Friday, November 8, 2019

Gambaran Sistem LRT di Seluruh Malaysia (Part 1)

Dari aspek serantau, hanya Kuala Lumpur,Singapura dan Bangkok mempunyai sistem metro tersendiri. Indonesia mempunyai dua jalur metro bersempena Sukan Asia iaitu LRT Palembang dan MRT Jakarta. Kritikan terhadap LRT Palembang juga mendatangkan kebimbangan perkara yang serupa akan berulang kepada LRT Bayan Lepas seperti kekurangan penumpang.

Walaubagaimanapun, kita tolak ketepi sebentar perkara itu dan membayangkan bagaimana rupanya laluan metro di setiap ibu negeri di Malaysia. Walaupun agak mustahil, tidak salah untuk sekadar berimaginasi. Disebabkan terdapat lagi 12 ibu negeri tanpa sistem metro, aku akan bahagikan kepada 6 yang berkemungkinan tinggi dan 6 yang berkemungkinan rendah. Lukisan pelan aku guna paint je sebab noob pakai photoshop.Lagipun blog je pun, bukannya pelan betul2. Harap maklong.


Sebagai perbandingan, Peta Transit Bersepadu Lembah Klang mempunyai 10 laluan menempatkan 2 laluan keretapi, 3 laluan LRT, satu laluan ERL KLIA untuk ekspres dan transit, satu laluan monorel, satu laluan MRT dan satu laluan BRT beserta 5 cadangan laluan baru. Terdapat beberapa institusi pendidikan turut disambungkan dengan laluan ini seperti UM,UPM,UniKL, International Medical University dan Kolej Antarabangsa INTI. Namun, masih terdapat beberapa tempat di Lembah Klang yang tiada sambungan transit ini seperti Selayang, Ulu Klang, Hulu Langat, Kota Kemuning, Cyberjaya, Semenyih dan Setia Alam.



1. Sistem Transit Bersepadu Pulau Pinang
Faktor kemungkinan: Populasi metro melebihi 1 juta, urbanisasi, pelancongan,pendidikan

Buat masa ini, hanya laluan di Pulau Pinang yang hangat dibincangkan melalui pembentangan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (Penang Transport Master Plan). Buat masa ini, hanya LRT Bayan Lepas yang dirancang terlebih dahulu sebagai tunjang pengangkutan daripada Georgetown ke Lapangan Terbang Bayan Lepas. Laluan-laluan yang dirancang iaitu LRT Bayan Lepas, LRT Raja Uda-Bukit Mertajam, LRT Pulau Pinang-Butterworth, Monorel Air Itam,Monorel Tanjung Tokong dan BRT Permatang Tinggi telahpun dirancang, laluannya telahpun dilukis di atas pelan dan boleh dicari di Google Image.

Gambar di bawah adalah lakaran aku untuk membayangkan Peta Transit Bersepadu Pulau Pinang.
Beberapa stesen awal berdasarkan pelan yang berlegar-legar di Internet telahpun digugurkan,seperti Transkrian,Permatang Pauh dan Padang Serai. Jika ianya berjaya dibuat, ianya akan menjadi sistem transit kedua terbesar di Malaysia.

Jumlah laluan: 9 (2 laluan keretapi, 3 laluan LRT, 2 laluan monorel, 1 laluan BRT,1 laluan tram.
Integrasi pengangkutan:  Lapangan Terbang Bayan Lepas, Stesen Bas Sungai Nibong, Terminal Feri Pangkalan Raja Tun Uda
Integrasi insitusi pendidikan: Universiti Sains Malaysia, Politeknik Seberang Perai, OUM, RUMC Integrasi kawasan tumpuan: Komtar, Masjid Kapitan Keling, St.Anne, Design Village, Stadium Bandaraya, Stadium Negeri, Masjid Negeri

Stesen ini meliputi kesemua 5 daerah Pulau Pinang, namun masih terdapat banyak bandar yang tiada sambungan kerana masalah geografi, populasi dan perkara-perkara lain seperti Balik Pulau,Teluk Kumbar, Tanjung Bungah, Kepala Batas, Sungai Bakap dan Bertam.





