Friday, August 19, 2016

Bandar dan pekan di Perlis

Menetap selama beberapa tahun di Perlis, ternyata terdapat banyak tempat-tempat menarik di sini. Namun, yang ingin dibincangkan di sini, bukanlah tentang tempat-tempat menarik di sana. Entri kali ini bertujuan untuk menyenaraikan keseluruhan bandar dan pekan-pekan kecil yang terletak di seluruh negeri Perlis. Mungkin berguna bagi mereka yang pertama kali tiba di Perlis dan tercari-cari tempat untuk membeli barangan keperluan atau sekadar mengisi minyak.

1. Kangar




Rata-rata rakyat Malaysia mengenali ibu negeri Perlis ini. Ianya merupakan kawasan terpenting di Perlis. Majlis Perbandaran Kangar juga menguasai keseluruhan negeri Perlis melalui cawangan-cawangannya di bandar-bandar lain. Mengikut wikipedia, penduduk Kangar dianggarkan mencecah 60,000 orang pada tahun 2010. Memandangkan Perlis dianggarkan mempunyai 300,000 orang pada tahun yang sama, daptlah diandaikan bahawa setiap 1 daripada 5 penduduk Perlis menetap di Kangar.
Kangar adalah ibu negeri dengan populasi terkecil di Malaysia.

Kompleks DUN Perlis yang selalu diberi jolokan "Mini Putrajaya"

Kebetulan pula, Kompleks Pentadbiran Persekutuan Sabah juga diberi jolokan yang sama.
Memadai dengan statusnya sebagai ibu negeri, ianya lengkap dengan balai polis, balai bomba, pusat membeli-belah (Giant, The Store), pejabat pos, stesen bas,teksi dan hospital (satu-satunya di Perlis). Untuk kemudahan stesen minyak pula:

-Shell Jalan Kangar-Padang Besar
-Petronas Jalan Kangar-P.Besar
-Caltex Jalan Kangar-P.Besar
-Petron Jalan Kangar-Arau (kedua-dua arah)
-Petron Jalan Kangar-Alor Setar
-Petronas Behor Temak
-Shell Seriab

2. Arau


Terkenal sebagai bandar diraja Perlis, ia juga menerima jolokan sebagai "bandar kedua paling hidup di Perlis" oleh orang luar. Juga digelar Gerbang Ke Perlis kerana merupakan tempat persinggahan pertama keretapi. Kawasan ini juga meriah dengan C-Mart serta kedai-kedai yang mengelilinginya. Kedudukan UiTM Arau, Politeknik Pauh dan kampus utama UniMap yang hampir dengan bandar ini menambah lagi meriah bandar ini. Di sini lengkap dengan balai polis, bomba dan pejabat pos.
Bagi stesen minyak pula,

-Petronas Arau
-Shell Arau

3. Kuala Perlis



Ramai yang tidak tahu, pekan kecil yang merupakan gerbang ke Langkawi ini sebenarnya adalah bandar (pekan?) kedua terbesar di Perlis. Dengan mempunyai populasi seramai 30,000 orang, ianya mengatasi Arau yang hanya mempunyai 20,000 penduduk.

Pekan ini juga dilengkapi stesen bas seperti Kangar, serta pejabat pos, balai polis dan bomba. Ramai pelancong yang berpusu-pusu ke pekan ini ketika musim pelancongan. Namun, entah di mana silapnya, kebanyakannya hanya lalu sahaja dan terus ke Langkawi.

Seperti mana di Arau, di sini hanya ada 2 stesen minyak, iaitu Shell dan Petronas yang beroperasi sehingga 9.30 malam.

