Saturday, March 10, 2018

Posting Santai: Mungkinkah bandar-bandar ini mempunyai LRTnya tersendiri?





1. Shah Alam & Klang

Credit: Mole.my

Sebelum ini, kedua-dua bandar utama di Lembah Klang ini dihubungkan oleh laluan Komuter yang disediakan oleh KTM. Walaubagaimanapun, projek LRT3 atau dikenali sebagai Laluan Bandar Utama-Klang telahpun menyenaraikan kedua bandar ini di dalam kawasan laluan, dengan beberapa stesen yang tertumpu di kawasan-kawasan utama bandar-bandar ini seperti Stadium, Seksyen 14 Shah Alam, UiTM, i-City, Bukit Raja dan Pusat Bandar Klang. Laluan ini mempunyai kira-kira 26 stesen dan dijangka akan beroperasi sekitar 31 Ogos 2020.

2. Puncak Alam

Credit: Skyscrapercity
Puncak Alam adalah antara salah satu stesen di dalam Laluan Rel Pantai Timur Fasa 2, melibatkan Gombak, Serendah, Puncak Alam, Kapar dan seterusnya ke Pelabuhan Klang. Laluan ini dan laluan LRT3 adalah satu-satunya yang dilabel sebagai "Dalam Pembinaan" di dalam entri ini memandangkan ianya sudah disahkan dan bukan lagi dalam proses perbincangan. Laluan ini juga dibina pada masa yang sama Laluan Wakaf Bharu-Pengkalan Kubor dibina.

3. Johor Bahru



Seringkali kita dengar tentang khabar angin, kononnya Johor Bahru akan menjadi bandar kedua yang akan mempunyai sistem LRTnya tersendiri di luar wilayah Lembah Klang. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil memandangkan populasi bandar ini yang agak ramai, serta jalan raya yang agak lebar, sekaligus tidak menjadi penghalang untuk membina laluan LRT di sini. Antara kawasan yang dikatakan akan dihubungkan adalah Pasir Gudang, Nusajaya dan juga Skudai. Berbanding beberapa tahun yang lalu di mana ada beberapa pelan LRT yang dilukis oleh train enthusiast, kini hanya pelan RTS Johor Bahru-Singapore yang boleh dijumpai. Laluan ini hanya mempunyai dua stesen, iaitu Bukit Chagar (JB) dan Woodlands.

Salah satu pelan LRT yang dijumpai. 
Kredit: http://thedevelopmentadvisor.com/tda/wp-content/uploads/2011/12/Iskandar-Malaysia-Rail-Network.jpg

Kredit: http://zkeretapi.blogspot.my/2013/08/cadangan-projek-jalan-keretapi-johor.html

Aku agak suka dengan plan kedua. Kenapa? Sebab pelan yang kedua ini kalau korang perhatikan, hanya menggunakan laluan sedia ada, iaitu Laluan KTM Johor Baru-Gemas, Laluan Pasir Gudang (gerabak barang) dan Laluan Tanjung Pelepas (gerabak barang). Pelan ini menambah beberapa stesen di laluan utara selatan seperti Tampoi, Larkin, Kebun Teh (Dato Sulaiman) dan Saleng. Laluan gerabak barangan pula diubah seratus peratus menjadi laluan penumpang. Kebetulan pula, kawasan yang dilalui laluan sedia ada merupakan kawasan-kawasan utama seperti Skudai, Nusajaya, Gelang Patah dan Pasir Gudang. Melalui pelan ini, KTM (atau apa2 syarikat swasta lain) hanya perlu membina stesen-stesen baru dan menyediakan perkhidmatan komuter sahaja seperti di Utara,


4. Pulau Pinang

Kredit:chatpropertymalaysia.com


Antara saingan sengit bagi Johor Bahru, memandangkan bandar ini juga giat merangka pelan pengangkutan mereka. Bandar ini terkenal dengan perancangan projek mega mereka seperti Skycab iaitu kereta kabel dari pulau ke tanah besar merentas lautan serta projek terowong bawah laut yang mencetuskan kontroversi. Membina landasan di tanah besar Pulau Pinang bukanlah suatu masalah besar memandangkan sudah terdapat landasan sedia ada serta kawasan yang masih luas. Masalah bermula apabila laluan tanah besar akan disambungkan ke kawasan pulau yang berkepadatan tinggi. Tidak seperti Johor Bahru, jalan raya di Pulau Pinang agak sempit, bangunan yang agak rapat, serta status bandar bersejarah Unesco yang perlu dipelihara. Timbul juga idea untuk menggantikan pelan ini dengan tram yang didakwa lebih baik berbanding LRT serta kosnya yang murah. Masih belum dapat dipastikan adakah laluan keretapi akan dibina di atas Jambatan Pulau Pinang untuk menghubungkan laluan tanah besar dan laluan pulau.


5. Kota Kinabalu

Sumber: Lowyat Forum. Siap ada water taxi lagi.


