Sunday, August 28, 2016

15 Kampung Kebudayaan di Malaysia Yang Mungkin Belum Anda Jejaki




Di Malaysia, jika pelancong ingin mengkaji tentang budaya Cina, mereka akan ke Chinatown, seperti Petaling Street atau Jonker Walk. Begitu juga dengan budaya India, mereka akan berkunjung ke Little India seperti Brickfield dan Masjid India. Tapi bagaimana pula jika mereka ingin mengkaji budaya Melayu? Orang Asli? Bumiputera Sabah Sarawak? 

Muzium? Kampung-kampung? Boringlah begitu. Kalau di Singapura, kita boleh mencarinya di Arab Street, bagaimana dengan Malaysia?

Haa, bagi anda yang tercari-cari atau mengalami situasi di atas, ini adalah senarai tempat yang kami rasa anda patut cuba kunjungi.


1. Taman Mini Malaysia dan ASEAN, Ayer Keroh, Melaka


Taman Mini Malaysia dan Mini ASEAN ini menampilkan rekabentuk rumah-rumah tradisional dari seluruh negeri di Malaysia serta negara-negara Asia Tenggara. Malah, di taman tema ini, anda juga berpeluang memasuki sendiri rumah-rumah tradisional ini dan menghayati seni binanya yang halus dan tersendiri. Sekiranya anda bertuah, anda dapat menyaksikan persembahan tarian kebudayaan di sini.

TIKET

Dewasa: RM15
Kanak-kanak: RM10
Kanak-kanak (bawah 12): RM8

2. Kampung Budaya Sarawak, Kuching, Sarawak


Nun, di sebelah Sarawak juga tidak ketinggalan dengan Kampung Budayanya yang begitu menarik. Tampil dengan pelbagai senibina rumah tradisional kaum-kaum di Sarawak, seperti Rumah Iban, Rumah Melanau, Rumah Melayu dan Rumah Cina. Terletak di kaki Gunung Santubong, kampung budaya yang turut digelar "The Living Museum/Muzium Hidup" ini juga  menjadi pentas kepada acara-acara antarabangsa seperti Pesta Muzik Hutan Hujan Dunia.

TIKET

Dewasa: RM60
Kanak-kanak: RM30

Waktu Persembahan:
Setiap Hari - 11.30 pagi dan 6 petang


3. Kampung Budaya Monsopiad, Penampang, K.Kinabalu, Sabah


Kalau Semenanjung dan Sarawak mempunyai kampung budayanya yang tersendiri, Sabah juga turut mempunyai kampung budayanya yang unik. Diambil sempena nama seorang pahlawan KadazanDusun, iaitu Monsopiad. Di sini, segala macam tentang kaum Kadazandusun, daripada senjata, adat, makanan, Bobohizan hinggalah ke sudut Rumah Tengkorak boleh dipelajari.  Harga tiket bergantung pada jumlah pelawat dan pakej yang dikehendaki.



4. Kampung Budaya Mari-Mari, Inanam, K.Kinabalu, Sabah


Nampaknya, Monsopiad bukanlah satu-satunya kampung budaya di Sabah. Kalau Monsopiad letaknya di selatan KK, di area Penampang, Kampung Budaya Mari-Mari ini terletaknya di utara KK, di Inanam. Konsepnya tidak jauh berbeza dengan Taman Mini Malaysia dan Kampung Budaya Sarawak, yang menyajikan rumah pelbagai kaum serta tarian kebudayaan. Lima kaum yang diketengahkan adalah Kadazandusun, Rungus, Lundayeh, Bajau dan Murut.

TIKET

Dewasa: RM150
Kanak-kanak: RM130



5. Kampung Budaya Orang Asli Mah Meri,Pulau Carey, Selangor

Kita sudah ada Kampung Budaya yang mengetengahkan orang Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak. Bagaimana dengan Orang Asli? Jangan bimbang. Selain daripada 3 buah Muzium Orang Asli di Jeli, Kelantan; Gombak; Selangor dan Melaka, terdapat sebuah kampung budaya orang Asli di Pulau Carey, Selangor. Ianya lengkap dengan pelbagai pakej seperti persembahan kebudayaan, ukiran kayu, origami, acara perkahwinan dan pelbagai lagi.

