak tidak jauh dari sini). Bandar ini mendapat namanya daripada Sultan Perak ke-30, iaitu  Sultan Iskandar Shah. Seri Iskandar juga berperanan sebagai pusat pentadbiran daerah Perak Tengah, menggantikan Parit.

7. Batu Gajah

Terletak di selatan Ipoh, Batu Gajah adalah sebahagian metropolitan Kinta yang mempunyai Majlis Daerahnya sendiri. Bandar ini mendapat namanya daripada batu yang berbentuk seakan-akan gajah. Tarikan pelancong yang terkenal di sini adalah Kellie Castle. Satu mercu tanda menarik di bandar ini adalah menara jamnya yang terletak di tengah-tengah bandar. Dengan kepesatan Batu Gajah sekarang, tidak mustahil suatu hari Batu Gajah akan diangkat menjadi daerah baru di Perak. Sedangkan Bagan Datoh boleh, masakan tidak Batu Gajah.

8. Kuala Kangsar

Bandar Kuala Kangsar merupakan bandar diraja untuk negeri Perak. Di sini terletaknya istana Iskandariah tempat bersemayam sultan Perak sekarang, serta beberapa tempat menarik lain seperti Istana Kenangan, Masjid Ubudiah, Galeri Sultan Azlan Shah, pokok getah tertua di Malaysia, Kolej Melayu Kuala Kangsar serta pusat pembuatan labu sayong. Walaupun ianya merupakan pusat pentadbiran daerah Kuala Kangsar, namun ianya sukar untuk dikatakan bandar terbesar kerana saiz Sungai Siput yang hampir sama dengannya.

9. Parit Buntar

Terletak di hujung sempadan unik antara Pulau Pinang, Perak dan Kedah, Parit Buntar adalah bandar terbesar di daerah Kerian dan juga merupakan pusat pentadbiran daerah. Ianya adalah bandar paling utara di negeri Perak. Walaupun tidak dapat menandingi Nibong Tebal, Parit Buntar tetap memiliki tarikannya yang tersendiri yang menjadikannya sesak pada hari-hari tertentu seperti pasar kemboja dan tepian Sungai Kerian.

10. Gerik



Gerik adalah bandar terbesar serta ibu daerah kepada daerah Hulu Perak. Terletak di tengah-tengah Hulu Perak, ianya digelar sebagai "bandar istirehat" bagi mereka yang ingin ke Kelantan dari utara, utara dari Kelantan atau bagi mereka yang menuju ke Baling dan Pengkalan Hulu. Di sini terletaknya Lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan Perak dan Kelantan. Walaupun terletak agak jauh daripada bandar-bandar lain, Gerik bolehlah dikatakan sebagai sebuah bandar yang lengkap.

Sunday, August 28, 2016

Serba biru kuning di negeri Indera Kayangan


Dalam entri yang lepas, kita telahpun disajikan dengan isu yang panas tentang kritikan saudara Hafiz Mansor terhadap negeri kelahirannya, Perlis. Untuk entri kali ini, pihak kami tertarik dengan salah satu daripada fakta beliau, iaitu kononnya kebanyakan bangunan, masjid, jambatan etc di situ diwarnakan dengan warna biru kuning. Memandangkan kami tidak berkesempatan untuk mengunjungi Perlis untuk melihat lebih lanjut, kami memilih untuk meng-googlestreet sahaja.
Apakah benar semua di Perlis biru kuning?


Masjid
Masjid Sungai Berembang, Kuala Perlis


Masjid Al-Rashid, Kubang Perun



Masjid Al-Rahman, Jalan Kaki Bukit

Masjid Behor Mempelam

Masjid Kampung Jejawi

Masjid Syed Abdan, Kok Mak

Masjid Ujong Batu, Kampung Mengkuang Layar


 Namun, tidak semua masjid nampaknya tertakluk pada format di atas. Contohnya seperti masjid-masjid di bawah.