Buat masa ini, hanya negeri Sabah yang mempunyai laluan keretapi sendiri di pulau Borneo, yang mana laluan ini masih belum ada di Brunei dan Kalimantan. Jadi bukanlah sesuatu yang menghairankan sekiranya Kota Kinabalu akan mempunyai sistem LRTnya sendiri dahulu sebelum Kuching. Laluan sedia ada pada masa sekarang menghubungkan Tanjung Aru ke Tenom.

 Kerajaan Sabah dilihat agak komited dalam perkara ini dan dalam proses membina Aeropod di Tanjung Aru. Seperti mana Pulau Pinang, masalah utama di Kota Kinabalu adalah laluan keretapi agak hampir dengan jalanraya, bangunan dan premis kediaman, yang mana menyukarkan urusan untuk membina jejambat LRT. Kekurangan tanah kosong juga mungkin menyebabkan laluan Tanjung Aru tidak dapat dipanjangkan, sebaliknya sebuah stesen terminal di pinggir bandar seperti stesen Putatan perlu diwujudkan untuk membentuk laluan bypass terus ke Penampang, Inanam dan Tuaran. Kajian juga sedang dijalankan untuk membentuk laluan ke Kudat.

Apa-apapun, aku agak suka dengan laluan dalam pelan ni, memandangkan hanya ada loop dan bukannya sampai lima, enam laluan seperti KL dan Penang.


6. Kuching

Kredit: kuchingborneo.info
Sama seperti bahagian pulau Pulau Pinang, cabaran terbesar bagi Kuching adalah kerana tiadanya landasan sedia ada yang terdapat di sini. Meskipun dikhabarkan bahawa wujudnya landasan sebelum kemerdekaan dan penggabungan suatu ketika dahulu, ketiadaan rizab keretapi mungkin menyebabkan kerajaan negeri Sarawak perlu mula dari scratches. Antara yang menarik perhatian aku adalah Laluan Sematan, Laluan Serian dan juga Laluan Samarahan. Pada pendapat aku, ini adalah laluan yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu berbanding laluan-laluan lain. Laluan Sematan dan Laluan Serian patut disatukan memandangkan laluan ini agak berpotensi menjadi laluan antarabandar, misalnya ke Sibu atau Miri, malah boleh jadi melangkau Brunei, Kota Kinabalu dan Kalimantan. Laluan Samarahan pula akan menjadi laluan wajib bagi pelajar Uitm dan UniMAS ke airport dan pusat bandar. Pelan ini boleh dikatakan agak popular kerana selalu digunakan pihak media alternatif. Walaubagaimanapun, Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Tun Openg menafikan pelan ini datang daripada pihaknya.


7. Seremban

Laluan keretapi tinggal yang boleh diperhatikan di bandar Port Dickson. Kredit: BH / PLUS

Buat masa ini, masih tiada lagi perancangan bagi bandar Seremban untuk memiliki LRTnya sendiri. Satu-satunya tuntutan atau cadangan adalah untuk menghidupkan kembali laluan Seremban-Port Dickson yang telah ditamatkan Walaubagaimanapun, bukan mudah untuk menghidupkan kembali laluan berkenaan. Meskipun Port Dickson merupakan pusat pelancongan terkenal di Malaysia dan bandar kedua terbesar di Negeri Sembilan, namun trafik ke sana masih agak rendah sehingga menyebabkan kerugian kepada Lebuhraya Port Dickson-Seremban.

Keengganan kerajaan untuk menghidupkan laluan keretapi mungkin bersangkut paut pada kegagalan lebuhraya itu sendiri dalam menarik orang ramai ke sana. Kewujudan HSR juga tidak banyak menyumbang kepada proses pemulihan landasan ini, memandangkan stesen HSR Seremban berada pada lokasi yang agak hampir dengan Seremban. Satu-satunya fungsi yang boleh digunakan bagi landasan ini adalah menjadi perantara antara stesen KTM dan stesen HSR. Berbalik kepada LRT, tidak banyak yang boleh dikatakan. Meskipun terletak sangat hampir dengan Lembah Klang, kebanyakan titik utama telahpun mempunyai stesen masing-masing seperti Nilai, Labu, dan Senawang. Jika LRT dibina di sini, antara kawasan yang mungkin terlibat adalah Seremban 2, Bandar Ainsdale, Paroi, Sendayan, Rasah dan Sikamat.

8. Ipoh

Kredit: ipohecho.com.my


Meskipun mempunyai keluasan dan kepadatan yang melebihi Seremban, Ipoh juga masih belum bercadang untuk mewujudkan sistem LRTnya sendiri. Bandar keempat terbesar di Malaysia ini walau bagaimanapun mempunyai perancangan untuk mewujudkan laluan rel Ipoh-Lumut untuk menyatukan pelabuhannya dengan ibu negeri. Antara stesen yang dijangka adalah Kampung Acheh, Manjung/ Sitiawan, Ayer Tawar, Seri Iskandar sebelum bergabung dengan laluan KTM di Batu Gajah.