4. Padang Besar


Bulatan yang menjadi mercu tanda padang besar
Padang Besar, kawasan sempadan yang terkenal di Malaysia ini, mempunyai kira-kira 20,000 penduduk. Selain terkenal dengan pusat beli-belah bebas cukai, ianya juga mempunyai ladang burung unta serta hampir dengan ladang tebu Chuping. Bandar sempadan ini juga mempunyai balai polis, balai bomba serta pejabat pos sendiri. Malah ianya juga mempunyai ketiga-tiga stesen bas, teksi dan keretapi, sesuatu yang tiada pada bandar-bandar di atas. Stesen minyak di sini adalah:
-Petronas Padang Besar
-Caltex Padang Besar
-Caltex Titi Tinggi

5. Simpang Empat
Dewan di dalam padang MPK


Simpang Empat adalah pekan kecil yang terletak di tengah-tengah Jalan Kangar-Alor Setar. Di sini terletaknya nat yang antara terbesar di Perlis serta pasar malamnya yang meriah. Pada waktu pasar malam, jalan di pekan ini akan ditutup dan motosikal akan diletakkan berbaris di atas jambatan. Di sini terletaknya kolej kediaman Unimap Simpang Empat. Kawasan ini mempunyai klinik kesihatan, balai polis, bank, perpustakaan awam serta padang MPK (satu-satunya pekan di Perlis yang mempunyai kemudahan padang ini). Ianya mempunyai stesen Caltex (di tengah pekan) dan Shell (tepi jalan).

6. Beseri


Lain pula ceritanya dengan Beseri, ianya terletak di antara Kangar dan Padang Besar. Di sini terletaknya MRSM Beseri dan IKM, Tidak banyak urusan yang boleh dijalankan di sini kerana ianya lebih kepada pusat industri desa. Terdapat sebuah balai polis dan Shell di sini.

7. Mata Ayer



Pekan ini mungkin jarang dikenali kerana kedudukannya yang berada di tengah-tengah Perlis serta tidak berada di jalan utama. Untuk ke sini, anda harus memasuki melalui jalan Kangar-Arau. Berhampiran kawasan Jejawi, terdapat simpang 3 menghala ke pekan ini.

Pekan ini bolehlah dikatakan lebih lengkap berbanding Beseri kerana mempunyai lebih banyak kedai, serta mempunyai balai polis dan pejabat pos. Di sini terdapat satu stesen minyak, iaitu Petronas Mata Ayer.

8. Pauh



Sebenarnya, pekan Pauh merupakan sebahagian daripada Arau, memandangkan lokasinya tidak jauh. Memandangkan kedua-duanya hanya bersebelahan, Pauh tidak mempunyai sebarang kemudahan melainkan bomba sukarela. Walau bagaimanapun, Pauh mempunyai deretan kedai di simpang empat yang terletak di tengah-tengah pekan itu. Untuk melalui pekan ini, jika anda berada di Lebuhraya Changlun- K.Perlis, masuk melalui persimpangan pertama ke Arau (persimpangan jejambat sebelah).



9.Kaki Bukit

Pekan Kaki Bukit, yang biasanya dipanggil pekan Cina ini adalah sebuah pekan kecil di utara Perlis. Pekan ini biasanya akan dilalui jika anda menuju ke arah Wang Kelian dan Gua Kelam. Terdapat balai polis, pejabat pos dan masjid di sini. Tiada stesen minyak di pekan ini.

Sebuah sekolah cina yang binaannya seakan-akan sekolah kebangsaan
Satu-satunya masjid di Kaki Bukit



10.Kuala Sanglang

Kalau di Kaki Bukit yang berhampiran Gua Kelam pun tiada apa-apa, apatah lagi pekan terpencil ini. Jirannya yang bernama sama di sebelah Kedah, yang juga merupakan kampung nelayan lebih lengkap dengan kedai runcit. Di sini, apa yang ada hanyalah deretan rumah kedai yang dijadikan rumah dan jalannya berakhir dengan jalan mati. Ianya terletak di selatan Perlis (simpang pertama jika masuk dari Alor Setar). Terdapat sebuah pondok polis dan bomba sukarela di sini.

No comments:

Hai, lama dah terbiar blog ni

Lama betul tak bukak blog ni. Tadi check kalau tak silap kali terakhir update adalah pada tahun 2019. Dah 4 tahun bersawang kiranya. Buat ma...