Masjid Dato Jaafar Husin, Sungai Padang yang serba kuning/ keemasan

Masjid Alwi, Kangar yang binaannya seakan-akan Masjid Zahir


Masjid Kampung Darat yang serba kemerahan


Masjid Seberang Ramai

Masjid Negeri, Arau
Masjid al-Syahrani, Behor Lateh

Masjid Matin

Masjid al-Islah, Ngulang

Jambatan
Jambatan keretapi di Arau berlatarbelakangkan bendang dengan moto yang berkeyakinan tinggi dan optimis
Jambatan di Arau yang berwarna-warni
Jambatan di Pauh berhampiran UniMAP
Jambatan di Kangar


Jambatan di Kangar dengan tulisan "Daulat Tuanku"
Jambatan di Kangar berhampiran taman rekreasi







Jambatan menuju Wang Ulu

Jambatan di tengah-tengah bandar Kangar

Jambatan berhampiran flat Kg.Bakau

Jambatan di Arau

Jambatan di Padang Besar

15 Kampung Kebudayaan di Malaysia Yang Mungkin Belum Anda Jejaki




Di Malaysia, jika pelancong ingin mengkaji tentang budaya Cina, mereka akan ke Chinatown, seperti Petaling Street atau Jonker Walk. Begitu juga dengan budaya India, mereka akan berkunjung ke Little India seperti Brickfield dan Masjid India. Tapi bagaimana pula jika mereka ingin mengkaji budaya Melayu? Orang Asli? Bumiputera Sabah Sarawak? 

Muzium? Kampung-kampung? Boringlah begitu. Kalau di Singapura, kita boleh mencarinya di Arab Street, bagaimana dengan Malaysia?

Haa, bagi anda yang tercari-cari atau mengalami situasi di atas, ini adalah senarai tempat yang kami rasa anda patut cuba kunjungi.


1. Taman Mini Malaysia dan ASEAN, Ayer Keroh, Melaka


Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN ini menampilkan rekabentuk rumah-rumah tradisional dari seluruh negeri di Malaysia serta negara-negara Asia Tenggara. Malah, di taman tema ini, anda juga berpeluang memasuki sendiri rumah-rumah tradisional ini dan menghayati seni binanya yang halus dan tersendiri. Sekiranya anda bertuah, anda dapat menyaksikan persembahan tarian kebudayaan di sini.

TIKET

Dewasa: RM15
Kanak-kanak: RM10
Kanak-kanak (bawah 12): RM8

2. Kampung Budaya Sarawak, Kuching, Sarawak


Nun, di sebelah Sarawak juga tidak ketinggalan dengan Kampung Budayanya yang begitu menarik. Tampil dengan pelbagai senibina rumah tradisional kaum-kaum di Sarawak, seperti Rumah Iban, Rumah Melanau, Rumah Melayu dan Rumah Cina. Terletak di kaki Gunung Santubong, kampung budaya yang turut digelar "The Living Museum/Muzium Hidup" ini juga  menjadi pentas kepada acara-acara antarabangsa seperti Pesta Muzik Hutan Hujan Dunia.

TIKET

Dewasa: RM60
Kanak-kanak: RM30

Waktu Persembahan:
Setiap Hari - 11.30 pagi dan 6 petang


3. Kampung Budaya Monsopiad, Penampang, K.Kinabalu, Sabah


Kalau Semenanjung dan Sarawak mempunyai kampung budayanya yang tersendiri, Sabah juga turut mempunyai kampung budayanya yang unik. Diambil sempena nama seorang pahlawan KadazanDusun, iaitu Monsopiad. Di sini, segala macam tentang kaum Kadazandusun, daripada senjata, adat, makanan, Bobohizan hinggalah ke sudut Rumah Tengkorak boleh dipelajari.  Harga tiket bergantung pada jumlah pelawat dan pakej yang dikehendaki.



4. Kampung Budaya Mari-Mari, Inanam, K.Kinabalu, Sabah


Nampaknya, Monsopiad bukanlah satu-satunya kampung budaya di Sabah. Kalau Monsopiad letaknya di selatan KK, di area Penampang, Kampung Budaya Mari-Mari ini terletaknya di utara KK, di Inanam. Konsepnya tidak jauh berbeza dengan Taman Mini Malaysia dan Kampung Budaya Sarawak, yang menyajikan rumah pelbagai kaum serta tarian kebudayaan. Lima kaum yang diketengahkan adalah Kadazandusun, Rungus, Lundayeh, Bajau dan Murut.