TIKET

Mengikut pakej. Sekiranya walk-in, RM7 atau RM10 dengan guide


6. Kampung Budaya 1 Malaysia, Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur


"Alaa, semua tempat ni jauh dari Kuala Lumpur"

Jangan risau. Berhampiran menara ikonik negara iaitu Menara Kuala Lumpur, terletaknya sebuah kampung budaya yang dinamakan Kampung Budaya 1 Malaysia. Mengetengahkan rumah tradisional daripada pelbagai negeri di Malaysia, rumah-rumah ini bagaimanpun tidak dibenarkan sesiapa memasukinya. Jadi hanya bahagian hadapan sahaja yang ditonjolkan. Terdapat persembahan gamelan dan tarian Melayu di sini beserta permainan tradisional. Paling penting, bayaran masuk adalah percuma.



7. Kampung Morten, Melaka


Kembali semula ke Melaka, kita pastinya menyedari tiada satupun kampung budaya di atas yang benar-benar diduduki orang. Berbeza dengan Kampung Morten yang mana kampung ini sememangnya mempunyai penduduk dan diwartakan sebagai kawasan pelancongan. Di sini juga terletaknya beberapa homestay yang cantik untuk anda menikmati suasana kampung dan tepian sungai Melaka. Pesan kami, di living museum ini, tolong hormati penduduk-penduduk di sana yang sudi berkorban warisan nenek moyang mereka untuk dikongsi bersama.



8. Kampung Portugis, Ujong Pasir, Melaka


Alang-alang dah tiba di Melaka, tidak salah berkunjung sebentar ke Ujong Pasir yang tidaklah jauh mana daripada Banda Hilir. Di sini, pada hari-hari biasa tiada apa-apa, sama seperti kejiranan lain. Tetapi pada hari-hari di mana pesta dijalankan, kampung ini akan menjadi sangat meriah. Selain Hari Krismas, Pesta Intrudu (pesta air), Hari San Juan (pesta lampu) dan Pesta San Pedro (pesta hiasan perahu) turut diraikan. Jika anda berkunjung ke sini pada hari Pesta Intrudu, beringatlah untuk letak kamera dan handphone di tempat selamat kerana anda pastinya basah di sini. Sekali dengar, macam pesta Songkhran di Thailand pula.


9. Rumah Agam Peranakan Pulau Pinang/ Penang Peranakan Mansion, Pulau Pinang


Bergerak pula ke utara, kita bertemu dengan Muzium Peranakan Penang yang terkenal dengan sejarah Baba dan Nyonya. Kaum  Peranakan ni boleh kita dapati di negeri Melaka dan Pulau Pinang. Di dalam muzium ini, anda akan diiringi tourist guide yang akan menerangkan tentang keunikan budaya, pakaian dan adat resam masyarakat ini. Jangan terkejut apabila melihat hampir kesemua barangan yang dipamerkan adalah emas tulen.

TIKET: Dewasa- RM20



10. Kampung Kraftangan, Kota Bharu, Kelantan


Pantai Timur terkenal dengan kehalusan seni Melayunya yang tersendiri. Terletak di tengah-tengah Kota Bharu dan juga dikenali sebagai "Balai Getam Guri", Kampung Kraftangan dan Muzium Kraf ini terletak di zon kebudayaan Kota Bharu, dalam jarak berjalan kaki dari Istana Balai Besar dan Bazar Buluh Kubu.

Muzium Kraf menempatkan banyak hasil kerja tangan halus Kelantan.

Sebuah restoran dipanggil "Balai Sulur Gadung" terletak di tingkat bawah bangunan ini, di mana pengunjung boleh merasai makanan Kelantan yang terkenal.