Gambaran sebenar laluan di atas peta

Jumlah laluan: 9 (2 laluan keretapi, 3 laluan LRT, 2 laluan monorel, 1 laluan BRT,1 laluan tram.
Integrasi pengangkutan:  Lapangan Terbang Bayan Lepas, Stesen Bas Sungai Nibong, Terminal Feri Pangkalan Raja Tun Uda
Integrasi insitusi pendidikan: Universiti Sains Malaysia, Politeknik Seberang Perai, OUM, RUMC Integrasi kawasan tumpuan: Komtar, Masjid Kapitan Keling, St.Anne, Design Village, Stadium Bandaraya, Stadium Negeri, Masjid Negeri




2. Sistem Transit Bersepadu Iskandar Malaysia
Faktor kemungkinan: Populasi metro melebihi 1 juta, urbanisasi,pelancongan,pendidikan

Suatu ketika dahulu, Johor Bahru kerap disebut sebagai bandar yang bakal mempunyai laluan LRT kedua sesuai dengan saiznya sebagai bandar kedua terbesar di Malaysia. Antara laluan yang kerap disebut adalah penaiktarafan laluan pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pasir Gudang untuk turut berfungsi sebagai laluan gerabak penumpang. Namun idea itu telahpun lenyap dan digantikan dengan perancangan BRT dan RTS. RTS dirancang untuk disambungkan dengan laluan MRT Singapore yang bakal dibina. 



Jumlah laluan: 6 laluan (2 laluan keretapi,3 laluan BRT dan satu laluan LRT)
Integrasi pengangkutan:  Stesen Bas Larkin Sentral,Lapangan Terbang Senai,Terminal Taman Universiti, Terminal Kota Iskandar dan Terminal Ulu Tiram.
Integrasi insitusi pendidikan: Universiti Teknologi Malaysia, universiti-universiti di Educity, Universiti Monash dan Universiti Malaysia Raffles, Politeknik Ibrahim Sultan  dan Politeknik METRO Johor Bahru 
Integrasi tempat tumpuan: Johor Premium Outlets, Masjid Sultan Abu Bakar, Zoo Johor, Danga Bay,Hutan Bandar, Legoland, Kota Iskandar, Stadium Larkin, Stadium Sultan Ibrahim, Hospital Sultanah Aminah, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Syariah, dan Hospital Sultan Ismail.

LRT Johor (warna ungu) sebenarnya idea aku untuk menghubungkan kesemua laluan tanpa perlu menukar laluan di JB Sentral, tapi bila dilukis atas peta, tidak dinafikan agak serabut. Mungkin laluan ini boleh diperbaiki suatu hari nanti apabila perbandaran (township) baru mula dibuka. Laluan ke Pontian, Kota Tinggi dan Kota Penawar mungkin boleh dibuka pada masa-masa mendatang apabila populasi mencukupi. Pelan integrasi ini merangkumi 2 daerah, Johor Bahru dan Kulai serta melibatkan sekurang-kurangnya 4 kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan, iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Majlis Perbandaran Pasir Gudang dan Majlis Perbandaran Kulai.




3. Sistem Transit Bersepadu Nilai-Seremban
Faktor kemungkinan: Hampir dengan Lembah Klang, urbanisasi,pendidikan

Sekiranya hanya bergantung kepada populasi, Seremban masih jauh untuk mempunyai sambungan LRT. Apatah lagi, Seremban tidak mempunyai sebuah universiti induk sebagai simbol wajib bagi sesebuah bandar yang mahu memiliki status bandaraya, tetapi hanya mempunyai satu  UiTM cawangan di Seremban 3. Namun, atas faktor kepesatan Nilai-Seremban kesan daripada pengaruh KLIA dan Putrajaya di Lembah Klang Selatan yang tidak jauh daripada sempadan, projek Lembah Wawasan serta keputusan mengejutkan dengan mengalih laluan ECRL dari Bentong kepada Kuala Klawang bakal memberi impak yang besar ke atas wilayah Nilai-Seremban. Nilai meskipun hanya sebuah bandar baru, tetapi telah mengisi kekurangan Seremban dengan menjadi bandar ilmu dan menjadi gerbang antara Lembah Klang dan Seremban. 


Gambaran LRT Nilai-Seremban

Jumlah laluan: 7 laluan, [3 laluan keretapi (KTM Batu Caves-Port Dickson, KTM Seremban -Mentakab dan ECRL), 3 laluan LRT (Laluan Nilai, Laluan Seremban Utara dan Laluan Seremban Selatan) serta 1 sambungan laluan ERL KLIA menghubungkan terus Seremban ke KLIA]
Integrasi pengangkutan: Tiada kerana lebih dekat dengan stesen lama (Seremban dan Nilai)
Integrasi insitusi pendidikan: USIM, UiTM Seremban 3,Universiti Nilai, Universiti Manipal,Kolej Antarabangsa INTI.  
Integrasi tempat tumpuan: Lorong Seni,Muzium Budaya,Stadium Paroi