TIKET

Dewasa: RM150
Kanak-kanak: RM130



5. Kampung Budaya Orang Asli Mah Meri,Pulau Carey, Selangor

Kita sudah ada Kampung Budaya yang mengetengahkan orang Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak. Bagaimana dengan Orang Asli? Jangan bimbang. Selain daripada 3 buah Muzium Orang Asli di Jeli, Kelantan; Gombak; Selangor dan Melaka, terdapat sebuah kampung budaya orang Asli di Pulau Carey, Selangor. Ianya lengkap dengan pelbagai pakej seperti persembahan kebudayaan, ukiran kayu, origami, acara perkahwinan dan pelbagai lagi.

TIKET

Mengikut pakej. Sekiranya walk-in, RM7 atau RM10 dengan guide


6. Kampung Budaya 1 Malaysia, Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur


"Alaa, semua tempat ni jauh dari Kuala Lumpur"

Jangan risau. Berhampiran menara ikonik negara iaitu Menara Kuala Lumpur, terletaknya sebuah kampung budaya yang dinamakan Kampung Budaya 1 Malaysia. Mengetengahkan rumah tradisional daripada pelbagai negeri di Malaysia, rumah-rumah ini bagaimanpun tidak dibenarkan sesiapa memasukinya. Jadi hanya bahagian hadapan sahaja yang ditonjolkan. Terdapat persembahan gamelan dan tarian Melayu di sini beserta permainan tradisional. Paling penting, bayaran masuk adalah percuma.



7. Kampung Morten, Melaka


Kembali semula ke Melaka, kita pastinya menyedari tiada satupun kampung budaya di atas yang benar-benar diduduki orang. Berbeza dengan Kampung Morten yang mana kampung ini sememangnya mempunyai penduduk dan diwartakan sebagai kawasan pelancongan. Di sini juga terletaknya beberapa homestay yang cantik untuk anda menikmati suasana kampung dan tepian sungai Melaka. Pesan kami, di living museum ini, tolong hormati penduduk-penduduk di sana yang sudi berkorban warisan nenek moyang mereka untuk dikongsi bersama.



8. Kampung Portugis, Ujong Pasir, Melaka


Alang-alang dah tiba di Melaka, tidak salah berkunjung sebentar ke Ujong Pasir yang tidaklah jauh mana daripada Banda Hilir. Di sini, pada hari-hari biasa tiada apa-apa, sama seperti kejiranan lain. Tetapi pada hari-hari di mana pesta dijalankan, kampung ini akan menjadi sangat meriah. Selain Hari Krismas, Pesta Intrudu (pesta air), Hari San Juan (pesta lampu) dan Pesta San Pedro (pesta hiasan perahu) turut diraikan. Jika anda berkunjung ke sini pada hari Pesta Intrudu, beringatlah untuk letak kamera dan handphone di tempat selamat kerana anda pastinya basah di sini. Sekali dengar, macam pesta Songkhran di Thailand pula.


9. Rumah Agam Peranakan Pulau Pinang/ Penang Peranakan Mansion, Pulau Pinang


Bergerak pula ke utara, kita bertemu dengan Muzium Peranakan Penang yang terkenal dengan sejarah Baba dan Nyonya. Kaum  Peranakan ni boleh kita dapati di negeri Melaka dan Pulau Pinang. Di dalam muzium ini, anda akan diiringi tourist guide yang akan menerangkan tentang keunikan budaya, pakaian dan adat resam masyarakat ini. Jangan terkejut apabila melihat hampir kesemua barangan yang dipamerkan adalah emas tulen.

TIKET: Dewasa- RM20



10. Kampung Kraftangan, Kota Bharu, Kelantan


Pantai Timur terkenal dengan kehalusan seni Melayunya yang tersendiri. Terletak di tengah-tengah Kota Bharu dan juga dikenali sebagai "Balai Getam Guri", Kampung Kraftangan dan Muzium Kraf ini terletak di zon kebudayaan Kota Bharu, dalam jarak berjalan kaki dari Istana Balai Besar dan Bazar Buluh Kubu.

Muzium Kraf menempatkan banyak hasil kerja tangan halus Kelantan.

Sebuah restoran dipanggil "Balai Sulur Gadung" terletak di tingkat bawah bangunan ini, di mana pengunjung boleh merasai makanan Kelantan yang terkenal.