Kali terakhir cadangan mengenai LRT di Ipoh disebut adalah pada 24 Julai 2010. Sumber:  Cadangan LRT. Cadangan itu juga turut memasukkan Station 18, Tanjung Rambutan dan Simpang Pulai. Laluan KTM Tanjung Rambutan sebelum ini telahpun dimansuhkan dan terbiar hingga kini. Memandangkan Stesen Ipoh merupakan satu-satunya pintu masuk untuk ke serata bandar Ipoh, ianya agak sesuai untuk pembangunan LRT. Selain daripada 3 stesen yang dicadangkan, antara kawasan-kawasan lain yang berpotensi adalah Meru Raya, Klebang, Gugusan Manjoi, Pusing, Kledang/Menglembu, Airport/Pasir Pinji, Taman Cempaka/Ungku Omar, Tambun dan Stadium.


9. Melaka

Kredit: thestar.com.my


Melaka adalah sebuah negeri kecil yang agak pesat membangun buat masa ini. Pernah suatu ketika pada tahun 2008, terdapatnya perancangan untuk membina Aerorel Melaka, yang menggantikan Aerorel KL yang digantikan dengan KL Monorel. Pelan ini bermula dari Plaza Tol Ayer Keroh ke Dataran Pahlawan dan menyenaraikan Zoo Melaka, MITC, Dataran Majlis Bandaraya, Melaka Mall, Hospital Melaka, Melaka Sentral, Hang Tuah Mall, Stathuys dan Dataran Pahlawan. Cadangan ini bagaimanapun dikritik dan kerajaan negeri diseru memperbaiki perkhidmatan bas terlebih dahulu.

Pada tahun yang sama, Melaka mengejutkan Malaysia apabila mula membina laluan monorelnya sendiri. Kebanyakan orang merasa skeptik memandangkan mereka merasakan JB dan Pulau Pinang yang akan mempunyai sistem itu terlebih dahulu. Stesen ini membentuk sebuah lingkaran sepanjang Sungai Melaka sepanjang 1.6km, mempunyai dua stesen iaitu Stesen Hang Tuah berhampiran stesen bas lama dan Stesen Hang Jebat di Taman Herba dan hanya digunakan untuk tujuan pelancongan.

Monorel Melaka pernah mencetuskan kontroversi di dada-dada akhbar apabila mengalami banyak kerosakan sejak dibuka pada Oktober 2010. Kerosakan pada 3 Disember 2011 menyebabkan monorel ini ditutup selama 4 tahun sebelum dibuka semula pada 4 Disember 2017.

Memandangkan stesen KTM terdekat dengan Melaka adalah stesen Tampin dan stesen Batang Melaka, Maka, adalah dijangka stesen yang mungkin tersenarai adalah Tampin-Alor Gajah- Krubong/Cheng/Airport-Banda Hilir atau Batang Melaka - Selandar - Jasin - Bemban - Ayer Keroh - Banda Hilir.

10.

                                               Image result for kuala selangor

Tidak dapat dipastikan apakah bandar kesepuluh yang mungkin mempunyai sistem LRTnya tersendiri. Hanya Alor Setar dan Kangar merupakan bandar ibu negeri pantai barat yang masih belum disebut. Tidak terdapat langsung sebarang cadangan baik dari pihak kerajaan negeri mahupun forum train enthusiast berkenaan LRT di sini memandangkan jumlah penduduk yang masih boleh dianggap kurang. Mungkin sebuah landasan yang menghubungkan Kuala Kedah-Simpang Kuala-Alor Setar-Pokok Sena-Kuala Nerang namun laluan ini belum tentu mendatangkan keuntungan

Bagi bandar-bandar  di pantai timur,(Kuantan, Kota Bharu, Kuala Terengganu), keadaannya juga agak sama seperti di atas, Kawasan yang paling berkemungkinan untuk mendapatkan sistem LRTnya tersendiri berbanding bandar-bandar di atas adalah bandar pesisir pantai barat Selangor seperti Banting, K.Selangor, T.Karang dan Sg.Besar. Ini adalah kerana bandar terdekat iaitu Klang akan dihubungkan perkhidmatan LRT melalui laluan LRT3 serta laluan ECRL. Melalui sambungan ini, dapatlah diandaikan bahawa jaringan pantai barat Selangor boleh dibentuk melalui laluan Banting-Klang- Kapar - K.Selangor - Tg.Karang - Sekinchan - Sg.Besar. Melalui kemungkinan ini, maka jaringan seluruh Selangor mula terbentuk sepenuhnya melalui kereta api, serta lebuhraya melalui pembinaan Lebuhraya Pantai Barat akan datang.

Hai, lama dah terbiar blog ni

Lama betul tak bukak blog ni. Tadi check kalau tak silap kali terakhir update adalah pada tahun 2019. Dah 4 tahun bersawang kiranya. Buat ma...