Bersebelahan Kampung Kraftangan, disediakan sebuah tempat bagi pengunjung melihat bagaimana hasil kraf ini dihasilkan. Demonstrasi sulaman tradisional, tenunan songket, mencanting batik, kerja perak dan ukiran kayu dilakukan oleh tukang yang mahir. Produk yang dihasilkan oleh mereka juga dijual di sini.

Muzium ini dibuka dari 8.30 pagi - 4.45 petang setiap hari (kecuali Jumaat).



11. Muzium Negeri Terengganu, K. Terengganu, Terengganu



Diakui ramai sebagai muzium terbesar di rantau Asia Tenggara, Kompleks Muzium Negeri Terengganu menempatkan artifak dan hasil seni yang merupakan warisan berusia beberapa kurun lamanya.

Terletak di atas tanah seluas 27 hektar di Bukit Losong, Kuala Terengganu, kompleks ini kelihatan hebat dari segi seni binanya, berdasarkan reka bentuk istana lama Terengganu.

Ia terdiri daripada Muzium Utama, Muzium Maritim, Muzium Perikanan, 4 buah rumah tradisional dan taman botani serta herba.

Muzium Utama dibina di atas 16 kaki bajang konkrit dengan galeri yang mempamerkan tekstil dan teknik menenun, senjata tradisional, seni kraf, sejarah, alat kebesaran diraja, alam semula jadi, pembangunan petroleum, seni Islam, seni generasi baru dan kontemporari.

                                                                            TIKET

Dewasa: RM5  
Kanak-kanak:RM2


12. Istana Kenangan, Kuala Kangsar, Perak


Terletak di bandar diraja Perak, Kuala Kangsar, Istana Kenangan ini dahulunya adalah sebuah istana  bersemayam Sultan Perak. Berada pada lokasi yang tidak jauh daripada istana Iskandariah yang kini merupakan istana rasmi, Masjid Ubudiah yang terkenal serta Galeri Sultan Azlan Shah, istana yang dibina dengan senibina kayu yang menarik ini bagaimanpun dikhabarkan tidak boleh dimasuki, mungkin kerana kerja-kerja pengubahsuaian.


13. Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia, Selangor



Terletak di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, muzium ini adalah satu-satunya di negara ini yang mengetengahkan konsep warisan Melayu di dalam universiti. Mempamerkan senjata, pakaian dan lain-lain, pameran yang menarik perhatian sudah tentulah rumah-rumah tradisional yang diambil daripada rumah yang sebenar dan bukannya replika. Tiket kemasukan hanyalah RM2.



14. Kampung Budaya Terrapuri, Setiu, Terengganu


OK, korang dah melawat kampung budaya, muzium budaya semua, tapi masih mahukan lebih? Apa kata berkunjung ke Kampung Budaya di Setiu ini. Kampung budaya ini merupakan sebuah hotel yang mana setiap rumah di sini diambil daripada rumah sebenar sekitar Terengganu lalu diperbaiki di sini. Terrapuri bermaksud "Land of The Palace", sesuai dengan keadaan yang nyaman di sini. Kebetulan pula, ianya terletak bersebelahan pantai sahaja. Resort ini menawarkan konsep seperti zaman Melayu lama, jadi jangan terkejut jika tiada TV di sini, kerana anda akan dihiburkan dengan pelbagai pakej menarik yang lain.


15. Muzium Adat, Jelebu, Negeri Sembilan


Seperti mana muzium-muzium biasa yang lain, muzium ini menampilkan sejarah tentang adat-adat kaum di Malaysia, kegiatan masyarakat istana, manuskrip, artifak, batu bersurat dan lain-lain. Namun, apa yang menarik perhatian adalah di Galeri Aras Tiga yang menumpukan tentang Adat Perpatih yang sinonim dengan Negeri Sembilan serta menceritakan sejarah bertapaknya adat ini dari Sumatera ke Negeri Sembilan serta beberapa artifak sebagai bukti sejarah.

TIKET: Percuma!!!

No comments:

Hai, lama dah terbiar blog ni

Lama betul tak bukak blog ni. Tadi check kalau tak silap kali terakhir update adalah pada tahun 2019. Dah 4 tahun bersawang kiranya. Buat ma...