Gambaran LRT Nilai-Seremban berhampiran Pelan Integrasi Lembah Klang



Kerana jaraknya yang amat dekat dengan Lembah Klang, bukanlah suatu yang mustahil apabila laluan sedia ada akan menyambungkan Kajang ke Nilai melalui Semenyih dan Beranang. Namun, terdapat juga beberapa perbandaran seperti Sikamat dan Temiang yang tidak dihubungkan laluan ini. Sekiranya laluan Port Dickson diubah daripada laluan asal kepada laluan yang sebaris dengan Lebuhraya Port Dickson, lebih banyak perbandaran dapat disambung seperti Siliau, Lukut dan Teluk Kemang. Pelan ini merangkumi 2 daerah iaitu Seremban dan Port Dickson serta 3 Majlis Perbandaran iaitu Majlis Perbandaran Seremban, Majlis Perbandaran Nilai dan Majlis Perbandaran Port Dickson.


4. Sistem Transit Bersepadu Kuching
Faktor kemungkinan: Bandar terbesar Malaysia Timur, urbanisasi,pelancongan,pendidikan


Sampai sahaja di nombor keempat, maka bermulalah satu lagi cabaran. Kuching meskipun kelihatan seperti sebuah bandar ideal, membina laluan LRT di sebuah bandar yang tiada sambungan keretapi mempunyai cabarannya tersendiri kalau-kalau terdapat cadangan membuat landasan antarabandar di Sarawak. Kuching pernah mempunyai sambungan keretapi mengikut sejarah daripada Market Street (Waterfront) ke Batu 10 (Kota Padawan) sebelum dihentikan akibat kekangan kewangan sebelum Perang Dunia Kedua dan pemerintahan Jepun. Laluan ini boleh dikesan melalui jalan yang memiliki lengkungan yang cantik, seakan-akan laluan keretapi, daripada Jalan Haji Taha, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Jalan Datuk Amar Kalong Ningkan, Jalan Penrissen, dan berakhir di Jalan Kuching-Serian di Kota Padawan.


Gambaran LRT Kuching sekitar metropolitan.

Gambaran LRT dengan sambungan keretapi

Jumlah laluan: 4 laluan, [1 laluan keretapi, 3 laluan LRT (Laluan Santubong, Laluan Samarahan dan Laluan Waterfront)]
Integrasi pengangkutan: Kuching Sentral, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching
Integrasi insitusi pendidikan: UNIMAS, UiTM Samarahan 1 dan 2, Universiti Swinburne Sarawak , Universiti UCSI  dan Universiti Unitar.
Integrasi tempat tumpuan: Kampung Budaya,Pantai Damai,India Street,Waterfront,Padang Merdeka , Tugu Kucing, Jambatan Darul Hana, DUN Kuching, Astana,Stadium Negeri,Chinatown Padungan, Pelabuhan Senari dan Pelabuhan Pending.

Terdapat beberapa kawasan perbandaran yang tidak diliputi laluan-laluan ini, seperti Matang, Batu Kawa dan Tabuan Heights. Bagi aku, laluan LRT Santubong cukuplah sekadar di Kota Padawan sahaja dan tidak perlu sampai ke Serian.


5. Sistem Transit Bersepadu Kota Kinabalu
Faktor kemungkinan: Urbanisasi,pelancongan,pendidikan



Sesesuatu yang unik mengenai Sistem Transit Bersepadu ini adalah ianya hanya memiliki 2 laluan, iaitu 1 laluan JKNS dalam bentuk jejambat dan 1 lagi adalah laluan LRT Kota Kinabalu. Ini adalah kerana bandar ini terletak di dataran yang sempit menjadikannya panjang dan tidak melata seperti kebiasaan bandar-bandar lain. Namun, masih terdapat beberapa subbandar seperti Penampang dan Donggongan yang tidak disambung, di mana sebuah lagi laluan mungkin perlu diwujudkan sekiranya terdapat keperluan. Perubahan laluan mungkin boleh dilakukan seperti di bawah:-

Laluan JKNS (JKNS Line) [I/C=Interchange]
Tanjung Aru-Sembulan-Karamunsing- Mahkamah (I/C)-Luyang(I/C)-Kolombong-Likas (I/C)-Inanam-Manggatal-Rimbunan Hijau (I/C)-Gudon-Sierra-Telipok-Tuaran

Laluan Penampang (Penampang Line)
Donggongan-Penampang-Kepayan-Lintas-Luyang(I/C)-Mahkamah(I/C)-Api-api-Pasar Besar-Jesselton Point-Stadium Likas-Likas (I/C)-Tun Mustapha-Kingfisher-UMS-Rimbunan Hijau(I/C)- Sulaman-KKIP-Sepanggar