Bersebelahan Kampung Kraftangan, disediakan sebuah tempat bagi pengunjung melihat bagaimana hasil kraf ini dihasilkan. Demonstrasi sulaman tradisional, tenunan songket, mencanting batik, kerja perak dan ukiran kayu dilakukan oleh tukang yang mahir. Produk yang dihasilkan oleh mereka juga dijual di sini.

Muzium ini dibuka dari 8.30 pagi - 4.45 petang setiap hari (kecuali Jumaat).



11. Muzium Negeri Terengganu, K. Terengganu, Terengganu



Diakui ramai sebagai muzium terbesar di rantau Asia Tenggara, Kompleks Muzium Negeri Terengganu menempatkan artifak dan hasil seni yang merupakan warisan berusia beberapa kurun lamanya.

Terletak di atas tanah seluas 27 hektar di Bukit Losong, Kuala Terengganu, kompleks ini kelihatan hebat dari segi seni binanya, berdasarkan reka bentuk istana lama Terengganu.

Ia terdiri daripada Muzium Utama, Muzium Maritim, Muzium Perikanan, 4 buah rumah tradisional dan taman botani serta herba.

Muzium Utama dibina di atas 16 kaki bajang konkrit dengan galeri yang mempamerkan tekstil dan teknik menenun, senjata tradisional, seni kraf, sejarah, alat kebesaran diraja, alam semula jadi, pembangunan petroleum, seni Islam, seni generasi baru dan kontemporari.

                                                                            TIKET

Dewasa: RM5  
Kanak-kanak:RM2


12. Istana Kenangan, Kuala Kangsar, Perak


Terletak di bandar diraja Perak, Kuala Kangsar, Istana Kenangan ini dahulunya adalah sebuah istana  bersemayam Sultan Perak. Berada pada lokasi yang tidak jauh daripada istana Iskandariah yang kini merupakan istana rasmi, Masjid Ubudiah yang terkenal serta Galeri Sultan Azlan Shah, istana yang dibina dengan senibina kayu yang menarik ini bagaimanpun dikhabarkan tidak boleh dimasuki, mungkin kerana kerja-kerja pengubahsuaian.


13. Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia, Selangor



Terletak di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, muzium ini adalah satu-satunya di negara ini yang mengetengahkan konsep warisan Melayu di dalam universiti. Mempamerkan senjata, pakaian dan lain-lain, pameran yang menarik perhatian sudah tentulah rumah-rumah tradisional yang diambil daripada rumah yang sebenar dan bukannya replika. Tiket kemasukan hanyalah RM2.



14. Kampung Budaya Terrapuri, Setiu, Terengganu


OK, korang dah melawat kampung budaya, muzium budaya semua, tapi masih mahukan lebih? Apa kata berkunjung ke Kampung Budaya di Setiu ini. Kampung budaya ini merupakan sebuah hotel yang mana setiap rumah di sini diambil daripada rumah sebenar sekitar Terengganu lalu diperbaiki di sini. Terrapuri bermaksud "Land of The Palace", sesuai dengan keadaan yang nyaman di sini. Kebetulan pula, ianya terletak bersebelahan pantai sahaja. Resort ini menawarkan konsep seperti zaman Melayu lama, jadi jangan terkejut jika tiada TV di sini, kerana anda akan dihiburkan dengan pelbagai pakej menarik yang lain.


15. Muzium Adat, Jelebu, Negeri Sembilan


Seperti mana muzium-muzium biasa yang lain, muzium ini menampilkan sejarah tentang adat-adat kaum di Malaysia, kegiatan masyarakat istana, manuskrip, artifak, batu bersurat dan lain-lain. Namun, apa yang menarik perhatian adalah di Galeri Aras Tiga yang menumpukan tentang Adat Perpatih yang sinonim dengan Negeri Sembilan serta menceritakan sejarah bertapaknya adat ini dari Sumatera ke Negeri Sembilan serta beberapa artifak sebagai bukti sejarah.

TIKET: Percuma!!!

Hai, lama dah terbiar blog ni

Lama betul tak bukak blog ni. Tadi check kalau tak silap kali terakhir update adalah pada tahun 2019. Dah 4 tahun bersawang kiranya. Buat ma...