Jumlah laluan: 2 laluan, [1 laluan keretapi, 1 laluan LRT]
Integrasi pengangkutan: Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Kota Kinabalu Sentral,Jeti Jesselton Point, dan Terminal Bas Bandaraya (Utara) Inanam
Integrasi insitusi pendidikan: UMS, dan Politeknik Kota Kinabalu 
Integrasi tempat tumpuan: Pasar Filipina,Menara Jam Atkinson.Jalan Gaya, Mahkamah Syariah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Hospital Wanita dan Kanak-kanak

Terdapat beberapa perbandaran yang tiada dalam rangkaian, seperti Penampang dan Donggongan. Dijangka 3 daerah terlibat di dalam laluan ini, iaitu Kota Kinabalu, Tuaran dan Penampang di dalam Bahagian Pantai Barat.

6. Sistem Transit Bersepadu Melaka
Faktor kemungkinan: Pelancongan,pendidikan

Laluan Monorel Melaka yang digunakan untuk pelancongan sebagai perbandingan


Laluan LRT Melaka yang meliputi kawasan metropolitan

Laluan LRT meliputi laluan keretapi

Kita kembali semula ke Semenanjung. Melaka pernah mengejutkan Malaysia apabila pernah bercadang untuk membina monorel di negeri itu sebelum menjadi monorel pelancongan. Selain daripada itu, idea-idea bombastik seperti tram dan aerorail pernah dicadangkan di sini. Bandaraya ini memiliki potensi yang besar memandangkan pelancong akan berpusu-pusu ke sini. Pembinaan LRT dapat mengurangkan kesesakan di bandaraya ini, sekaligus membantu pergerakan ekonomi di sini.

 Jumlah laluan: 5 laluan (2 laluan keretapi, 2 laluan LRT dan 1 laluan tram)
Integrasi pengangkutan: Lapangan Terbang Melaka, Melaka Sentral
Integrasi insitusi pendidikan: UTEM Bandaraya,UTEM Fakulti Teknologi, Universiti Multimedia, OUM dan Politeknik Melaka.
Integrasi tempat tumpuan: Kesemua tempat pelancongan kecuali Taman Buaya dan Zoo Melaka, Hospital Melaka, Mahkamah Melaka, Mahkamah Syariah, Stadium Hang Jebat, dan Stadium Hang Tuah.

Seperti mana Kuching, Melaka juga turut sama memiliki laluan keretapi. Namun, laluan ini telahpun dijadikan sebagai jalan kampung, jadi sambungan KTM terpaksa dialih daripada Melaka kepada kawasan lain yang berpotensi, seperti Pelabuhan Sungai Udang. Untuk mereka yang mahu mengesan laluan lama ini, ianya boleh dilihat dari jalannya yang melengkung elok bermula dari Jalan Tok Haji Abu Bakar (Alor Gajah), Jalan Dalong/Kg.Binjai, Jalan Keretapi Lama Pengkalan, Jalan Solok Semut dan daripada sini anda akan perhatikan ada garis lurus dan melengkung terus ke Melaka dan terhenti sekitar Lapangan Terbang. Terdapat kisah kononnya stesen Melaka terdapat di belakang UITM Melaka. Laluan ini telahpun menjadi jalan perkampungan.

Pembinaan laluan baru ke Sungai Udang juga bukannya kerja mudah dan terpaksa melalui tepian sungai memandangkan kawasan ini agak padat dengan perkampungan. Selain itu, laluan tram juga tidak boleh dibuat dalam keadaan 2 hala memandangkan ianya berada di atas jalan sehala. Aku juga cuba membuat laluan baru pada saat-saat akhir menghubungkan Jasin, Bemban, Durian Tunggal, Melaka Pindah, Alor Gajah, Lendu, Masjid Tanah, Kuala Sungai Baru dan Kuala Linggi.

Terdapat beberapa perbandaran seperti Bachang, Bukit Baru, Batu Berendam, Tanjong Minyak, dan Pengkalan YB  Batu yang tidak dihubungkan. Laluan ini dijangka akan menghubungkan 2 daerah iaitu Melaka Tengah dan Alor Gajah merangkumi 3 Majlis iaitu Majlis Bandaraya Melaka, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, dan Majlis Perbandaran Alor Gajah. 

Untuk 6 ibu bandar yang paling kurang kemungkinan (Ipoh, Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Kuantan dan Kangar) akan disenaraikan pada entri akan datang.




Hai, lama dah terbiar blog ni

Lama betul tak bukak blog ni. Tadi check kalau tak silap kali terakhir update adalah pada tahun 2019. Dah 4 tahun bersawang kiranya. Buat ma...